Ahad, 29 Oktober 2017

TABRIZ IRAN/KARADENIZ SOUTHEAST TURKEY/KAZAKHSTAN - 2.0 CITY LIFE

Kami bangun agak awal kerana perbezaan zon waktu antara Iran dan Malaysia. Bersiap dan menanti Mehdi dan Sajad untuk bangun. Sajad yang bangun lebih awal dari abangnya keluar membeli roti untuk hidangan sarapan kami. Roti yang masih lagi panas-panas sedap dimakan bersama jem, madu dan keju. Memandangkan bapa mereka Hosein akan sampai agak lewat kami mengambil keputusan untuk bersiar-siar kawasan berhampiran. Lokasi apartment Hosein hanya beberapa kilometer dari Milad Tower, menara yang tertinggi di Iran. Kami keluar dari rumah dan menyeberangi Hakim Expressway untuk ke Pardisan Park seperti yang dicadangkan Sajad. Pemandangan di musim luruh sememangnya lebih cantik dari musim sejuk dimana daun-daun yang masih lagi berwarna hijau sudah mula bertukar warna kekuning-kuningan. Dan ia juga masa untuk musim menuai hasil buah-buahan. Pada musim luruh, suhu sudah mula menurun dan mungkin di kawasan pergunungan salji sudah mula turun di pertengahan musim. Kami berjalan mengelilingi taman dan seterusnya menghampiri Milad Tower untuk melihatnya dengan lebih jelas. Setelah penat berjalan hampir 2 jam kami pun pulang ke rumah, mungkin Hosein sudah sampai. Aku bertemu dengannya diluar kawasan rumah semasa beliau hendak mengambil sesuatu dari keretanya. Sudah ramai yang datang ke rumahnya dan beliau memang suka untuk bertemu orang luar disamping dapat mengetahui tentang dunia luar. Beliau yang sudah berumur 50an masih lagi aktif dalam bidang seni sebagai pengarah dan penyunting. Dan hari ini Hosein harus ke set penggambaran. Sesuatu yang menarik tentang beliau ialah beliau sudah pun menunaikan haji di Mekah beberapa tahun lalu dan beliau akan Iraq tidak lama lagi untuk Ziarah Arbaeen di Karbala. Mereka akan berjalan kaki dari Najaf ke Karbala yang sejauh 70km yang mengambil masa lebih kurang 3 hari. Ianya diadakan di hari yang ke-40 selepas Ashura untuk memperingati kematian cucu Nabi Muhammad SAW iaitu Imam Husein ibn Ali. Dan aku boleh katakan yang Hosein ialah seorang yang berpegang kepada agama berbanding dengan Couchsurfer Iran yang ku kenal selama ini.

Hosein membawa kami ke stesyen Metro Sadeghieh untuk kami meneruskan perjalanan ke Grand Bazaar. Perjalanan ke stesyen Metro Imam Khomeini hanya berkadar IRR 10K seorang. Sebaik sahaja keluar ke Bab Homayoon St, aku terkenang kembali saat pertama kali menjejakkan kaki ke sini bersama Yazid hampir setahun yang lalu. Masih terdapat bazaar kecil disini dan suasana sama sahaja. Kami menaiki shuttle, IRR 20K seorang ke Grand Bazaar dengan bantuan orang tempatan. Sesuatu yang aku tidak perlu risau semasa berada di Iran ialah orang tempatan pastinya akan menolong semasa mencari arah ke destinasi kami. Grand Bazaar dipenuhi dengan orang tempatan yang memenuhi segala ruang di dalam. Seakan-akan mereka mempunyai perhimpunan tidak rasmi disini walhal pada ketika ini mereka sepatutnya berada di tempat kerja, sekolah atau sebagainya. Sebahagain daripada struktur bazaar ialah dari zaman Dinasti Safavid, tahun 1500an. Destinasi seterusnya ke Golestan Palace, namun kami hanya masuk di bahagian hadapan sahaja memandangkan bayaran masuk agak masuk dan untuk masuk ke semua bahagian istana pelawat perlu membayar sehingga IRR 1000K! Ia adalah istana Kesultanan Qajar. Telah dibina sejak 1500an dan digunakan oleh pelbagai dinasti dan yang terakhir menjadi kediaman rasmi Dinasti Qajar untuk 200 tahun dari tahun 1700an. Pak Usop yang sememangnya teruja dengan pengalaman pertama ke Iran melontarkan pelbagai soalan tentang budaya dan gaya hidup orang disini. Aku hanya mampu menjawab berdasarkan pengetahuan dan pengalaman aku yang lalu. Berhenti seketika di kedai jalanan untuk makan kebab sebagai alas perut dan solat di masjid berhampiran. Memandangkan masih mempunyai masa yang terluang, aku mencadangkan untuk ke Darband yang terletak di utara Tehran. Dahulunya ia adalah perkampungan lama namun sekarang banyak restoran dan kafe dibina untuk memenuhi orang tempatan berehat menenangkan minda selepas waktu kerja dan juga hujung minggu. Kami berhenti di stesyen Metro Tajrish dan bercadang untuk mengambil teksi ke Darband yang hanya 4 kilometer dari stesyen. Aku memeriksa peta dan kelihatan keadaan trafik sangat teruk terutama menghampiri Darband. Terus bertanyakan pakcik motor teksi yang berada berhampiran jalan besar dan memintakan beliau menghantar kami berdua ke sana. Pakcik tadi memanggil seorang pemuda untuk membawa kami. Dari saat enjin motor dihidupkan hinggalah sampai ke destinasi jantungku berdegup kencang kerana cara pemanduannya yang agak merbahaya. Syukur tiada perkara yang tidak diingini berlaku. Kafe dan restoran dibina di lereng bukit dan terdapat anak sungai yang mengalir di antaranya. Suhu sekitar semakin sejuk memandangkan matahari sudah mula terbenam. Pak Usop mengajakku untuk mendaki tangga-tangga ini sehingga ke atas memandangkan kerana terdapat papan tanda untuk permulaan trek pendakian, Kooh Payeh. Aku yang semakin letih acap kali terhenti dan Pak Usop agak jauh di hadapanku. Di kawasan yang lebih tinggi, terdapat rumah-rumah kampung dan beberapa kali kami terjumpa dengan para pendaki yang membawa mountain bag. Mereka menyapa kami dan menyatakan puncak gunung masih lagi jauh di atas. Akhirnya kami pun pulang kerana hari sudah semakin gelap dan kami perlu tiba awal untuk meluangkan masa bersama Hosein dan anaknya. Rancangan untuk bertemu Sorena dan Behnaz, hostku tahun lepas juga terpaksa dibatalkan kerana mereka terperangkap di dalam trafik menuju ke Tehran. Sekali lagi kami mengambil keputusan untuk menaiki motor teksi memandangkan trafik menjadi lebih teruk dari sebelumnya. Kerana terlalu lapar, kami juga makan di sekitar stesyen Metro Tajrish sebelum menaiki tren dan memesan Snapp untuk pulang ke ruma. Mehdi menyambut kami di pintu rumah, Sajad sudah ke universiti dan bapa mereka masih lagi tidak pulang dari kerja. Aku membersihkan diri dan solat sebelum meluangkan sedikit masa bersama Mehdi bercerita mengenai kehidupan kami di Malaysia sementara menunggu bapanya pulang. Jam menunjukkan 2130H dan Hosein masih lagi tidak pulang, aku mengambil keputusan untuk baring seketika sementara menunggunya pulang. Dan ternyata malam itu kami terus tertidur sehingga keesokkan harinya dan terlepas peluang untuk bersama Hosein.

Pardisan Park

Milad Tower

Tehran Grand Bazaar

berhampiran Imam Khomeini Metro Station

Tajrish Local Market

Pintu masuk ke Darband

Restaurant Mewah di Darband

Bunga-bungaan di Darband

Penduduk tempatan mula membanjiri tempat ini

Hiking ke Kohsaran

Buah-buahan tempatan

Lampu yang berwarna warni di sebuah restauran

Pelanggan sedang beratur untuk memesan jus buah

Kedai Roti Tajrish

0 ulasan:

Catat Ulasan