Ahad, 8 Oktober 2017

TABRIZ IRAN/KARADENIZ SOUTHEAST TURKEY/KAZAKHSTAN – 22.0 MARDIN ARTIST

Pagi-pagi lagi aku sudah terhidu bau masakan dari dapur. Mungkin Zeynep sedang menyediakan sarapan pagi. Sangkaanku benar dan beliau sedang menyediakan roti keju goreng beserta daging. Setelah bersiap kami pun turun ke bawah sambil menanti teksi untuk mengambilnya ke tempat kerja. Beliau bekerja sebagai seorang guru Bahasa Inggeris di sebuah kampung yang hanya 30 minit perjalanan dari bandar Mardin. Aku menanti bas berhampiran stesen minyak semalam dan kemudiannya menukar bas untuk ke bandar lama Mardin di Taman Karayollari. Keadaan bas sedikit sesak memandangkan warga tempatan baru memulakan urusan harian mereka. Bas berhenti betul-betul dihadapan papan tanda Mardin dan kelihatan kawasan persekitaran masih lagi lengang. Tempat pertama yang ku tuju adalah Masjid Latifiye yang berhampiran perhentian bas. Ia telah dibina sekitar 1300an yang dipengaruhi seni bina Seljuk. Untuk ke tandas masjid ini, aku perlu membayar TL 1 dan ianya adalah bayaran minimum untuk ke tandas di Turkey.Pemandangan di bandar lama Mardin adalah berlatar belakangkan batu-bata yang berwarna kekuning-kuningan. Semua sudut kelihatan sama sahaja dan kemungkinan untuk sesat adalah tinggi seperti yang telah terjadi kepadaku di Yazd, Iran. Gereja Mardin Protestan yang hanya disebelah masjid masih tidak buka mungkin kerana masih awal pagi. Aku kembali mengorak langkah ke perhentian bas dan ternampak bangunan Mardin Muzesi yang besar. Tiba-tiba hujan pun turun renyai-renyai dan aku terus bergegas menuju ke pintu masuk muzium. Kemasukan ke sini adalah percuma. Bangunan yang telah dibina lebih 100 tahun dahulunya adalah pejabat pentabiran agama sebelum dijadikan muzium sekitar tahun 1995. Bahagian pertama yang aku lawati adalah bilik penempaan syiling. 

Di sini setiap pelawat akan diberikan replika syiling lama yang ditempa di situ. Muzium ini mempunyai banyak informasi tentang sejarah Turkey bermula dari zaman Palaeolitik/Neolitik (Zaman Batu), Sumerian/Akkadian, Assyirian, Babylon, Parsi, Roman Byzantine, Arab/Seljuk dan akhirnya Uthmaniah. Antara bahan pameran ialah batu bersurat, syiling lama, baju perisai, Al-Quran lama dan juga gambar-gambar sekitar 100 tahun yang lepas. Memandangkan hajatku untuk ke gereja tadi tidak kesampaian, aku menuju ke Gereja Mor Yusuf yang tidak jauh dari situ meskipun tersesat beberapa kali. Gereja yang telah dibina oleh Melkun Nazaryan sekitar akhir 1800an adalah sebuah Gereja Armenian Katholik. Walaupun tidak dapat memasuki ke dalam dewan utama namun cukuplah sekadar melawat kawasan luar. Tanpa arah aku terus meneruskan perjalanan di tepi jalan utama sebelum sampai di padang permainan sebuah sekolah. Anak-anak yang sedang bermain tiba-tiba menyapaku dan kemudian menjemputku masuk ke dalam. Kesempatan ini diambil untuk aku mengambil gambar dan bertanyakan khabar kepada mereka. Aku kemudian memberikan wang kertas RM 1 sebagai kenang-kenangan kepada budak perempuan tersebut kerana keberaniannya dan kepetahannya bertutur dalam bahasa asing. Keadaan cuaca yang kembali mendung membuatkan aku tidak sedar akan waktu Zohor yang hampir masuk. Tanpa membuang masa aku bergerak ke Ulu Cami Mardin untuk solat dan sempat melelap mata untuk seketika. Masjid yang telah diasaskan sekitar pemerintahan Seljuk banyak menyimpan inskrpisi dari zaman Seljuk, Artuqid, Aq Qoyunlu dan Uthmaniah. Ianya juga telah dinaik taraf pada setiap zaman pemerintahan yang bertukar ganti. Dengan perut yang lapar aku berhenti seketika di untuk makan doner dan naik ke Madrasah Zinciriye ataupun Sultan Isa Madrasah yang betul-betul terletak dibawah Kubu Mardin. Kubu tersebut kini ditutup dari sebarang lawatan orang awam kerana ia telah dijadikan kem pengawasan anggota keselamatan. Di sinilah kawasan tertinggi di Mardin dimana kita boleh menikmati pemandangan bandar bercerun yang cantik. Madrasah ini pula telah dibina sekitar 1300an oleh Sultan Isa pemerintah Artuqid yang terakhir memerintah Mardin. 

Di dalam bangunan ini juga terdapat makam Sultan Isa. Di tengah-tengah halamannya terdapat taman yang dihiasi cantik dengan pokok-pokok bunga. Struktur bangunan 2 tingkat ini mempunyai 2 dom disebelah kiri dan kanan. Di dalam masjidnya, batu-batu hablur digunakan di sekitar kawasan mimbar dan akan memantulkan semula cahaya seperti yang diterangkan oleh penjaga madrasah. Masa masih berbaki beberapa jam lagi sebelum jam 1700H untuk menanti Zeynep pulang dari sekolah. Aku kemudian menuju ke Muzium Sabanci sekadar untuk mengisi masa dan melarikan diri dari hujan yang mula lebat. Berhampiran muzium aku bertemu dengan 2 orang budak lelaki ramah dan mereka cuba untuk berkomunikasi denganku. Aku hanya melayan kerenah mereka sebelum memberikan wang kertas RM 1 sebagai cenderamata. Zeynep yang pada awalnya mahu ke sini akhirnya terpaksa membatalkan hasratnya kerana kurang sihat. Beliau membantuku untuk mencari kedai yang menjual kopi pistacio Aturkbey yang aku minum semalam. Aku kemudian membeli beberapa paket kopi untuk dibawa pulang ke Malaysia. Memandangkan hari beransur gelap aku memulakan perjalanan pulang ke rumah dengan menaiki bas yang papan tandanya berwarna hijau menghala ke Mardin Otogari. Setibanya di rumah, Zeynep membukakan pintu sambil menyelubungi dirinya dengan selimut. Dia meminta maaf kerana tidak dapat bersamaku di bandar dan aku membalas tidak perlu menyusahkan diri kerana beliau sudah banyak membantuku. Sambil makan roti dan minum teh winter untuk memanaskan badan, beliau mula berkongsi lebih banyak mengenai dirinya yang suka mengambil foto dan lukisan minyak. Zeynep yang lembut hatinya kadang-kadang sampai mengalirkan air mata menceritakan tentang hobinya itu. Topiknya kemudian berubah kepada agama dan perkahwinan di sini dimana kebanyakkan orang Kurdish akan berkahwin sesama mereka dan jarang yang akan berkahwin dengan orang Turkish. Dan teman lelakinya berbangsa Kurdish. Beliau juga memberitahu yang serangan bom oleh puak penentang Kurdish seringkali terjadi di serata Mardin dan sasaran utama mereka adalah anggota keselamatan Turkey. Kami kemudian menonton filem Samsara yang berkisar tentang budaya, humaniti, spiritualiti yang mengambil masa 5 tahun di 25 negara di seluruh dunia untuk difilemkan. Filem yang seperti tiada hujung dan pangkal ini akan membuatkan para penontonnya terpaku dengan subliminal message yang cuba disampaikan melalui setiap sorotan video pendek yang digabungkannya menjadi filem. Sejujurnya, cerita ini agak berat dan memerlukan penafsiran yang dalam. Filem ini banyak meninggalkan pelbagai persoalan di minda yang akhirnya membuatkan aku sukar untuk tidur pada malam itu. 

Masjid Latifiye

Dewan solat Masjid Latifiye

Seni bina Seljuk di Masjid Latifiye

Papan tanda #Mardin

Mardin Muzesi

Batu Nisan

Ruangan penempaan syiling lama

Di dalam Muzium Mardin

Naskah Al-Quran lama - Surah Al-Kahfi

Para pembawa barang

Pameran tekstil zaman dahulu

Pemdangan dari tingkat 3 muzium

Gereja Syrian Katolik Eski Patrikhanesi

Sekitar lorong diantara bangunan yang klasik

Gereja Mor Yusuf

Padang permainan sekolah

Sekitar bandar lama Mardin

Pemandangan ke arah menara Majid Ulu dari Madrasah Zinciriye

Madrasah Zinciriye

Halaman di tengah madrasah

Makam Sultan Isa

Mimbar masjid

Pintu masuk Masjid Madrasah Zinciriye

Di puncak itulah Mardin Kalesi

Bazaar Mardin

Masjid Ulu

Janggut Nabi Muhammad SAW

Riak muka budak lelaki yang gembira

Pekan Hasankeyf yang tenggelam oleh projek empangan

Batu nisan

Di dalam Muzium Sabanci

0 ulasan:

Catat Ulasan