Ahad, 22 Oktober 2017

TABRIZ IRAN/KARADENIZ SOUTHEAST TURKEY/KAZAKHSTAN – 8.0 IRAN CAPPADOCIA, KANDOVAN

Sarapan pagi disediakan oleh emak Mahdi untuk mengalas perut sebelum kami bertolak ke Kandovan. Emaknya membuat perusahaan kecil-kecilan memproses puri tomato dihalaman rumah. Jadi sebelum ke tandas kami akan terhidu bau sos tomato yang pekat. Mahdis dan bapanya keluar dari rumah agak awal untuk ke sekolah dan tempat kerja. Kereta Mahdi, model Saipa Saba tidak berjaya dihidupkan pagi ini dan kami terpaksa menolaknya sebagai bantuan untuk menghidupkannya. Kata Mahdi, starternya mungkin mengalami masalah setelah ditukar beberapa minggu lepas. Setelah enjin berjaya dihidupkan, kereta diberhentikan di stesen minyak untuk mengisi minyak. Harga untuk seliter petrol ialah sekitar IRR 10K seliter iaitu sekitar RM1 jika ditukarkan kepada matawang Malaysia. Ia sememangnya murah jika dibandingkan harga petrol di Malaysia, namun pendapatan gaji disini murah dan sara hidup yang tinggi antara keluhan yang selalu ku dengari sepanjang berada di negara Farsi ini. Perjalanan diteruskan ke Kandovan yang sejauh 60km dari pusat bandar. Mahdi menunjukkan kilang dimana ayahnya berkerja sewaktu kami melintasi kawasan tersebut. Kelihatan daun-daun di pokok-pokok sudah mula bertukar kekuningan di sepanjang perjalananan. Kami melintasi beberapa perkampungan dan kebun-lebun kecil penduduk tempatan. Mahdi menunjukkan bukit-bukit yang berwarna putih yang jauh dari pandangan dan mengatakan disitulah terletaknya Kandovan. Permukaan bukit yang berwarna bukit tersebut adalah salji katanya.

Setelah 1 jam dijalanan kami pun sampai ke destinasi. Kampung Kandovan ini dipercayai telah wujud sejak 700 tahun yang lalu. Formasi batu-batuan yang telah ada sekarang terhasil daripada lava-lava yang dimuntahkan oleh Gunung Sahand beratus-ratus tahun yang dahulu. Kemudian penduduk tempatan telah mengetuk dan menggali lubang ke dalam batu tersebut untuk dijadikan tempat tinggal. Bentuk muka bumi dan formasi batu disini seakan-akan sama seperti di Cappadocia, Turkey. Jadi tidak hairanlah ada yang menggelarnya Cappadocia Iran. Sebaik sahaja kami keluar dari kereta, angin sejuk terus menusuk ke dalam tubuh. Mujur aku membawa jaket sebagai persediaan. Kami terus menuju ke arah bukit bertentangan dengan Kandovan untuk menikmati pemandangan dari jarak jauh. Terdapat salji di lereng-lereng bukit dan kata Mahdi ianya mungkin telah turun malam tadi. Kemudian kami menuruni bukit dan terus ke Kandovan untuk ke salah sebuah rumah di sana. Terdapat banyak kedai cenderahati kepunyaan penduduk tempatan di kaki lima berhampiran jalan utama. Untuk ke rumah tersebut, kami perlu melakukan sedikit pendakian kerana ianya terletak di tempat yang tinggi. Rumahnya seakan-akan gua dan bagaikan tidak percaya mereka mereka mengetuk untuk memecahkan batu selama bertahun-tahun sebelum ia boleh didiami seperti sekarang. Kami dijamu air teh dan sedikit madu sebelum turun ke bawah untuk bersiar-siar di kawasan sekitar. Seorang pakcik menghampiriku dan ingin bergambar bersamaku selain meminta cenderahati berupa wang dari Malaysia. Beliau ialah pesara guru yang mampu berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dan kesini hanya untuk berjalan-jalan menghabiskan masanya. Mahdi agak tergesa-gesa kali ini dan kami hanya dapat menghabiskan sekitar 2 jam sebelum pulang ke Tabriz. Beliau juga menawarkan untuk ke bahagian utara Tabriz melawat beberapa tempat bersejarah dan air terjun dengan bayaran yang agak mahal, namu kami menolaknya dengan baik. Bayaran yang perlu kami bayar untuk ke Kandovan bersamanya adalah sekitar IRR 1000K seorang dan ianya adalah besar buat kami kerana kami masih berada di suku pertama pengembaraan ini.

Seterusnya, kami kembali ke bandar semula sekitar 1200H dan hari masih awal. Makanan tengah hari di rumahnya adalah roti nan berserta telor bersos tomato. Mereka akan keluar sebentar lagi untuk majlis menyambut kelahiran bayi di dalam keluarga besar mereka manakala Mahdi pula akan ke kelasnya. Jadi kami perlu keluar dari rumah bersama mereka. Melihat peta bandar Tabriz di MAPS.ME, aku mencadangkan kepada Pak Usop untuk ke Blue Mosque memandangkan jaraknya tidaklah begitu jauh. Pak Usop hanya bersetuju dan kami memulakan langkah ke sana. Blue Mosque atau Masjid Kabud telah dibina sekitar 1460an oleh Shah Jahan pemerintah Kara Koyunlu iaitu monarki Muslim Oguz Turkic yang memerintah Azerbaijan, Armenia dan sebahagian Turki, Iran dan Iraq pada zaman tersebut. Masjid ini telah musnah teruk akibat gempa bumi yang melanda Tabriz sekitar 1780 dan hanya bahagian pintu masuk utama masih terpelihara selain daripada bahagian dalaman dewan utama sembahyang. Usaha pemuliharaan mula dijalankan pada 1973 oleh Reza Memaran Benam iaitu seorang arkitek tempatan. Bayaran masuk adalah IRR 150K seorang. Jika dilihat dengan teliti, jubin asal yang berwarna-warni dengan usia 500 tahun itu cuba dipadankan dan dipulihara dengan jubin yang baru. Kebanyakkan struktur utama dan kubah adalah baru. Aku merasakan seolah-olah berada di dalam masjid yang sedang dibina kerana warna kebanyakkan struktur adalah coklat disulami dengan warna-warni jubin di sesetengah bahagian. Setelah puas bersiar-siar di bahagian luar dan dalam masjid kami pun menuju ke Bazaar Tabriz. Kali ini kami cuba untuk ke bahagian yang lain di bazar ini memandangkan semalam kami tersesat didalamnya. Walaupun berjaya untuk kebahagian barangan kemas dan perhiasan namun kami tetap berpatah-balik ke tempat yang sama seperti hari semalam iaitu di bahagian sayuran dan makanan. Aku menukarkan sedikit wang IRR kepada TL 100 sebagai persediaan untuk menyeberangi sempadan Iran-Turkey dalam masa 2 hari lagi. Kami beransur pulang apabila matahari mula terbenam. Emaknya menyediakan makanan traditional Kaum Azeri iaitu Dolma dan Kofte disertakan dengan roti nan. Perutku yang sentiasa lapar pasti tidak akan menolak sebarang makanan yang terhidang. Setelah selesai makan malam aku mula berkongsi akan gambar keluargaku dan hidupku seperti kebiasaannya apabila berada di rumah host Couchsurfing. Mereka sekeluarga sangat gembira dapat melihat dan sering bertukar-tukar soalan tentang keadaan di Malaysia. Rancangan pada esok hari adalah untuk ke Colourful Mountain ataupun Ala-Daghlar di dalam Farsi. Dengan informasi yang sangat terhad dan carian maklumat di internet akhirnya Vahid dari Couchsurfing sudi membantuku untuk mengaturkan teksi ke sana. Ianya adalah rancangan disaat akhir memandangkan aku telah membatalkan niat untuk ke Urmia Lake.

Pemandangan Kandovan dari sisi bukit

Keldai membawa barangan naik ke atas bukit

Mula memasuki Kandovan

Salah sebuah rumah di dalam batu

Persiaran bahu jalan

Terdapat banyak kedai cenderahati di sini

Pakcik ini adalah seorang pesara guru


Di dalam kereta Mahdi

Salah satu sudut Bazaar Tabriz

Bazaar Tabriz - bahagian tekstil

Buah-buahan tempatan

Kompleks Blue Mosque

Gerbang masuk utama

Sebahagian daripada jubin berwarna asal yang masih kekal

Kubah

Ruang utama solat

Ruang hadapan solat

Blue Mosque

Blue Mosque dari sudut belakang

Menghala pulang ke rumah

Makan malam

0 ulasan:

Catat Ulasan