Aku terjaga dari tidur sebaik sahaja pesawat
selamat mendarat di Almaty International Airport, ALA. Dengan keadaan yang
mamai aku melangkah masuk ke transit lounge. Penerbangan yang selama 5 jam itu
terasa sangat singkat dan sememangnya aku kekurangan tidur. Selepas ke tandas,
aku terus menuju ke kaunter immigresen untuk keluar dari transit ke balai
ketibaan. Walaupun pada permulaannya mereka tidak melepaskan aku pergi, selepas
menggunakan Google Translate dan bercakap dengan pegawai yang lain, akhirnya
passportku dicop dan dibenarkan keluar. Lama juga aku termenung di kerusi
sambil memakan makanan yang dihidangkan di dalam pesawat. Merasakan aku sudah
segar sepenuhnya, aku menukarkan baki duit Turkish Lira kepada Kazakhstan Tenge
dan membeli simcard berharga KZT 2000 kerana roaming U Mobile sangat mahal jika
dibandingkan dengan membeli simcard tempatan. Sementara menanti hari cerah, aku
ke kaunter pertanyaan pelancong untuk bertanyakan tempat-tempat menarik di
sekitar bandar. Suhu yang menghampiri sub-zero pastinya menjadi suatu cabaran
untuk aku diluar sana dan aku pula tidak membawa baju sejuk. Aku mengambil bas
dari hadapan balai ketibaan untuk ke pusat bandar. Tambang bas sekitar KZT 150
dengan bas penuh sesak memandangkan waktu menunjukkan sekitar 0900H. Keadaan
trafik bertambah sesak sebaik sahaja menghampiri pusat bandar dan pergerakan
bas menjadi sangat perlahan. Perasaanku yang teruja untuk meneroka bandar ini
membuat aku terus turun daripada bas dan meneruskan perjalanan dengan berjalan
kaki. Tujuanku adalah ke President Park yang hanya 2km dari sini, dan aku perlu
terus berjalan untuk memanaskan badan di dalam cuaca yang sejuk ini walaupun
Almaty baru sahaja musim luruh. Almaty adalah bandar yang paling besar di
Kazakhstan. Sekitar 1997 pihak kerajaan telah memindahkah ibu negara dari
Almaty ke Astana yang berada di bahagian utara. Bandar ini juga termasuk dalam
Laluan Sutera yang menghubungkan perdagangan dari Barat ke Timur.
Kazakhstan
adalah salah sebuah negara jajahan Soviet Union dan telah merdeka pada tahun
1991. Ekonomi negara ini adalah berasaskan industri makanan seperti buah-buahan
kering, bijirin dibantu oleh industri tekstil dan industri kejuruteraan yang
masih baru dan sedang dibangunkan. Negara ini juga kaya dengan hasil petroleum
terutamanya di kawasan barat seperti di Karachaganak dan Atyrau. Dari segi populasi kaum Kazakh
adalah majoriti sekitar 60% diikuti oleh Russian, Uzbek, German, Tartar dan
Uyghurs. Penganut agama Islam disini adalah majoriti sekitar 70% diikuti dengan
Kristian selebihnya. Bahasa rasmi disini adalah adalah Bahasa Kazakh dan
Russia. Pemandangan di President Park adalah sangat cantik dengan dedaunan
sudah mula bertukar kekuningan dan banyak juga yang telah gugur di tanah.
Pagi-pagi begini hanya terdapat para ibu yang membawa anak kecil bersiar-siar
di taman. Dari taman kelihatan jelas puncak-puncak gunung dilitupi salji yang
menjadi dinding-dinding utama bandar ini. Aku yang tidak mempunyai perancangan
yang jelas terus berjalan dan akhirnya menghampiri sebuah bangunan besar yang
dipenuhi oleh anak-anak muda yang sibuk bergambar, mungkin ada rombongan kelas
ke sini agakku. Salah seorang dari mereka meminta bantuanku untuk mengambil
gambar mereka secara berkumpulan. Dengan tidak semena-mena kesemua mereka mula
mengerumuniku dan ingin mengambil gambar bersama dan mula bertanyakan soalan
tentang diriku dan tujuanku ke sini. Mereka yang sangat teruja mengajakku untuk
ke pusat membeli-belah berdekatan. Disini hanya terdapat gerai makanan segera
dan aku tidak mempunyai banyak pilihan dan hanya memesan Burger King. Mereka
adalah pelajar universiti tempatan yang mengambil Ijazah Sarjana Muda dalam
bidang pelancongan. Salah seorang dari mereka bernama Aktolmash sangat fasih
berbahasa Inggeris dan sering bertanya soalan-soalan mengenai Malaysia dan
pengembaraanku sejak sebulan lalu. Sebagai kenang-kenangan, kami mengambil
gambar bersama-sama. Mereka akan pulang ke universiti untuk menghadiri kelas
dan aku pula akan berjumpa dengan Dana Couchsurfing.
Kali ini aku berpeluang
untuk mencuba Almaty Metro yang hanya mempunyai 9 stesen dan 1 aliran sahaja.
Dana menantiku di stesen Moscow yang berada di penghujung landasan. Sekali lagi
aku berjalan-jalan di dalam pusat membeli-belah dan kali ini dengan Dana.
Beliau bekerja di dalam sumber manusia dan kebetulan mempunyai masa lapang pada
tengah hari ini. Kami duduk sebentar untuk minum air sebelum bergerak ke
Central Mosque Almaty. Sempat juga berbual-bual dengannya mengenai hal-hal
semasa di sini. Katanya terdapat banyak warga asing yang datang dari Krygyztan
dan Uzbekistan untuk bekerja. Kazakhstan adalah negara yang paling maju di
kawasan Central Asia dan tidak hairanlah ramai yang datang ke sini untuk
mencari rezeki. Sampai sahaja di masjid, aku menunaikan solat dan berehat
sebentar di dalamnya. Ianya telah dibina sekitar tahun 1993 setelah masjid lama
yang telah dibina sejak tahun 1890an telah terbakar. Dana meminta diri untuk
pulang terlebih dahulu dan aku mengucapkan terima kasih kerana meluangkan masa
untuk berjumpaku hari ini. Pertemuan terakhir pada hari ini adalah bersama
Medeya Couchsurfing yang menantiku berhampiran masjid. Beliau adalah cikgu
Bahasa Jepun dan baru sahaja habis mengajar dan terus ke sini untuk berjumpa
denganku. Medeya sudah berpesan kepadaku supaya tidak ke Green Bazaar terlebih
dahulu dan harus pergi ke sana bersamanya. Di sepanjang perjalanan kami banyak
berbual-bual mengenai Couchsurfing dan taraf hidup di Kazakhstan yang tinggi.
Di Green Bazaar, para peniaganya sangat mesra dan sering menawarkan buah-buahan
kering serta kekacang untuk dirasa secara percuma. Kata Medeya, inilah saat yang
sering ditunggu-tunggu beliau. Diberi nama Green Bazaar kerana pada masa dahulu
disinilah mereka menjual sayur-sayuran hijau. Tetapi pada zaman sekarang
pelbagai makanan dijual disini bermula dari rempah ratus, buah-buahan segar dan
kering, daging, ikan, sayuran dan segala keperluan harian. Terdapat juga
sekelompok peniaga Korea yang telah berhijrah ke negara ini. Kata Medeya memang
mereka sudah berhijrah ke sini sejak beberapa tahun yang lalu. Kami kemudian bersiar-siar sekitar Panfilov Park dan aku sedikit hampa kerana tidak dapat melawat Ascension Cathedral yang dalam proses pemuliharaan dan pembaikan. Aku yang agak
keletihan mengajak Medeya untuk melepak di kedai kopi. Aku hanya memesan teh
hijau kerana Medeya tidak minum kopi. Tidak lama kemudian, beliau mengucapkan
selamat tinggal kerana terpaksa pulang awal untuk mengganti kelas rakannya.
Fridge magnet Almaty masih belum dibeli dan aku terus keluar mencarinya di
kedai-kedai yang dinyatakan oleh Medeya. Setelah hampir 3 buah kedai di lokasi
yang berlainan akhirnya aku berjaya mendapatkan fridge magnet dan sehelai baju
Almaty untuk adik bongsuku. Aku kembali semula kedai kopi tadi untuk mengambil
teksi yang telah dipesan Medeya untuk ke lapangan terbang. Sebaik sahaja sampai
di lapangan terbang aku terus ke tandas kerana sakit perut. Mungkin kerana
pagi-pagi tadi aku sudah minum air berkarbonat.
Selepas daftar masuk aku
bertemu dengan 2 orang rakyat Malaysia yang ke sini atas undangan MATRADE untuk
hal perniagaan dan kerjasama dengan Kazakhstan. Salah seorang dari mereka demam
kerana tidak biasa dengan keadaan cuaca di sini. Solat musafirku yang terakhir
adalah di surau sebelum aku masuk ke pesawat. Ucapan terima kasih dikirimkan
kepada Dana dan Medeya sebelum aku menutup telefonku. Sementara menunggu
makanan disediakan, aku mengemaskini catatan harian yang tidak dikemaskini
sejak aku di Sanliurfa lagi. Selesai makan aku pun terus tidur dengan nyenyak.
Aku terjaga dari tidur apabila terbau roti bakar dengan pesawat baru sahaja
melintasi Phuket. Alhamdulillah beberapa jam selepas itu aku selamat mendarat
di KLIA dan disambut oleh ibu dan ayahku. Semoga berjumpa lagi di pengembaraan
akan datang. Akhir kata, dengan nama Tuhan aku mengembara.
President Park
President Park
Bandar Almaty
Bersama rakan-rakan Aktolmash
Bersama rakan-rakan Aktolmash
Aliran Almaty Subway
Almaty Subway
Dewan sembahyang Central Mosque Almaty
Pintu masuk Central Mosque Almaty
Central Mosque Almaty
Para peniaga di Green Market
Para peniaga di Green Market
Para peniaga di Green Market
Telur ikan salmon
Gerai buah-buahan
Pasar daging
Pasar rempah ratus
Panfilov Park
Glory Memorial
Sekitar Panfilov Park
Glory Memorial
Sekitar Panfilov Park
Ascension Cathedral
Potret jalanan
Almaty International Airport
Semakin hampir ke tanah air
Selamat mendarat di KLIA
0 ulasan:
Catat Ulasan