Khamis, 12 Oktober 2017

TABRIZ IRAN/KARADENIZ SOUTHEAST TURKEY/KAZAKHSTAN – 18.0 LAND OF BAKR

Sekitar jam 0630H bas pun tiba di Diyarbakir Otogari. Terminal bas yang sangat besar dan tertutup ini membuatkanku diriku berasa selamat. Mentari sudah pun keluar pada saat ini dan aku cuba menghubungi Hakan Couchsurfing namun mesej ku tidak berbalas dan mungkin beliau masih lagi tidur. Aku mencari tandas untuk membersihkan diri dan ke surau untuk sembahyang. Setelah selesai, aku mengambil peluang untuk melelapkan mata seketika sebelum dikejutkan oleh seorang pakcik yang membebel-bebel sambil menepukku dengan sejadah. Untuk mengelak dari terus dibebel oleh pakcik tersebut aku pun keluar bahagian luar terminal untuk mencari bas ke bandar memandangkan jaraknya yang agak jauh sekitar 10km. Diyarbakir atau maksudnya di dalam bahasa Turki “tanah tembaga” diberi nama setelah mendapati terdapat banyak sumber mineral tersebut di kawasan ini. Selain itu ia juga bermaksud tanah kepunyaan orang Bakr. Bandar ini juga adalah pusat kepada Turkey Kurdistan yang telah menjadi konflik dalaman di antara kerajaan Turkey dan puak penentang Kurdish. Sedang aku berjalan-jalan tanpa hala, aku ditarik oleh seorang pemuda ke tepi untuk duduk di atas tempat menunggu. “Ahhh bala apa pula nak datang ni” getus hati kecilku. Beliau memperkenalkan dirinya sebagai seorang anggota polis sambil menunjukkan IDnya dan mula bertanyakan soalan seperti asal-usul ku, tujuan ke sini dan adakah aku mempunyai kawan disini. Aku yang sudah terbiasa dengan soalan-soalan sebegini menjawab dengan tenang berdasarkan pengalaman-pengalamanku yang lepas. Beliau yang tidak berpuas hati dengan jawapanku akhirnya memanggil rakan kerjanya untuk menyoalku lagi dan kali ini passportku diambil. Jantungku mula berdegup pantas dan aku cuba untuk bertenang kerana ianya amatlah penting untuk mengelakkan perkara ini menjadi lebih besar. Rakan kerjanya mula membuat panggilan dan bercakap dengan pegawai yang lebih tinggi untuk mempersoalkan tentang visa Turki dan cop masuk yang aku perolehi di sempadan Razi/Kapikoy tempoh hari. Alhamdulillah setelah 1 jam di soal-siasat akhirnya mereka melepaskan aku pergi. Mereka meminta maaf kerana mengambil masa yang lama dan inilah pemeriksaan keselamatan yang perlu dilakukan mereka demi menjaga keselamatan di wilayah Turkey Kurdistan yang sedang bergolak ini. Aku mengambil kesempatan untuk bertanyakan tentang bas untuk ke pusat bandar dan mereka memintaku untuk mengambil bas di jalan utama yang tertulis “Dag Kapi”. 

Aku turun di hadapan Dag Kapi iaitu salah satu pintu masuk ke bandar lama Diyarbakir. Terdapat juga pintu-pintu lain seperti Urfa Kapi, Cift Kapi di sekeliling tembok batu yang mengelilingi bahagian bandar lama ini. Memandangkan masa sudah menghampiri waktu Zuhur aku mengorak langkah panjang untuk ke Ulu Cami Diyarbakir ataupun nama lainnya Cami-i Kebir Diyarbakir yang dahulunya Gereja St. Thomas Christian dipercayai salah satu gereja yang tertua di dalam sejarah. Sesetengah pendapat mengatakan ia adalah masjid yang ke-5 suci selepas Masjidil-Haram, Masjid Nabawi, Masjidil Aqsa, dan Masjid Nabi Ibrahim/Masjid Quba. Masjid ini telah dibina sekitar 1000an oleh pemerintah Kerajaan Islam Seljuk iaitu Malik-Shah dan telah mengalami siri-siri pemuliharaan dan naik taraf di zaman tersebut dan zaman pemerintahan Uthmaniah. Solat Jumaat disini adalah 2 rakaat dan disambung dengan Solat Zuhur sebanyak 4 rakaat dan ianya sedikit berbeza dengan mazhab Syafie yang diamalkan di Malaysia. Aku kemudian makan tengah hari di restoran berdekatan dan memesan pilaf iaitu roti yang disertakan daging panggang. Setelah selesai makan aku pun bergerak menuju Gereja Katolik Mar Peytun Chaldean yang telah bina sekitar 1700an. Sepanjang perjalanan ke sana aku berasa hairan dengan keadaan sekeliling yang sunyi sepi dengan bangunan ranap dirobohkan, seperti medan peperangan. Setibanya aku disana, pintu masuk ditutup rapat. Dengan perasaan sedikit hampa aku cuba mengelilingi gereja tersebut dan menemui satu lubang yang besar di sisi dindingnya. Mungkin ianya adalah pintu masuk untuk kerja-kerja pemuliharaan getus hatiku. Tidak jauh dari situ aku menjumpai sebuah kereta perisai. Tiba-tiba seorang anggota polis keluar dari kenderaan tersebut dan menyuruhku keluar dari situ sambil menunjukkan ke arah pagar halangan yang tidak jauh dari situ. Aku yang kebingungan hanya mengikut kata-katanya dan kembali menuju ke Dag Kapi untuk mencari petunjuk. Sekitar 50m sebelum sampai, aku ternampak akan papan tanda yang tertulis “Tourist Information”. Tanpa membuang masa aku terus mengikuti papan tanda dan menemukan aku kepada pejabat informasi pelancong yang betul-betul di dalam Dag Kapi. Memandangkan mereka fasih berbahasa Inggeris, aku bertanyakan tentang apa yang terjadi di gereja tersebut. Katanya sebahagian suku dari kawasan bandar lama ini telah musnah akibat dari peperangan di antara Kurdistan Workers' Party, PKK dan kerajaan Turki sejak 2 tahun lalu. Dan gereja tersebut termasuk dalam kawasan peperangan iaitu di kawasan tenggara bandar. Mereka bertanyakan adakah aku tidak mengetahui tentang perkara ini? Aku sejujurnya tidak mengetahui secara terperinci tentang masalah antara Kurdish dan Turkish. Cuma yang aku tahu ialah Iraq Kurdistan ingin menuntut kemerdekaan dari Iraq. Subhanallah secara tidak sengaja aku telah menceroboh ke kawasan larangan/perang. Mereka mencadangkan aku supaya ke tempat yang lebih selamat iaitu, Masjid Hazrat Sulaiman menerusi Saray Kapi yang tidak jauh dari situ. Di sinilah makam Hazrat Sulaiman iaitu anak kepada Khalid bin Al-Walid dan beberapa 27 orang sahabat Nabi Muhammad SAW yang telah syahid dibawah pemerintahan Khalifah Saidina Umar Al-Khattab RA sewaktu penaklukan daerah Kurdistan. Masjid ini telah dibina 1100an ketika pemerintahan Nisanogulları oleh Abu Kasim Ali. Ramai warga tempatan datang menziarahi pusara disini dan mendoakan para syahid. Aku sempat solat sebentar di dalamnya walaupun keadaan agak sesak. 

Hakan kembali menjawab mesejku di aplikasi WhatsApp dan sejurus selepas itu membuat panggilan. Dia memberikan lokasi rumahnya dan sedikit pandu arah ke sana. Tanpa membuang masa aku kembali ke Dag Kapi dan menanti bas berhampirannya seperti yang diberitahu Hakan. Setelah hampir 15 minit di dalam bas aku pun sampai berhampiran rumahnya. Walaupun tersesat seketika Hakan cepat-cepat menjemputku berhadapan sebuah restoran. Rumahnya adalah sebuah apartment yang merangkap klinik giginya. Beliau adalah seorang doktor gigi dan produser video. Weifa isterinya dari Casablanca juga menetap bersamanya. Mereka yang baru sahaja berkahwin beberapa bulan yang lalu sangat mengalu-alukan kedatangan Couchsurfer ke rumah mereka. Tidak lama kemudian Couchsurfer Elise dan Paige tiba di apartmentnya. Mereka yang berasal dari USA sedang bekerja sebagai guru Bahasa Inggeris di Corum, Utara Anatolia. Aku bertanyakan kepada Paige mengenai rakannya Elise yang menghidapi penyakit Diabetis Jenis 1 yang terpaksa menyuntik insulin setiap hari. Beliau juga mempunyai sensor untuk memantau kadar gula semasa. Hakan menyediakan nasi beriani untuk makan malam dan sememangnya ia adalah hidangan yang lazat. Kami nikmatinya bersama-sama di meja makan sebelum ke ruang tamu untuk menonton filem Exodus Gods and Kings. Aku yang sudah kekenyangan ditambah pula dengan keletihan seharian berjalan-jalan di bandar sering sahaja tertidur di sofa. Tanpa ku sedari filem tersebut telah pun habis. Masing-masing mula masuk ke bilik tidur dan Hakan membantuku untuk menyediakan tempat tidurku di sofa. Sungguh selesa dapat baring di atas sofa yang empuk memandangkan malam tadi aku hanya tidur di atas kerusi bas sahaja. 

Para jemaah menyambung solat Zuhur

Halaman luar Masjid Ulu

Tempat mengambil wudhu

Dewan utama solat

Mimbar dan tempat imam

Pintu keluar

Sisi luar dewan solat

Sekitar luar kawasan masjid

Pilaf

Di kedai-kedai berhampiran

Nama sahabat-sahabat Nabi yang shahid

Makam sahabah

Makam yang berada di dalam masjid

Masjid Hazrat Sulaiman

Diyarbakir Kalesi

Gereja Mar Peytun yang di dalam kawasan perang

0 ulasan:

Catat Ulasan