Ahad, 1 Oktober 2017

TABRIZ IRAN/KARADENIZ SOUTHEAST TURKEY/KAZAKHSTAN – 29.0 BOSPHORUS SEA

Sebaik sahaja aku bangun dari tidur, Liu sudah pun keluar untuk mengambil rakan sekerjanya yang tiba pagi ini. Aku pun bersiap-siap dan tidak lama kemudian mereka pun sampai. Rakannya, Tan ialah Technical Manager datang ke sini hanya beberapa hari hanya sekadar memantau beberapa aspek teknikal untuk dilaporkan ke ibu pejabat. Kami kemudian mengambil teksi dan terus menuju ke Besiktas untuk sarapan pagi. Liu mencadangkan ke restaurant di sekitar kawasan ini kerana beliau pernah bersarapan pagi bersama rakan sekerja lokalnya di sini. Restaurant ini terletak sekitar 100m dari jeti Kabatas. Banyak restoran di kawasan sekitar yang menyediakan sarapan pagi dan setiap pelayan restaurant menjemput kami untuk masuk. Terdapat menu ala-carte yang boleh dipesan namun kami semua bersetuju untuk mengambil Turkish Breakfast yang berharga TL 15 untuk seorang. Namun hidangannya tidaklah sebanyak Turkish Breakfast yang aku nikmati bersama Aydin di Sanliurfa. Liu juga menceritakan pengalaman travel sekitar Eropah dan juga berkongsi tips untuk mengurangkan kesan jet-lag. Beliau sering kali memakan ubat tidur ataupun motion sickness pill untuk memastikan beliau dapat tidur di sepanjang masa penerbangan. Kami kemudian berjalan menuju jeti Kabatas untuk bersiar-siar dan berpeluang melihat meriam besar yang digunakan oleh tentera Sultan Muhammad Al-Fatih ketika menakhluk Constantinople daripada empayar Byzantine. Mereka akan pulang semula ke flat untuk mengambil bateri kamera Tan yang tertinggal dan seterusnya pergi ke pejabat.Sebelum berpisah, Liu membawaku ke jeti feri untuk Bosphorus Tour oleh Dentur Avrasya. Aku terus menaiki feri selepas membayar TL 15 di kaunter masuk dan duduk di kerusi pada bahagian dek terbuka untuk menikmati pemandangan di bahagian Eropah dan Asia Istanbul. Perjalanan dimulakan dengan mudik di bahagian Eropah terlebih dahulu sebelum berpatah balik ke bahagian Asia dan ke kembali semula ke Kabatas. Feri ini melepasi 2 jambatan utama iaitu Jambatan Bosphorus dan Jambatan Sultan Muhammad Al-Fatih. Antara monumen-monumen penting empayar Uthmaniah yang dapat dilihat adalah Istana dan Masjid Dolmahbache, Rumeli Hisari, Anadolu Hisari, Istana Beylerbeyi dan Maiden Tower. Cuaca yang baik dengan tiupan angin sejuk menjadikan perjalanan ini begitu menyenangkan. Akhirnya setelah 90 minit feri pun selamat tiba kembali ke jeti Kabatas. 

Aku kembali menuju ke kawasan Sultanahmet untuk ke Grand Bazaar membeli jubah untuk ibuku. Bazar yang telah mula dibina sejak tahun 1500an adalah bazar yang terbesar dan tertua di dunia menjadikannya tumpuan para pelancong serata dunia. Rata-rata harga di sini agak mahal jika dibandingkan dengan bazar yang aku pergi di Tenggara Turki. Aku cuba mencari kedai yang agak terpencil supaya aku mempunyai kebebasan untuk memilih dan tidak diganggu oleh kebanyakkan peniaga terutama di lorong-lorong utama bazar. Terdapat juga yang menyapaku dalam Bahasa Malaysia namun aku tidak mengendahkannya. Memandangkan duit Lira semakin berkurangan, aku menukar USD 40 di kedai tukaran wang asing. Perjalanan di teruskan untuk menikmati pemandangan di sekitar Blue Mosque dan Hagia Sofia pada waktu siang pula. Memandangkan Hagia Sofia masih lagi proses pembaik-pulihan dan harga tiket yang agak mahal aku mengambil keputusan untuk  hanya memerhati dari luar sahaja. Aku kemudian ke Masjid Sulaiman yang berhampiran Universiti Atarturk. Seni binanya direka oleh arkitek Blue Mosque iaitu Sedefkar Mehmed Aga. Jadi tidak hairanlah seni binanya seakan-akan serupa. Ia diberi nama sempena Sultan Sulaiman dan dibina sekitar 1500an. Di bahagian luar masjid terdapat tanah perkuburan dan juga makam Sultan Sulaiman dan kaum kerabatnya. Memandangkan Liu dan Tan akan ke Ankara esok pagi, aku telah menghubungi Sam yang pernah ke Malaysia bermalam di rumahku pada awal tahun ini. Beliau sangat mengalu-alukan kedatanganku ke rumahnya. Tanpa membuang masa, aku bergegas pulang ke flat untuk mengambil beg dan bercadang untuk pindah ke rumah Sam di Beykoz di Istanbul Asia. Setibanya aku di flat, Liu masih lagi tidak pulang dari kerja dan aku mengambil kesempatan untuk ke bahagian bumbung flat. Pemandangan dari atas sangat mengasyikkan dengan burung camar berterbangan berlatar belakangkan Selat Bosphorus yang sibuk. Aku duduk sebentar untuk menikmati pemandangan ini sambil bersyukur kepada Allah atas nikmat yang dikurniakanNya ini. Sam akan menanti aku sekitar jam 2000H di Masjid Yeni Velide dan aku perlu bergegas ke sana secepat mungkin. Berpeluh-peluh aku naik turun tangga dan bertukar-tukar Metro sebelum sampai di stesen Uskudar setelah 45 minit perjalanan. Ternyata kadar tambang pengangkutan awam di Istanbul agak mahal kerana aku sudah membelanjakan sekitar TL 50 untuk kad Istanbul dalam masa 2 hari ini. Aku kemudian berjalan ke masjid dan menanti Sam di tempat duduk luar. Tidak berapa lama kemudian Sam pun sampai dengan menaiki kereta Audi. Sejak kedatangannya ke Kuala Lumpur bersama kakaknya, aku sudah dapat mengagak yang beliau dari keluarga yang kaya. Jarak dari masjid tadi untuk ke rumahnya di Beykoz adalah sekitar 30km dan kami berhenti seketika di supermarket dan kedai makan untuk mengambil 3 set bebola daging yang ditempahnya. Di supermarket, Sam banyak mengambil makanan dan minuman untuk sarapan pagi pada esok hari. Kereta yang dipandu Sam kemudian mula mendaki bukit-bukit curam dan katanya sudah hampir ke rumahnya. Rumahnya terletak di lereng-lereng bukit yang menghadap ke Selat Bosphorus. Memang terbaik lokasi rumah-rumah di sini. Sam membawa aku ke rumah tetamu yang lebih kecil dan hanya sejauh 50m dari rumah keluarganya. Rumah ini agak bersepah dan tidak dikemas dengan pinggan mangkuk tidak dicuci. Kami makan malam bersama dan aku mula menceritakan sedikit sebanyak tentang pengembaraan aku sejak hampir 30 hari yang lalu. Beliau juga menceritakan perancangannya untuk mengembara lagi walaupun masih lagi belajar di universiti. Kata bapanya, selagi tidak melakukan kemungkaran selagi itu Sam bebas membuat dan pergi ke mana sahaja yang beliau mahu. Sam akan bergerak awal pagi sekitar 0700H ke Istanbul Eropah untuk menghantar bapanya ke tempat kerja dan kemudiannya ke Universiti Istanbul. Aku menolak pelawaannya kerana rancangan esok hari hanyalah untuk meneroka Istanbul Asia. Setelah mandi dan solat aku pun tidur di ruang tamu dengan berselimut tebal.

Sarapan pagi bersama Tan dan Liu di Kabatas

Replika meriam yang digunakan tentera Sultan Muhammad Al-Fatih

Pemandangan sekitar jeti Kabatas

Pemandangan sekitar jeti Kabatas

Pemandangan sekitar Selat Bosphorus 

Rumeli Hisari

Dek terbuka feri

Hagia Sofia

Ruang solat Masjid Sultan Ahmet

Ruang solat Masjid Sultan Ahmet

Pemandangan dari luar masjid

Pintu masuk Grand Bazaar

Istanbul Grand Bazaar

Perkarangan kubur

Makam Sultan Sulaiman dan kaum kerabatnya

Masjid Sultan Sulaiman

Pemandangan ke arah Selat Bosphorus dari masjid

Pemandangan dari roof-top

Ruang tamu rumah Sam.

0 ulasan:

Catat Ulasan