Aku mengetuk pintu bilik untuk mengejutkannya
dari tidur sebaik sahaja aku selesai membersihkan diri. Perancangan kami hari
ini adalah untuk ke Halfeti memandangkan Gozde tidak mempunyai kelas pada
hujung minggu. Beliau kemudian membuatkan sarapan ringkas sebelum kami bergerak
ke otogar. Aku memberitahunya supaya jangan membayar apa-apa tambang atau
makanan untukku lagi sepertimana yang dilakukannya semalam. Ini adalah untuk
tidak membebankanya yang masih lagi belajar. Dari otogar kami mengambil dolmus ke
Birecik dan di situ kami perlu menukar ke dolmus yang lain untuk sampai ke
Halfeti. Aku dapat melihat kebun pokok zaitun dan pistacio di sepanjang
perjalanan. Gozde mengatakan walaupun terdapat banyak hasil pertanian di sini,
harga akhirnya melambung tinggi kerana kos pengangkutan yang mahal disebabkan harga
petrol dan diesel yang di Turkey yang mahal. Akhirnya setelah hampir 2 jam
mengharungi perjalanan lebih 100km kami pun sampai di Halfeti. Ianya adalah perkampungan
kecil yang berada di aliran timur Sungai Euphrates ini telah ditenggelam oleh
projek Empangan Birecik sekitar tahun 1990 dan penduduk kampung telah
dipindahkan ke penempatan baru di Karaotlak sekitar 10km dari tempat asal. Di
sini juga terdapat Rumkale iaitu istana lama yang telah dibina oleh Assyrians sekitar
tahun 800SM yang kemudian ditakhluk Byzantine dan Armenian sebelum ditawan
kerajaan Mamluk Mesir. Istana ini masih lagi dalam proses pemuliharaan oleh
kerajaan tempatan dan tidak dibuka untuk lawatan orang awam. Gozde terus
bertanyakan kepada seorang pemuda tentang bot yang akan berlayar di sekitar
empangan. Katanya bot VIP ke sana murah separuh harga memandangkan ianya musim
luruh. Jadi aku terus mengambil keputusan untuk mengambil bot tersebut dengan
bayaran TL 60 untuk dua orang. Apa yang istimewa tentang bot VIP ini adalah ia
akan berhenti lama di Kampung Savasan Koyu yang hanya sebahagian kampung ditenggelami
air. Sementara menanti bot, Gozde membeli buah limau tempatan yang manis
sebagai kudapan.
Hatiku mula melonjak kegembiraan sebaik sahaja pemuda itu
memanggil kami. Dari pintu masuk jeti kami dibawa menaiki sebuah boat
ditengah-tengah jeti. Kami memilih untuk duduk di tingkat atas untuk
mendapatkan pemandangan yang lebih cantik dan luas. Bot mula bertolak
meninggalkan jeti setelah beberapa orang lagi penumpang naik ke atasnya. Bersama
kami terdapat 4 orang lagi yang berada di tingkat atas bot ini. Kata Gozde
sewaktu beliau ke sini sekitar musim panas tahun lepas, keadaan cuaca kurang
baik dengan hujan lebat dan bot pula sarat dengan penumpang. Pemandangan
sekitar tasik sangat cantik kerana dikelilingi bukit-bukit tinggi dan ianya
agak unik. Jadi tidak hairanlah Halfeti menjadi pusat tumpuan pelancong setelah
ia ditenggelamkan air berbanding sebelumnya. Setelah pekan lama Halfeti lenyap
dari pandangan mata, muncul Rumkale dari sisi kiri bot. Istana yang dahulunya
kelihatan tinggi di puncak bukit kini tampak rendah kerana air telah
menenggelamkan sebahagian besar kawasan tanah rendah dibawahnya. Terdapat juga
beberapa bot lain berada di sisi bot kami dan mereka juga menuju ke Kampung
Savasan. Selepas hampir 40minit kami pun tiba di kampung. Sebahagian dari
kampung ini tidak ditenggelami air kerana berada di kawasan tinggi dan struktur
bangunan yang jelas kelihatan di permukaan air ialah menara Masjid Savasan
Koyu. Bot mula merapati jeti dan akhirnya semua penumpang turun ke kampung
tersebut. Mereka menjemput kami untuk minum chai di cafe namun kami memilih
untuk berjalan-jalan di sekitar untuk melihat kawasan yang telah ditinggalkan. Sebahagian
rumah masih lagi dalam keadaan baik dan terkunci rapat. Terdapat banyak
pokok-pokok zaitun yang sedang lebat berbuah dan tidak kurang juga pokok delima
yang buahnya sudah pecah kerana terlalu masak . Aku tidak sempat untuk ke
kawasan yang lebih tinggi kerana Gozde sudah mula memanggilku sambil mendengar
hon dibunyikan dari bot. Setibanya di jeti Halfeti, kami terus mengambil dolmus
ke Birecik kerana khuatir ditinggalkan kerana pengangkutan di sini adalah
terhad pada musim sekarang. Kami makan Tepside Patlıcan Kebab untuk makanan
tengah hari di Birecik walaupun jam sudah menunjukkan jam 1700H. Kemudian menyambung
perjalanan pulang ke Gaziantep dan akhirnya selamat tiba di flat. Walaupun
keletihan, aku agak terhibur dengan gelagat Aryan yang tidak letih berlari ke
sana ke mari. Aku mula memeriksa harga tiket penerbangan ke Istanbul untuk hari
esok dan ternyata ianya telah naik sekitar TL 250 berbanding sekitar TL 150
beberapa hari sebelum. Aku juga memeriksa aplikasi Couchsurfing untuk memeriksa
permintaanku bermalam di Istanbul namun ramai yang menolak. Akhirnya aku
mengambil keputusan untuk berlepas ke Istanbul pada hari berikutnya setelah
berjaya mendapatkan tiket murah dengan menaiki pesawat Pegasus.
Sementara menanti penumpang lain
Meninggalkan pekan Halfeti
Rumkale
Kampung Savasan
Menara Masjid Kampung Savasan
Pokok zaitun yang lebat berbuah
Pemandangan dari bumbung rumah
Keadaan kampung yang telah ditinggalkan
Pokok Delima
Menghala pulang
Bot-bot lain yang bersama kami
Pemandangan pekan Halfeti dari tengah Empangan Birecik
Jeti Halfeti
Ladang-ladang zaitun dan kacang pistacio
Tepside Patlıcan Kebab
Aryan
0 ulasan:
Catat Ulasan