Jumaat, 27 Oktober 2017

TABRIZ IRAN/KARADENIZ SOUTHEAST TURKEY/KAZAKHSTAN – 3.0 QAZVIN

Antara perkara yang akan diperiksa setiap pagi ialah Couchsurfing untuk melihat respon dari host-host yang telah ku hantar permintaan untuk bermalam di rumah mereka. Sedikit hampa pagi ini kerana tiada satu pun host yang sudi menerima kami di Qazvin iaitu destinasi yang seterusnya yang sejauh 150km dari ke barat laut Tehran. Sebagai alternatif, aku terus mencari maklumat di internet dan menempah Central Guesthouse yang berharga IRR 1200K untuk 2 malam. Sementara menanti Mehdi bangun, kami makan biskut dan keluar melihat pokok pisang kaki/persimmon yang berada di halaman belakang rumahnya. Hosein pula tidak akan ke Tehran kerana hari Jumaat ialah hari minggu di sini dan beliau hanya akan berehat di rumahnya di Karaj. Sebaik sahaja Mehdi bangun, beliau terus menjerang air dan membeli roti dan menyediakan sarapan. Semasa bersarapan kami sempat bertanyakan tentang pekerjaannya sebagai pengacara program dan editor. Beliau bekerja di telewebion.com dan rancangan telekuiznya di sering diudarakan di TV4. Kami sungguh bertuah kerana dapat mengenali seseorang yang terkenal dan sering ke udara di kaca televisyen di Iran! Sebelum beredar keluar, kami memberikan sedikit cenderahati untuk mereka sekeluarga dan mengambil foto kenang-kenangan. Namun aku sedikit terkilan kerana tidak dapat bergambar bersama bapanya, Hosein. Beliau menghantar kami ke stesyen metro dan kami menyambung perjalanan kami ke Karaj. Strategi untuk memulakan hitch-hike ialah untuk pergi sejauh yang mungkin dari kesesakan bandar dan stesen bas atau teksi. Perhentian yang terakhir ialah Golshahr selang 2 stesyen dari Karaj dan aku bercadang untuk berhenti di situ kerana jaraknya lebih hampir ke Karaj-Qazvin Freeway. Kami berjalan keluar dari stesyen metro dan menuju ke lebuh raya, dan keadaan trafik sangat sesak sehingga memaksa aku menaiki jejantas untuk menyeberangi lebuh raya. Kesilapan memerhatikan peta di Google Maps menyebabkan aku terpaksa berpatah balik ke tempat asal tadi. Aku meminta Pak Usop memegang kertas bersaiz A4 dengan tulisan Qazvin dalam Parsi dan kami sering bertukar-tukar posisi dan tempat menunggu tetapi kebanyakan yang berhenti adalah kereta sewa. Akhirnya setelah hampir sejam kami pun nekad untuk menaiki apa sahaja kenderaan yang berhenti setelah melihat sebuah bas hampir kemalangan disebabkan aliran trafik yang perlahan di sebelah tepi lebuh raya berpunca dari kereta yang berhenti kerana ingin membantu kami. Sebuah kereta sewa berhenti dan meminta 200K untuk 2 orang ke Qazvin. Aku hanya bersetuju dan kami pun meneruskan perjalanan. Pemandangan sepanjang perjalanan hanyalah padang pasir dan sesekali pekan-pekan kecil. Pemandu kereta ingin berkomunikasi dengan kami walaupun tidak fasih berbahasa Inggeris dan aku meminta Pak Usop untuk melayannya. Setelah 1.5 jam kami pun sampai di guesthouse yang berhampiran dengan Qazvin Bazaar. Kami daftar masuk berehat sebentar. Biliknya bersih dan selesa dengan tandas berada di luar.

Qazvin ialah bandar yang lama dan pernah menjadi ibu negara kerajaan Safavid sekitar 1500an dan terdapat banyak penemuan arkeologi di sini. Memandangkan perut sudah mula lapar, kami keluar mencari makanan di sekitar bazaar dan ke Sa'd al-Saltaneh iaitu caravanserai yang terbesar di dalam bandar selain daripada Zein-o-din, Yazd untuk caravanserai yang berada di luar kawasan bandar. Caravanserai ini telah dibina sejak zaman Qajar, 1700an lagi dan telah dipelihara dan dipulihara dengan baik sekali. Di dalamnya sekarang terdapat kedai-kedai menjual tekstil, barang perhiasan, kafe dan restoran yang sering menjadi tumpuan anak muda di sini. Kami terus ke destinasi yang seterusnya Peighambarieh Shrine dimana makam 4 orang nabi dari keturunan Yahudi yang bernama Salam, Solum, Sohuli and Alqia. Dipercayai mereka telah membawa khabar tentang kelahiran Nabi Isa A.S. Ianya telah dibina sejak zaman Safavid. Kompleks yang luas ini juga menempatkan kubur Saleh iaitu anak Imam Syiah yang kedua, Imam Hasan bin Ali. Kami masuk ke dalam makam yang dihiasi cantik sama seperti makam-makam lain di Iran. Ianya pengalaman pertama buat Pak Usop masuk ke makam di sini. Diluar kami disapa makcik yang menziarahi makam dan memberikan kami gula-gula. Orang Iran memang terkenal keramahan mereka. Pegah dari Couchsurfing ingin bertemu kami di Aminiha House dan kami terus bergerak ke selatan dan menantinya di kerusi jalanan. Akhirnya beliau pun sampai bersama rakannya dan kami menanti beberapa minit sebelum ianya dibuka pada tepat jam 1700H dengan bayaran IRR 100K. Rumah ini dibina oleh Haj Mohammad Reza Amini salah seorang pedagang yang kaya sekitar zaman Qajar 1700an. Ianya adalah satu contoh rumah tradisional mewah yang masih kekal sehingga hari ini. Hiasan kaca dan tingkap Orosi yang berwarna-warni sangat menarik. Setiap rekabentuk dan hiasan di dinding akan menceritakan sesuatu mengenai alam ini. Di bahagian bawah tanah terdapat bahagian stor, bilik-bilik dan kolam mandi/hamam namun kami tidak dapat keterangan lanjut untuk setiap bahagian disini kerana penjaga disini hanya berbahasa Farsi dalam setiap penerangannya sepanjang kami disini. Kehadiran Pegah sedikit sebanyak membantu kami untuk menghargai setiap apa yang kami lihat di sini. Kami berjalan selama beberapa minit untuk ke Masjid Jamek Qazvin yang hanya 700m dari situ sekadar untuk melawat masjid lama yang telah mula dibina sejak 800an. Seperti Masjid Jamek Borujerd yang telah ku lawati tahun lalu, masjid ini dibina di atas tapak asas kuil api Zoroaster/Majusi. Tidak banyak gambar yang berjaya diambil kerana keadaan yang gelap dan masjid di dalam proses penambahbaikan. 

Sebaik keluar dari masjid kami bertemu Milad, rakan Pegah dan kami berempat menaiki kereta Milad ke Sa'd al-Saltaneh untuk makan malam dan mengenali antara satu sama lain. Mereka memesan Ash iaitu sejenis bubur kacang tempatan dan air yogurt serta chai/teh. Pegah yang berusia awal 20an sedang bekerja separuh masa sambil menanti peluang untuk menyambung pelajaran ke luar negara. Beliau mempunyai teman lelaki dari German dan berhasrat untuk meninggalkan Iran kerana beliau sudah lama tidak mempraktikkan Islam kerana kebenciannya terhadap kerajaan Islam yang ada sejak revolusi 1979. Milad pula yang masih lagi berada dalam military service selama 2 tahun sangat berharap dapat menghabiskannya secepat mungkin untuk mendapatkan kerja dan keluar dari Iran untuk mengembara. Perbincangan awal lebih kepada perbezaan jantina, kebaikan dan keburukan di antara satu sama lain. Memandangkan kedua-dua mereka berfikiran terbuka dan fasih berbahasa Inggeris, perbincangan diteruskan sehingga ke larut malam sehingga memaksa Pegah terpaksa pulang terlebih dahulu. Cuaca semakin sejuk dan topik yang dibualkan lebih mendalam mengenai tujuan hidup. Kebanyakkan golongan muda disini mahukan kehidupan yang lebih sosial dan terbuka seperti di barat dan itulah gaya hidup Iran sebelum revolusi 1979. Mereka mahukan kebebasan memilih agama dan cara hidup dan bukannya seperti yang dipaksa oleh kerajaan Islam Iran. Aku menceritakan kehidupanku di Malaysia dan apakah yang membawaku kembali ke Iran untuk kali yang kedua. Penerangan tentang Islam Sunni dari sudut ilmu pengetahuanku yang terbatas dan tujuan hidupku kerana Tuhanku yang Satu, Allah mengisi malam ke-3 di bumi Farsi ini. Kami akhirnya beredar setelah tidak mampu menahan kesejukan malam sehingga hujung jari-jemari kami kebas dan berjanji untuk bertemu semula pada esok hari.

 Buah Pisang Kaki di halaman rumah Hosein

 Memulakan perjalanan di stesyen Tarasht

 Menuju ke Golshahr

 Stesyen keretapi Golshahr

Menyeberangi jejantas di bandar Golshahr 

 Kafe di bahagian terbuka Sa'd al-Saltaneh

 Bahagian dalam Sa'd al-Saltaneh

Kedai-kedai yang terdapat di Sa'd al-Saltaneh

Peighambarieh Shrine

Salah satu makam yang terdapat di dalam 

Tingkap Orosi

Bahagian ruang utama yang sedang dibaik pulih

Bahagian bawah tanah

Hamam

Dewan sembahyang Masjid Jamek Qazvin

Gerbang masuk utama Masjid Jamek Qazvin

Antara malam-malam yang pasti dikenang bersama Pak Usop dan Milad

0 ulasan:

Catat Ulasan