Aku terjaga dari tidur sebaik sahaja bas tiba di perhentian bas Rize – Rize Otogari sekitar 0500H. Perhentian bas yang kecil dan terbuka ini kelihatan lengang dengan para penumpang yang lain menuju ke kenderaan yang telah menanti mereka. Kedua-dua kami masih lagi mamai dan mengantuk. Cuba untuk mencari masjid berdekatan untuk menumpang solat Isyak dan Subuh. Setelah berjalan beberapa minit hasil pertanyaan kepada seorang pakcik, kami pun sampai ke Resediye Cami. Mengambil peluang untuk embersihkan diri sebelum solat dan berehat seketika menanti azan Subuh. Tiada air panas disediakan, maka kesejukkanlah kami menggunakan air. Tidak lama kemudian datang seorang pakcik lalu melaungkan azan Subuh. 30 minit kemudian barulah jemaah-jemaah lain sampai dan solat Subuh berjemaah dimulakan. Setelah hari semakin cerah, kami berjalan semula ke Rize Otogari untuk sarapan pagi. Ia hanyalah air panas yang dibeli pada harga TL 1 dan direndam uncang teh Golestan yang dibeli ketika kami di Iran. Dicicah bersama roti nan yang sentiasa menjadi bekalan kecemasan. Perjalanan pagi ini dimulakan dengan mendaki perlahan-lahan menyelusuri lorong-lorong kecil untuk ke Rize Kalesi iaitu kubu atau istana lama yang terletak di puncak bukit. Setelah hampir 40 minit dengan peluh-peluh dingin pagi aku pun sampai setelah beberapa kali berhenti kepenatan. Pergerakan kami agak perlahan kerana masih menggalas beg masing-masing untuk ke sana. Di sini kelihatan jelas pemandangan panorama pekan Rize yang menghadap Black Sea berlatarbelakangkan bukit-bukau yang menghijau. Istana ini telah dibina sekitar tahun 500an oleh Empayar Byzantine. Terdapat cafe dimana para pengunjung dapat menikmati teh Rize yang terkenal di seluruh Turkey kerana kualitinya sambil bersantai bersama rakan-rakan atau keluarga. Memandangkan hari masih awal pagi, tidak terdapat ramai pengunjung di sini. Ianya adalah peluang yang baik untuk bertenang dan santai seketika. Terdapat segerombolan budak sekolah yang membuat lawatan sambil belajar baru sampai di puncak.
Kami juga sempat berjalan menyelusuri kebun teh kecil kepunyaan penduduk tempatan yang terletak di lereng-lereng bukit berhampiran rumah mereka. Aku mula bertanya kepada orang tempatan untuk mengambil bas ke destinasi seterusnya iaitu Uzungol. Walaupun mereka tidak fasih berbahasa Inggeris namun mereka cuba yang sebaiknya. Bas pertama ialah untuk bergerak keluar dari Rize menuju ke pekan Of yang mengambil masa lebih kurang 30 minit dan bas yang kedua pula dari Of ke Uzungol. Dan jumlah tambang yang perlu dibayar ialah TL 11. Kami bernasib baik dapat bertemu dengan seorang pemuda bernama Emre seorang cikgu tadika yang mempunyai tujuan yang sama ke Uzungol. Di dalam bas kami banyak berbual dengannya dan beliau mengajak kami untuk ke tadikanya berhampiran tasik. Kami bertukar nombor telefon dan berjanji untuk datang melawatnya sebelum kami pulang. Akhirnya setelah 1 jam di perjalanan, kami pun sampai. Nihan membantu kami untuk mencari hotel murah disini yang berharga TL 100 untuk satu malam. Uzungol bermaksud tasik yang panjang telah menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Tasik ini dikelilingi hutan alpine yang tebal kelihatan seolah-olah kita berada di Eropah. Pemandangan yang cantik ini dikelilingi oleh hotel-hotel dan segala macam kedai untuk keperluan pelancong. Di kawasan lereng bukit yang lebih tinggi terdapat kampung-kampung dan juga hotel-hotel mewah. Masjid Uzungol terletak sedikit tinggi di lereng bukit manakala terdapat satu lagi masjid yang dijadikan madrasah Al-Quran berhampiran dengan tasik. Setelah mendaftar masuk di tingkat bawah Kusva Apartment, kami menuju ke tingkat 2 dimana bilik kami berada. Ia adalah apartment yang lengkap dengan perabut dan mempunyai satu bilik. Ruangnya agak besar dan selesa. Kami tidak menunggu lama dan terus keluar berjalan untuk meneroka kawasan sekitar.
Dimulakan dengan makan tengah hari iaitu kebab yang berharga TL 20. Ianya adalah harga normal disini tetapi kami merasakan ia agak mahal. Kami berjalan mengelilingi tasik dan kemudiannya menuju ke hulu sungai meninggalkan tasik dan kelihatan lebih banyak hotel disini walaupun kebanyakkan tutup. Mungkin kerana sekarang adalah low season menghampiri musim luruh dan sejuk. Tidak cukup dengan berjalan ke hujung kampung, Pak Usop yang sentiasa inginkan cabaran mengajakku untuk mendaki ke atas bukit yang lebih tinggi sambil tangannya menunjukkan anak sungai kecil di lereng bukit. Aku ikutkan sahaja kehendaknya memandangkan peluang ini tidak selalu hadir. Kami berhenti mendaki setelah hari semakin gelap dan suhu yang tadinya panas kini beransur sejuk. Semasa perjalanan pulang, seorang pakcik yang sibuk mengait buah telah memberikan kami beberapa biji buah untuk kami bawa pulang. Aku pun tidak pasti apakah nama buah itu dan hanya memakannya sedikit sahaja. Memandangkan terdapat perkakasan memasak dan mesin basuh di apartment, kami mencari kedai runcit untuk membeli mee segera dan sabuh basuh baju. Kami menghabiskan TL 20 untuk membeli mee segera, telur dan sabun. Jadi pada malamnya, kami berpesta mee segera dan membasuh pakaian yang telah berhari-hari kami pakai. Sebelum tidur, Muhamad dari Couchsurfing Trabzon menghantar mesej bertanyakan kepadaku tentang kedatangan kami bandarnya. Aku membalasnya yang kami akan sampai dalam 1-2 hari lagi.
Pemandangan panorama dari istana
Cafe yang terdapat di puncak bukit
Sebahagian struktur istana yang masih terpelihara
Pokok limau penduduk tempatan
Uzungol menghadap masjid
Pemandangan ke arah hilir sungai
Terus meneroka jauh meninggalkan Uzungol
Sedikit pendakian mengikuti anak sungai
Air terjun kecil berhampiran puncak
0 ulasan:
Catat Ulasan