Rabu, 25 Oktober 2017

TABRIZ IRAN/KARADENIZ SOUTHEAST TURKEY/KAZAKHSTAN – 5.0 DESCENDING TO CASPIAN SEA COAST

Alhamdulillah, Amin dari Couchsurfing akan menerima kami untuk rumahnya di Rasht walaupun baru semalam aku menghantarnya pesanan. Banyak permintaan telah dihantar beberapa minggu sebelum namun kebanyakkan host menolak. Sememangnya ia agak sukar mendapatkan host untuk 2 orang lelaki berbanding dengan 2 orang pasangan lelaki perempuan atau pengembara solo. Namun ia bukanlah alasan untuk tidak menggunakan Couchsurfing selain daripada memberikan pendedahan awal kepada Pak Usop mengenai konsep hospitaliti yang ditekankan dalam komuniti ini. Kami makan sisa roti semalam bersama jem dan membancuh teh sebagai sarapan sebelum memulakan perjalanan. Aku hanya mengikut panduan yang diberikan Milad dan Pegah untuk mengambil bas berhampiran Bazaar Qazvin untuk keluar dari pusat bandar dan menuju ke Qazvin-Zanjan Freeway. Kami turun di hentian terakhir berhampiran Islamic Azad Univerisity yang dilalui semalam. Sampainya disitu kami menuruni bukit dan menaiki jejantas untuk menyeberang ke sisi jalan yang bertentangan. Aku lihat dibawah jejantas terdapat kawasan tanah lapang yang luas dan kelihatan banyak bas dan kereta berhenti untuk menurunkan penumpang. Ianya adalah satu lokasi yang kurang baik untuk memulakan hitch hiking kerana kebanyakkan kenderaan yang berhenti di situ adalah kenderaan awam. Aku terus mengeluarkan kertas A4 yang tertulis Rasht dan memegangnya sambil tangan yang sebelah lagi menunjukkan isyarat ke arah aliran trafik. Setelah hampir sejam berusaha kebanyakkan kenderaan yang berhenti adalah bas dan kereta sewa. Akhirnya kami naik bas ekspress yang menuju ke Astara, sempadan Iran-Azerbaijan dengan bayaran IRR 150K seorang untuk perjalanan sejauh 170km. Aku terus tertidur sebaik sahaja bas mula bergerak dan terjaga di sempadan daerah Qazvin-Gilan. 

Kelihatan empangan Selifid Rud di sebelah kiriku dengan bas laju menuruni bukit. Juga, kelihatan kincir-kincir angin berhampiran empangan. Empangan ini dibina untuk mengairi tanaman-tanaman di sekitar daerah Gilan yang dimana industri agrikultur yang terbesar di Iran berada di sini. Kebanyakkan sayuran, buah-buahan dan beras ditanam disini kerana struktur geographinya strategik dan tanahnya subur. Gilan adalah kawasan yang menerima paling banyak hujan di seluruh Iran. Pemandangan gunung-ganang yang kekuningan mula bertukar kehijaun apabila memasuki ke daerah ini. Aku mula merasakan seperti berada di tanah air sendiri dengan persekitaran yang menghijau dikelilingi hutan tebal. Akhirnya setelah hampir 3 jam, bas memberhentikan kami di Jokleh Bandan, sebuah pekan kecil berhampiran Rasht. Aku menghubungi Amin yang baru sahaja terjaga dari tidur dan terus berkongsi lokasi rumahnya di aplikasi WhatsApp. Kami mengambil teksi untuk ke rumahnya dengan bayaran IRR 100K seorang untuk perjalanan sejauh 20km ke rumah Amin di bandar Rasht. Ketika hampir tiba di rumahnya, aku menghubungi Amin dan memberikan telefon kepada pemandu teksi untuk pandu arah. Kami tiba di rumahnya hampir jam 1300H. Rumahnya sangat besar dan mewah walaupun hanyalah pangsapuri 5 tingkat. Ibu bapanya masih bekerja dan bakal pulang tidak lama lagi begitu juga dengan adik lelakinya yang masih bersekolah menengah. Amin adalah seorang pelajar universiti dan akan kelas pada sebelah petang dengan sebelah tangannya telah disimen kerana patah tulang akibat kemalangan. Beliau menghidangkan buah-buahan dan coklat sambil membuat teh. 

Tidak lama kemudian ibu bapanya pulang ke rumah bersama adiknya, Hadi. Ibunya membeli nasi beriani untuk makanan tengah hari dan kami menikmati hidangan tersebut bersama-sama. Dengan perut yang lapar, habis kesemua nasi yang dihidangkan di dalam pinggan memandangkan sejak beberapa hari ini hanya mengalas perut dengan roti. Bapanya, Milad dan ibunya Rabeah bekerja di dalam bidang perundangan dan seringkali naik turun mahkamah. Walaupun mereka golongan yang terpelajar namun masih mengekalkan nilai-nilai murni ketimuran. Bapanya bertanya tentang rancangan pengembaraan kami sambil berkongsi tentang tempat-tempat menarik serta makanan yang boleh di dapati di Rasht. Kami keluar bersama Amin dan seterusnya menuju ke pusat bandar Rasht sambil berjalan kaki. Rasht ialah bandar terbesar di pesisir Laut Caspian dan mempunyai kawasan perdagangan yang penting menerusi pelabuhan Bandar Anzali. Tentera Russia dan British juga pernah bertempur di pelabuhan ini sekitar awal 1900an. Pelabuhan ini juga dijadikan hub perhubungan melalui Laut Caspian ke Caucasus dan Eropah. Seni bina bangunan di sini agak unik dan moden dan tidak sama seperti bandar-bandar lain di Iran. Setelah hampir 30 minit berjalan akhirnya kami sampai Rasht Municipality Building dan berehat sebentar di Shahrdari Square. Kelihatan ramai penduduk tempatan berjalan-jalan di sekitar medan ini yang berhampiran dengan pusat membeli belah dan bazaar. Tugu Mirza Koochak Khan juga dibina di sini. Beliau adalah Presiden Republik Sosialis Gilan sekitar awal 1900an yang telah bekerjasama dengan pihak Soviet Union dari Russia. Gerakan ini telah terhenti setelah pembunuhan beliau. Kami berjalan menghala ke Sabzeh Meydan dan terserempak dengan sekumpulan rakyat Malaysia yang ke sini untuk tujuan kerja. Jaketku tadi yang basah dek peluh sudah mula kering dan cuaca semakin sejuk kerana matahari semakin hampir di ufuk timur. Setelah memerhati gelagat pakcik-pakcik di taman kami pun pulang ke rumah. Ibu bapanya banyak bertanyakan tentang perbezaan budaya dan Muslim Sunni di Malaysia. Ibunya menyediakan makaroni untuk makan malam. Sekali lagi kami makan bersama-sama bagai sebuah keluarga yang besar.Mataku yang berat sering kali terlelap bila mana ayahnya membaca puisi Syed Maulana di dalam bahasa Farsi. Mungkin kerana terlampau kenyang dan letih, nasib baik Pak Usop masih bertenaga dan melayan mereka. Malam itu diakhiri dengan sesi menangkap gambar di ruang tamu. Amin memberikan kami bilik tidurnya dan beliau hanya tidur di ruang tamu.

Bazaar Qazvin

Pak Usop dalam cubaannya untuk hitch hike

Pemandangan di dalam perjalanan Qazvin ke Rasht

Perkampungan di lereng bukit

Sungai yang terbentuk selepas empangan

Latar belakang pemandangan mula bertukar dari kuning ke hijau

Inilah harinya dimana Trump meneruskan resolusi sekatan ekonomi ke atas Iran

Shahrdari Square

Rasht Municipality - Historical Building

Orang lokal bersiar-siar di Shahrdari Square

Pakcik-pakcik melepak di Sabzeh Meydan

Perjalanan pulang ke rumah Amin

Makan malam

Terima kasih Hadi, Amin, Milad dan Rabeah

0 ulasan:

Catat Ulasan