Paginya kami bangun awal kerana tidak mahu melepaskan saat-saat terakhir kami disini bersama mereka sebelum bergerak ke Ardabil. Ibunya bangun lebih awal untuk menyediakan sarapan pagi. Memanaskan roti, membancuh teh dan menyediakan meja makan dengan pelbagai buah-buahan kering, kekacang dan pelbagai jenis jem. Aku mengakui yang bersama keluarga Amin membuatkan perutku sentiasa penuh dengan makanan-makanan yang lazat dan berkhasiat. Jem ceri adalah kegemaranku pagi ini disertakan dengan madu asli, keju dan prun. Mereka memberitahu kami yang hampir kesemua makanan adalah organik dan diperoleh dari kebun mereka di Talesh. Terdapat juga rumah persinggahan mereka disana untuk musim bunga dan panas. Aku berpesan kepada Pak Usop untuk makan secukupnya kerana perjalanan hari ini agak jauh. Setelah selesai bersarapan, kami mengucapkan terima kasih dan menjemput mereka untuk Malaysia selain memberikan cenderahati sebagai kenangan. Kami berjalan keluar ke jalan utama sebelum mengambil teksi dihadapan sekolah untuk ke stesyen teksi Rasht sebagaimana yang diberitahu Amin. Beliau juga memberitahu kami bahawa lebih banyak masa diperlukan untuk hitch hiking di daerah Gilan kerana terdapat banyak pekan-pekan kecil diantaranya yang menyebabkan kebarangkalian sesuatu kenderaan untuk bergerak jauh antara bandar ke bandar adalah sangat rendah. Aku juga menceritakan pengalamanku hitch hiking yang bermula di Tehran dimana jarak antara satu bandar ke satu bandar yang lain dipisahkan oleh padang pasir yang luas. Jadi aku memilih hanya untuk menaiki pengangkutan awam untuk perjalanan seterusnya. Kami menunggu seketika untuk penumpang lain sampai supaya teksi berjaya dipenuhkan dengan 4 penumpang. Kami membayar IRR 100K seorang untuk perjalanan sejauh 100km dari Rasht ke Talesh yang mengambil masa lebih kurang 2 jam. Aku sengaja mengambil jalan di pesisir pantai yang lebih jauh untuk menyusuri sempadan Iran-Azerbaijan sebelum sampai ke Ardabil. Sampainya di Talesh kami berhenti di terminal teksi yang kecil dan menanti kereta sewa untuk ke Ardabil. IRR 250K seorang dibayar untuk menyambung perjalanan kami dari Talesh ke Ardabil yang sejauh 150km. Tingkap kereta dibuka sepanjang perjalanan dengan suhu yang selesa sekitar 15 deg celcius. Pemandangan masih lagi kekal menghijau dikelilingi hutan dan sesekali perkampungan warga tempatan. Aku hanya memandang papan tanda lencongan ke Astara iaitu sempadan Iran-Azerbaijan jauh di sudut pandangan sebelum kereta berhenti sekali lagi untuk mengambil seorang pakcik di tepi jalan. Kelihatan pagar tinggi serta berkawad disebelah sisi kananku dan aku terus memeriksa Maps.ME. Ternyata ia adalah sempadan Iran-Azerbaijan. Pemandu juga menunjukkan tangannya ke arah pagar-pagar tersebut dengan menyebut ‘Azerbaijan’. Suhu persekitaran mula menurun sehingga memaksa kami menaikkan tingkap kereta. Kereta mula mendaki jalan yang semakin curam menyusuri pergunungan Alborz dan hutan simpan Fandoqlu. Kabus mula menyelebungi sebahagian daripada jalan dan hampir kesemua kenderaan menyalakan lampu hadapan. Sesekali aku cuba mengambil gambar menggunakan camera namun tidak dapat menahan angin sejuk yang masuk ke dalam kereta.
Akhirnya setelah hampir 3 jam, kami pun tiba di bandar kecil Ardabil. Keadaan disini lebih sejuk memandangkan altitudnya berada 1400m dari aras laut. Aku menghubungi Bahi, host Couchsurfing yang telah menerima permintaanku untuk bermalam di rumahnya. Setelah memeriksa peta, kami mengambil teksi yang berharga IRR 100K untuk ke rumah Bahi dari tepi jalan setelah diberhentikan kereta tadi. Dalam beberapa minit kami pun tiba di rumahnya setelah pemandu tersebut bercakap dengannya dengan menggunakan telefonku. Apartmennya berada di tingkat satu dan kami menaiki tangga dan beliau hanya menunggu kami di depan pintu. Bahi adalah pesara tentera. Hanya dia bersendirian di rumah manakala anak-anak sudah besar dan berkeluarga. Kami berkongsi cerita dan mengenali antara satu sama lain dengan menikmati teh dan biskut yang dihidangkannya. Beliau menggelarkan dirinya 'Bahi the Gardener' kerana hobinya adalah berkebun. Di dalam rumahnya terdapat banyak pokok bunga dan perhiasan. Di halamannya juga terdapat kebun kecil untuk pokok-pokoknya yang lebih besar. Aku bertanyakan kepadanya tentang Iran sebelum Revolusi 1979. Hubungan Iran-Amerika sangat baik pada masa itu, sehinggakan tentera Iran datang ke Amerika untuk latihan ketenteraan dan saling bekerjasama. Beliau juga berkesempatan untuk ke Amerika juga sekitar 1970an untuk tujuan latihan ketenteraan. Namun segalanya berubah selepas revolusi. Antara kemuncak peristiwa adalah bila mana beberapa rakyat Amerika dijadikan tahanan setelah kedutaan Amerika di Tehran di serang. Maka bermulah sekatan ekonomi seluruh dunia terhadap Iran yang menyebabkan mereka sehingga ke hari ini terasing di bumi sendiri. Atas sebab-sebab ini Bahi tidak menyukai agama, beliau lebih bebas menjadi Ateis walaupun beliau yang dahulu adalah seorang Muslim. Jam menunjukkan hampir jam 1500H dan kami meminta diri untuk bersiar-siar di sekitar bandar. Kami ke Tasik Shorabil sekadar menikmati pemandangan dan makan falafel di pusat membeli belah berdekatan kerana kelaparan. Sambil berjalan kesejukkan di tasik, kami menikmati matahari terbenam sebelum beredar ke pusat bandar menuju ke makam Sheikh Safi-al Din. Malangnya waktu lawatan telah habis dan dengan perasaan hampa kami pulang ke rumah Bahi. Pada malamnya aku hanya bermain catur bersama Bahi sebelum masuk tidur di dalam bilik tetamu. Kami kesejukan sewaktu membersihkan diri kerana air panas mungkin tidak berfungsi. Dan kami sentiasa bersyukur dengan segala nikmat dengan dikurniakanNya.
Ruang tidur kami di bilik Amin
Menanti shared taxi ke Talesh
Pokok Limau mungkin
Padi banyak di tanam di Negeri Rasht
Pemandangan hutan hijau mengingatkan kami kembali ke tanah air
Memasuki pekan Talesh
Ikan mudah didapati apabila berhampiran Caspian Sea
Sempadan Iran-Azerbaijan
Pondok kawalan tentera Iran di sempadan
Menuju Khaneqah-e Olya
Masjid di tanah tinggi
Salah satu masjid di Ardabil
Bunga berkembang mekar
Sunset di Shourabil Lake
Ruang tidur kami di rumah Bahi
0 ulasan:
Catat Ulasan