Isnin, 23 Oktober 2017

TABRIZ IRAN/KARADENIZ SOUTHEAST TURKEY/KAZAKHSTAN – 7.0 SHEIKH SAFI-AL DIN

Malam tadi aku terjaga beberapa kali kerana kesejukkan. Walaupun suhu pada malam hari hanyalah sekitar 3 deg celcius namun tubuhku masih cuba untuk menyesuaikan diri dengan suhu sejuk sebegini. Pemanas di dalam bilik pun tidak dibuka mungkin kerana cuaca sebegini adalah normal untuk Bahi dan baginya tiada keperluan untuk membukanya namun tidak kepada kami. Di dalam bilik air kami terpaksa menggunakan air sejuk untuk membersihkan diri. Memori mandi air sejuk di Yazd tahun lepas kembali menggamit. Bahi menyediakan sarapan pagi iaitu roti, jem, telur dan kentang bakar. Kami hanya mengikut cara beliau menggaulkan kentang dan telur bersama sebelum dimakan bersama roti. Dengan perut yang lapar aku menghabiskan baki telur yang ada di atas meja. Kami bergambar bersama di ruang tamu bersama pokok-pokoknya. Dan akhirnya memberikan cenderahati dan menulis ucapan terima kasih di dalam buku tetamu yang diberikan oleh salah seorang tetamu kepada Bahi suatu masa dahulu. Banyak tetamu yang telah datang ke sini dan sememangnya Bahi adalah seorang yang berhati besar dan mulia. Mungkin di akhir usianya ini tiada apa lagi yang mahu dicarinya selain daripada berjumpa dengan tetamu dari seluruh pelusuk dunia. Rancangan hari ini adalah untuk pergi semula ke makam Sheikh Safi-al Din dan meneruskan perjalanan ke Tabriz. Kami berjalan kaki ke makam hampir 30 minit sebelum membeli tiket berharga IRR 200K seorang dan meletakkan beg di kaunter. Makam ini tersenarai di dalam UNESCO World Heritage sejak 2010. Kebanyakkan makam-makam yang pernah ku lawati di Iran kemasukan pelawat adalah percuma kecuali makam ini. Mungkin kerana ia telah diiktiraf di peringkat antarabangsa dan memerlukan kos pentadbiran dan pemuliharaan. Pagi adalah waktu yang sesuai kerana tidak ramai pelawat yang datang ke sini. Di pintu masuk kami melalui taman bunga yang panjang sebelum masuk ke kawasan madrasah, halaman utama, masjid, makam dan perpustakaan. Sheikh Safi-al Din Ardabili (1252–1334) ialah pemimpin ahli Sufi yang di zamannya setelah diwariskan oleh Sheikh Zahed Gilani. Dilahirkan di Ardabil, berbangsa Kurdish dan bermazhab Sunni. Ajaran Saffaviya yang diasaskan olehnya telah menjadi asas kepada penubuhan kerajaan Safavid. Pada zaman Safavid menyaksikan penukaran dari Islam Sunni ke Islam Syiah melalui sistem pemerintahan. Jadi sebelum zaman Safavid (1500-1700) kebanyakkan Muslim di Iran adalah dari mazhab Sunni-Hanafi. Selepas puas meneroka di halaman utama, kami masuk ke bahagian makam dimana terletaknya menara dom yang tinggi. Disini terletak makam Sheikh Safi dan bersebelahan dengannya adalah perpustakaan. Latar belakangnya semuanya berwarna keemasan. Bahagian makam ini telah dibina oleh anaknya Sheikh Sadr al-Dīn Mūsā disamping bangunan-bangunan asal. Semua struktur dalaman masih terpelihara baik dan cantik. Kami seterusnya ke luar bangunan untuk melawat kawasan luar dan perkuburan terletak di bahagian belakang. Sewaktu keluar dari kompleks aku bertanyakan kepada penjaga kaunter tentang bas untuk ke Ardabil. Kami mengambil teksi untuk ke tempat yang diberitahunya. Tempat tersebut bukanlah stesyen bas tetapi hanya di tepi jalan dan terdapat sebuah bas disitu. Bas hanya menanti di tepi jalan dan konduktor bas memanggil-manggil penumpang yang ingin menaikinya. Aku membayar IRR 120K untuk tiket bas ke Tabriz, jauh lebih murah dari tiket masuk ke makam tadi. Jarak perjalanan ke Tabriz sekitar 200km dan aku berkesempatan untuk menikmati pemandangan puncak Gunung Sabalan dari sisi tingkap. Kata Bahi, jika kami datang ke sini pada musim panas bolehlah kami mengikutnya mendaki pada setiap hari Jumaat kerana beliau sering kali melakukannya bersama kumpulannya. Aku banyak tidur sepanjang perjalanan mungkin kerana tidur yang kurang berkualiti malam tadi kerana kesejukkan. 

Setelah hampir 3.5 jam kami pun sampai di Terminal Bas Tabriz. Terminalnya sangat besar seperti Terminal Bersepadu Selatan di Kuala Lumpur. Terdapat pelbagai bas dari semua tempat di Iran. Disini aku bertanyakan kepada beberapa kaunter sebagai persediaan untuk merentasi sempadan Iran-Turkey. Walaupun terdapat kesukaran dari segi komunikasi aku tetap menuliskan harga dan masa pelepasan untuk setiap syarikat bas. Kami hanya makan falafel untuk makan tengah hari sebelum bergerak menuju rumah host, Mahdi. Mahdi yang masih lagi di kelas memberitahuku yang beliau hanya akan pulang pada jam 2100H. Sewaktu pencarian Couchsurfing host di Tabriz beberapa hari yang lalu, aku banyak meneliti komen-komen yang ditinggalkan oleh surfer sebelumnya. Ternyata Mahdi adalah pemandu pelancong separuh masa. Selalunya aku akan cuba untuk mengelakkan dari tinggal bersama host yang mengambil kesempatan di atas platform Couchsurfing ini, namun aku tidak mempunyai pilihan kerana host-host yang lain semuanya menolak permintaanku. Paling kurang kami mempunyai tempat tinggal, makanan percuma dan juga bantuan dari segi komukasi serta informasi dalam meneruskan perjalanan yang seterusnya. Mahdi mengatakan kami boleh ke rumahnya walaupun ketiadaannya di rumah dan beliau memberitahu ibunya tentang kedatangan kami. Kami mengambil teksi terus ke rumahnya kerana stesyen bas berada di luar kawasan bandar. Setelah keluar dari teksi kami terus mencari titik GPS yang diberikan Mahdi. Rumahnya berada di lorong-lorong belakang kedai. Aku menekan loceng di pintu rumah dan suara emaknya keluar di intercomm. Aku hanya menyebut Mahdi berkali-kali. Pintu dibuka dan emaknya menjemput kami masuk dan menunjukkan bilik kami iaitu bilik Mahdi. Bilik Mahdi berada luar halaman rumah dan tandas terletak di luar rumah. Emaknya menjemput kami untuk minum teh dan adik perempuannya, Mahdis berada di dalam rumah. Beliau yang masih lagi bersekolah menengah fasih berbahasa Inggeris dan aku banyak bertanyakan soalan tentang keluarga mereka kepadanya. Emaknya tidak memahami percakapan kami hanya banyak tersenyum dan beliau banyak bertanyakan soalan tentang Malaysia melalui Mahdis. Tidak lama kemudian kami mengikut Mahdis keluar kerana beliau perlu ke bandar untuk menghadiri kelas Bahasa Inggeris dan kami pula hanya berjalan kaki ke bandar. Bazaar Tabriz tidak jauh dari rumahnya dan kami ke sana sementara menanti Mahdi pulang dari kelas. Bazaar Tabriz sangat besar dan kami hampir sesat di dalamnya. Kami hanya melihat gelagat penjual dan kebanyakkannya bertanya tentang asal kami dari mana. Tidak lama kemudian kami pun pulang ketika hujan rintik-rintik di pertengahan perjalanan. Setibanya kami dirumah, Mahdi dan bapanya sudah sampai. Kami bersalaman dengan keduanya dan dijemput untuk makan malam. Roti beserta gulai ayam sememangnya hidangan yang sedap. Kami menyambung perbualan bersama Mahdi dan bapanya dengan hidangan teh sebelum masuk tidur di bilik.

Bersama Bahi di ruang tamu rumahnya

Taman yang memanjang terus ke madrasah

Pintu kecil di sebahagian ruang-ruang utama

Ruang utama selepas taman

Halaman sebelum memasuki makam dan perpustakaan

Bergambar bersama Pak Usop

Pintu masuk ke makam

Makam Sheikh Safi Al-Din

Ruang utama kompleks makam

Perpustakaan

Makam-makam yang lain

Batu binaan asal

Tanah perkuburan di belakang kompleks

Tugu Shah Ismail I (1487-1524), pengasas dinasti Safavid

Mount Sabalan dari kejauhan

Pasar daging

Barberry

0 ulasan:

Catat Ulasan