Ahad, 15 Oktober 2017

TABRIZ IRAN/KARADENIZ SOUTHEAST TURKEY/KAZAKHSTAN – 15.0 THE JUNCTION

Pak Usop menyediakan sarapan pagi ini dengan menggunakan lebihan barang masakan yang ada. Selepas sarapan kami mengemas barang-barang dan memberitahu Zakaria yang kami akan daftar keluar pada hari ini dan akan meninggalkan beg kami di apartmentnya. Kami berjalan kaki sejauh 2.5km untuk ke Hagia Sofia yang sangat hampir dengan persisiran pantai Black Sea. Sepanjang perjalanan kami melintasi banyak masjid di tepi jalan dan hanya memerhatikan gelagat penduduk tempatan yang sibuk dengan aktiviti hariian mereka di pagi hari. Sekitar 300m sebelum sampai, kami sempat masuk ke pasar tani dimana penduduk tempatan menjual hasil-hasil kebun mereka disamping peniaga-peniaga komersil menjual ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan. Dapat juga aku membeli sebiji buah delima yang besar dengan harga TL 2. Kemasukan adalah percuma ke Hagia Sofia Trabzon dan ianya tidaklah sebesar Hagia Sofia di Istanbul. Gereja Greek Orthodox ini telah dibina sekitar 1200an semasa pemerintahan Empayar Byzantine. Dan ianya telah ditukarkan kepada masjid setelah Sultan Mehmet II menakhluk Trabzon sekitar 1400an. Semua lukisan muka Nabi Adam dan Hawa di dinding yang bangunan telah diputihkan demi menghormati nilai-nilai Islam yang tidak menggambarkan dan melukis wajah Nabi dan Rasul. Semasa Perang Dunia I, bangunan ini telah digunakan oleh tentera Soviet Union sebagai hospital dan markas dan kemudiannya ditukar semula kepada masjid setelah tamat peperangan. Dan pada tahun 1964 ia telah dijadikan muzium oleh kerajaan sekular Turkey. Dan akhirnya kembali menjadi masjid sekitar tahun 2013 sehingga sekarang. Sebahagian lukisan masih lagi elok dan perlu ditutup dengan kain putih di kawasan menghadap kiblat semasa sembahyang. Setelah puas mengelilingi keseluruhan bangunan, aku berehat sebentar di kerusi luar menghadap laut sambil memakan buah delima yang dibeli tadi. Kami terus berjalan ke kawasan bandar dan menonton perlawanan bola sepak untuk seketika di Stadium Yavuz Selim. Pak Usop yang selalunya diam dan bersahaja kembali lagi kepadaku dengan nadanya yang cemas. Penyelia tempat kerjanya meminta beliau untuk pulang segera untuk bekerja semula dalam 2-3 hari ini. Emosiku mula kusut dengan perkembangan terbaru ini. 

Kami kemudian berhenti sembahyang Zuhur di Masjid Gulbahar Hatun. Gulbahar Hatun ialah isteri kepada Sultan Bayezid II dan makamnya ditempatkan di luar masjid. Disinilah aku terformat kad SD kamera SJCAM. Kesilapan kecil menekan butang yang salah membuatkan emosiku hari ini semakin kusut. Habis hilang kesemua gambar-gambar sejak 13 hari yang lalu. Aku mula menggelabah dan mencadangkan kepada Pak Usop untuk ke Trabzon Meydan iaitu pusat bandar untuk mencari kedai komputer untuk mengembalikan semula gambar-gambar yang hilang. Kami terus mengambil Dolmus dari depan AVM ke Meydan. Sepanjang perjalanan ke sana aku cuba memuat turun pelbagai aplikasi untuk menyelesaikan masalah ini namun gagal. Kedai demi kedai kami masuk untuk bertanyakan tentang hal ini dan akhirnya sebuah kedai mampu mengembalikan kesemua gambar dalam masa 6 jam dengan bayaran TL 100. Aku merasakan ini terlalu mahal dan terus berlalu pergi. Aku sempat mencuri lihat aplikasi yang digunakan di komputernya dan mungkin ia hanyalah freeware yang boleh dimuat turun secara percuma di internet. Untuk menghilangkan perasaan yang kusut ini, kami menuju ke Kizlar Monastery ataupun Panagia Monastery yang terletak di kaki gunung Boztepe. Aku yang semakin letih dan serabut sejujurnya cuba untuk menenangkan diri mendaki bukit yang mengambil masa 45 minit. Sampainya kami disana gereja ini telah ditutup untuk proses pemulihan dan konservasi. Namun para pekerja di dalamnya sangat baik hati dan membenarkan kami masuk. Ianya telah dibina sekitar 1300an di zaman pemerintahan Alexios III kerajaan Trebizond. Dan terdapat inskripsi dan gambar Alexios III dan isterinya Theodora di dalam gereja di dalam gua batu. Walaupun masih dalam proses pemuliharaan sudah nampak keindahan tempat ini ditambah pula dengan pemandangan panorama bandar. Kami perlu pulang untuk mengambil beg di apartment dan menunggu Muhammad di Trabzon Meydan semula. Setibanya di apartment ada seorang gadis sedang membersihkan rumah dan beliau membuatkan kami teh. Kami yang betul-betul kepenatan berehat sebentar sebelum keluar semula menuju Meydan. Kami sekali lagi menaiki Dolmus ke Meydan dan menanti Muhammad di Ataturk Park. 

Terdapat ramai warga tempatan bersiar-siar dan melepak di sekitar kawasan ini. Akhirnya sekitar 1900H Muhammad pun sampai dah beliau mengajak kami untuk makan Hamsi Tava iaitu ikan kecil yang digoreng rangup sambil diperah air lemon. Sememangnya ia adalah makan malam yang sedap dan Muhammad membayar hidangan kami walaupun kami menolaknya berkali-kali. Kemudian ke kedai manisan untuk membeli Lokum ataupun Turkish Delight kepada kami. Aku mengatakan kepada Muhammad supaya tidak menyusahkan dirinya dengan membeli sesuatu untuk kami namun dia mahukan yang terbaik untuk tetamunya. Pak Usop akhirnya memberitahuku yang beliau perlu pulang ke Malaysia secepat mungkin atas desakan penyelia tempat kerjanya. Aku tidak dapat membantu dalam situasi ini cuma menasihatkannya untuk mementingkan pekerjaannya terlebih dahulu. Muhammad kemudian membawa kami pulang ke rumahnya menaiki bas yang sangat hampir dengan Trabzon Airport. Rumahnya adalah flat biasa di lereng bukit yang berada di tingkat 4. Aku meminjam komputer ribanya untuk membeli tiket penerbangan pulang untuk Pak Usop pada esok pagi. Route yang terbaik ialah dari Trabzon ke Istanbul menaiki penerbangan yang sampai ke Istanbul Ataturk Airport dan bukannya Istanbul Sabiha Gokcen Aiport yang berada di sebelah Asia Istanbul. Berdasarkan Google Flight dan Skyscanner, harga tiket yang paling murah ialah dengan menggunakan Royal Jordan Airline yang transit 2 kali di Amman dan Bangkok sebelum tiba di Kuala Lumpur dengan harga RM1300. Aku terus membelinya menggunakan khidmat Online Travel Agent, Expedia memandangkan aku tidak berjaya mendapatkan TAC untuk pembelian secara terus menggunakan kad kredit. Malam itu Muhammad menyediakan tempat tidur kami di ruang tamu. Walaupun kami tidur agak lewat pada malam itu, aku memesan kepada Pak Usop untuk menetapkan jam loceng di telefonnya pada awal pagi untuk tidak melepaskan penerbangan awal esok pagi. Malam itu aku berdoa agar kami dapat bangun awal dan aku juga menetapkan alarm di telefonku sambil memberitahu perancangan kami kepada Muhammad. Beliau sangat membantu dengan informasi yang lengkap dalam misi menghantar pulang Pak Usop.

Pasar tani

Makcik-makcik sibuk berurus niaga

Buah zaitun yang muda dan masak

Kawasan pasar ikan

Pintu dibahagian luar

Dewan solat Hagia Sofia

Kawasan yang ditutupi kain putih

Hagia Sofia Trabzon

Salah sebuah masjid moden Turkey

Menonton perlawanan bola sepak tempatan 

Dewan solat Masjid Gulbahar Hatun

Masjid Gulbahar Hatun

Sekitar Trabzon Meydan

Struktur yang sedang dibaik pulih

Pemandangan panorama bandar Trabzon

Gereja di dalam gua batu

Hamsi Tava

0 ulasan:

Catat Ulasan