Aku terjaga dari tidur sekitar jam 0530H hasil deringan jam loceng. Cepat-cepat aku mencari Pak Usop dan beliau sudah mula bersiap-siap mengemas barang dan membersihkan diri untuk solat Subuh. Setelah bersiap sedia aku mengejut Muhammad untuk ke airport. Beliau menyediakan sarapan ringkas untuk Pak Usop sebelum kami bertolak. Mujur dia yang bekerja di Jabatan Meteorologi Trabzon bercuti pada hari ini kerana giliran waktu kerja yang berbeza. Di dalam kesejukkan pagi kami keluar menuju ke Trabzon Airport yang sejauh 2km dari flatnya. Inilah pertama kali dalam hidupku berjalan kaki menuju ke lapangan terbang. Perjalanan yang menuruni bukit dirasakan mudah dan aku dapat mengagak kesukarannya apabila dalam perjalanan pulang nanti. Kami sampai pintu pagar lapangan terbang dan terus masuk ke dalam dan sampai di bahagian penerbangan antarabangsa dan bahagian domestik hanya di bangunan sebelah. Aku memesan kepada Pak Usop untuk sentiasa menjaga diri, passport dan duit semasa di Istanbul, transit di Amman dan Bangkok. Penerbangan keluar dari Istanbul adalah pada malam ini dan beliau mempunyai masa lebih kurang 12 jam transit di Istanbul untuk bersiar-siar di kawasan bandar. Sebelum berpisah aku mengatakan yang dia perlu menghabiskan pengembaraannya yang hanya separuh jalan ini. Banyak kisah dan kenangan yang telah kami lalui bersama-sama sepanjang 14 hari dan aku berharap beliau dapat sedikit sebanyak ilmu pengembaraan yang telah ku kongsikan. Aku memeluknya dengan perasaan sebak sebelum beliau berlalu pergi melalui pemeriksaan keselamatan. Katanya mungkin ada sebab Tuhan tidak membenarkannya untuk meneruskan perjalanan ini, kita manusia hanya merancang dan Tuhan juga yang menentukan. Selesai sudah satu bab dalam pengembaraan aku kali ini dan aku menghala pulang ke rumah bersama Muhammad dengan perasaan takut dan hampa. Takut mungkin kerana pengembaraan yang seterusnya melalui kawasan-kawasan Kurdish yang penuh dengan konflik peperangan dan hampa kerana matlamatku untuk menghabiskan pengembaraan ini bersama Pak Usop tidak kesampaian. Sampai di rumah aku terus tertidur keletihan begitu juga Muhammad yang bercuti pada hari ini.
Tidak lama kemudian aku pun bangun dan membuka komputer untuk memuat turun aplikasi untuk mengembalikan semula semua gambar-gambar yang telah hilang. Walaupun sudah banyak aplikasi ku muat turun sejak malam semalam namun usaha ku gagal. Akhirnya setelah mencuba tanpa rasa jemu 90% gambar-gambarku berjaya didapatkan semula. Dan aku bersyukur dengan nikmat ini walaupun ia bukanlah 100%. Setelah bersiap-siap, aku mula memikirkan tentang perancanganku hari ini. Walaupun terdapat beberapa tempat untuk lagi untuk dilawati di kawasan Black Sea Region, namun kepulangan Pak Usop pagi ini memberi kesan kepadaku. Aku ingin cepat meninggalkan Trabzon dan terus menuju ke Erzurum. Host di Erzurum Nermin sudah ku hubungi dan memberitahu tentang ketibaanku pada malam ini dan beliau tiada masalah untuk menerimaku. Muhammad bangun dari tidur agak lewat dan memasak telur dan sosej sebagai sarapan pagi untuk kami berdua. Beliau kemudian membantuku untuk menanda Trabzon Otogari di dalam Google Map untuk mengambil bas dari sana ke Erzurum. Sebelum bertolak Muhammad memberikanku kain selendang Trabzonspor iaitu kelab bola sepak Trabzon. Beliau adalah peminat setia pasukan ini dan kehebatannya adalah setanding pasukan-pasukan gergasi Istanbul iaitu Fenerbahce, Besiktas dan Galatasaray. Seperti kebiasaan aku tidak lupa memberi cenderamata kepada host-host Couchsurfing sebagai berterima kasih dan kenangan kepada mereka. Beliau kemudian membantuku mengambil Dolmus berhampiran flatnya untuk ke otogar. Aku memeluknya dan mengucapkan terima kasih kerana banyak membantu kami dalam waktu yang sangat genting sebegini. Sampainya di Trabzon Otogari aku membeli tiket ke Erzurum yang berharga TL 30 untuk perjalanan sejauh 300km. Tidak banyak yang aku fikirkan semasa di dalam bas, hanya melayan perasaan dan memikirkan tentang perancangan destinasi seterusnya sebelum tertidur. Sebaik terjaga aku merasakan bas melalui jalan yang sama ketika kami datang dari Van. Untuk memastikannya aku melihat Google Map.
Bas pun berhenti di kedai yang sama iaitu Kral Kome Pestil berhampiran Gumushane. Setelah 5 jam akhirnya aku pun sampai di Erzurum Otogar yang berada 8km jauh dari pusat bandar. Aku yang baru terjaga dari tidur sedikit mamai dan terus bertanyakan kepada pemandu bas yang baru sampai di halaman luar. Kataku “Merkez? Merkez?” dan beliau hanya mengangguk betul. Nermin telah memberiku lokasi rumahnya yang terletak di dalam Erzurum Ataturk Universiti dan kerjayanya ialah sebagai seorang pensyarah Bahasa Inggeris di situ. Kata Nermin aku perlu turun apabila bas berhenti di hadapan universiti. Aku hanya mengikut katanya dan turun berhampiran roundabout besar di situ. Dengan menggigil kesejukkan aku berjalan kaki masuk melalui pintu utama. Erzurum yang berada pada ketinggian 1900m dari aras laut sememangnya bersuhu rendah dan kering sepanjang tahun. Akhirnya aku sampai di flatnya dan beliau melambai-lambai dari tingkap rumahnya setelah aku menghubunginya. Seperti yang dijangkakan keadaan di dalam rumah lebih hangat dan selesa. Beliau menjemputku minum teh dengan sedikit makanan ringan. Kami banyak bersembang tentang budaya dan hidup di universiti. Banyak topik yang dibincangkan bersama sehingga lewat malam dan salah satu topik yang beliau tidak suka adalah mengenai bangsa Kurdish. Katanya mereka adalah konservatif dan menimbulkan banyak masalah di dalam negara ini antaranya adalah masalah keganasan dan terrorism terutamanya di kawasan South Eastern Turkey. Aku bertanyakan tentang arah kiblat di dalam rumahnya dan beliau menunjukkan arahnya sambil memberikan sejadah. Aku kemudian membersihkan diri dan solat sebelum masuk tidur di ruang tamu. Kadang-kadang aku terjaga dek terdengar perbualannya di dalam telefon bersama temannya.
Ruang tamu tempat kami tidur
Sarapan pagi oleh Muhammad
Bersama Muhammad sebelum bertolak ke Erzurum
Trabzon Otogari
Bas ke Erzurum
Tiket bas
Pemandangan merentas kawasan pergunungan
Kita berjumpa lagi Kral Pestil Kome
0 ulasan:
Catat Ulasan