Isnin, 2 Oktober 2017

TABRIZ IRAN/KARADENIZ SOUTHEAST TURKEY/KAZAKHSTAN – 28.0 EURASIA

Gozde menghantarku ke perhentian bas HAVAS untuk ke lapangan terbang Gaziantep. Perasaan sedih mula menyelubungi hati apabila menyedari ini adalah detik-detik terakhir bersama Gozde. Banyak masa yang kami luangkan bersama sepanjang beberapa hari ini. Bagiku, mereka memang berfikiran terbuka dan sentiasa positif dalam mendatangi hari-hari yang penuh cabaran di Turkey. Namun apa yang membimbangkan aku adalah konflik yang berlarutan di bahagian Tenggara Turki dan unsur-unsur sekularisme dalam agama Islam itu sendiri masih lagi kekal sehingga ke hari ini. Apabila bas sampai aku mengucapkan terima kasih kepadanya kerana banyak membantu sepanjang keberadaan aku di sini dan mendoakan agar beliau berjaya dalam pembelajarannya di dalam jurusan kedoktoran. Aku juga tidak lupa untuk mengajaknya untuk datang ke Malaysia mungkin apabila beliau sudah berkerjaya. Perjalanan yang mengambil masa hampir 30 minit sering sahaja berhenti-henti untuk mengambil penumpang lain di perhentian yang lain. Daftar masuk dan pemeriksaan immigresen berjalan lancar. Kemudian, aku menuju ke restoran untuk menikmati chai dicicah bersama nan yang masih lagi elok di dalam simpanan. Di sini, aku juga berkesempatan membeli tiket pulang ke Kuala Lumpur dari Istanbul setelah sekian lama memerhati pergerakan harga tiket penerbangan yang tidak berubah sekitar MYR 1500 oleh Air Astana. Antara sebab aku memilih penerbangan ini adalah kerana transitnya selama 18 jam di bandar Almaty, Kazahkstan yang pastinya akan aku gunakan sebaik-baiknya untuk meneroka bandar yang pernah menjadi jajahan Soviet Union suatu ketika dahulu. Pesawat Pegasus berlepas tepat pada masanya dan mengambil masa 1 jam untuk sampai ke Sabiha Gokcen Airport, SAW yang berada di sebelah Asia Istanbul. Lapangan terbang SAW adalah untuk pesawat tambang murah yang terbang ke dalam dan luar negara Turki manakala Istanbul Ataturk Airport, IST untuk penerbangan premium. Setelah keluar dari balai ketibaan, aku cuba mencari bas HAVAS yang bertujuan ke Taksim namun gagal menemukannya. Stesen Metro di SAW pula masih lagi belum beroperasi dan mungkin akan dibuka dalam masa beberapa bulan. 

Aku lihat mereka seakan-akan mengejar sesuatu disini. Barulah aku sedar yang inilah lumrah kehidupan di kota-kota besar dimana semuanya mengejar masa. Mujurlah seorang pemuda mengajarku untuk membeli kad Istanbul dari mesin automatik dan menuju ke Altabanci seterusnya mengambil Metro Bus dan akhirnya bertukar ke Metro untuk sampai ke stesen Sishane. Setelah 2 jam bertukar-tukar pengangkutan awam akhirnya aku semakin hampir. Sepanjang perjalanan aku sering berinteraksi bersama host Couchsurfing, Liu tentang lokasi flatnya yang berhampiran Galata Tower. Beliau juga baru sampai dari Beijing pagi ini. Aku yang keletihan agak keliru dengan petunjuk arah dari Google Map untuk berjalan kaki dari stesen Sishane ke Galata Tower yang jauhnya sekitar 500m. Tiba-tiba seorang pakcik tua menyapaku dan ingin menunjukkan arah perjalanan ke Galata Tower.  Aku hanya mengikutnya dan tiba-tiba beliau membawaku jauh dari laluan utama menuju ke seberang jalan. Bau minuman keras amat kuat datang darinya membuat aku mula berasa tidak sedap hati. Aku menolak permintaannya untuk membersihkan kasut aku yang sememangnya kotor dan berdebu. Beliau mula memaksa dan berkeras. Aku terus memberikannya TL 7 walaupun meminta lebih dari itu. Mindset aku masih lagi di Gaziantep membuatkan aku lebih terbuka dan terdedah kepada penipuan seperti ini. Aku perlu lebih berhati-hati untuk beberapa hari yang seterusnya kerana ini adalah Istanbul bukan lagi kawasan Tenggara Turki. Dengan perasaan hampa, aku terus berjalan menghala ke Galata Tower yang jalannya sedikit berbukit membuatkan peluh sentiasa membasahi pakaianku sejak beberapa jam yang lalu. Liu menantiku di tingkat bawah berhampiran kedai cenderahati untuk memberikan kunci flat sebelum beredar keluar. Beliau yang bekerja di Istanbul sejak beberapa bulan yang lalu masih dalam proses mencari apartment yang sesuai untuk dijadikan tempat tinggal sementaranya di sini. Flat Airbnb yang disewa Liu ini berada di tingkat 4 dan mempunyai 2 bilik tidur. Beliau sangat berbaik hati menjemputku untuk bermalam disini. Aku berehat sebentar dan membersihkan diri sebelum keluar semula untuk makan tengahari berupa pilaf yang berharga TL 12 di gerai berhampiran. 

Aku telah berjanji untuk bertemu dengan Inci Couchsurfing pada petang ini di sekitar stesen Dushane. Istanbul mempunyai 6 aliran Metro, 2 aliran kereta kabel, 4 aliran tram dan 3 aliran funicular selain daripada Metro bas dan perkhidmatan feri antara Selat Bosphorus yang menghubungkan benua Asia dan Eropah. Pening juga aku melihat peta Metro Istanbul buat pertama kali kerana ia mempunyai banyak persimpangan di antara aliran-aliran yang lain. Setelah turun dari tram aku akhirnya bertemu Inci di kawasan Sultanahmet. Kami duduk minum chai di kedai kopi berdekatan untuk berbual-bual. Beliau adalah seorang guru yang sekolah berada di kawasan sekitar Sultanahmet dan rumahnya juga berada di kawasan berdekatan. Jadi tidak hairanlah beliau sentiasa mempunyai masa untuk berjumpa dengan para pengembara di kawasan Eropah Istanbul. Kami bergerak ke Gulhane Alay Kiosk yang telah ditukarkan menjadi Ahmet Hamdi Tanpınar Literature Museum Library sekitar tahun 2011. Ianya telah dibina sekitar 1600an dan digunakan oleh pemerintah Uthmaniah semasa menerima tabik hormat dalam acara-acara rasmi. Di sini juga tersimpan buku-buku lama dan surat khabar sebelum zaman pemerintahan Ataturk yang di mana Bahasa Turki masih dalam bentuk asalnya iaitu dalam huruf-huruf Perso-Arabic. Kami kemudian berjalan-jalan di sekitar Blue Mosque ataupun Masjid Sultan Ahmet dan aku mengambil kesempatan untuk sembahyang Maghrib di sini. Ianya telah dibina pada zaman kegemilangan empayar Uthmaniah sekitar tahun 1600an yang mempunyai elemen seni bina Byzantine dan Islamic hasil sentuhan arkiteknya Sedefkar Mehmed Aga. Kami sekali lagi berhenti di kedai kopi yang berada di tingkat 2. Kali ini aku menceritakan tentang maklum balas warga Couchsurfing Istabul terhadap open request untuk bermalam di bandar ini. Ternyata hanya Liu, Ahmet dan Inci menawarkan untuk berjumpa denganku di Istanbul sedangkan terdapat hampir 10 ribu pengguna Couchsurfing yang aktif. Disambung pula dengan topik tuntutan hak kesamaan antara jantina lelaki dan perempuan di dunia Barat dan Timur. Secara umumnya hampir separuh daripada para pemuda-pemudi Turki berfikiran sekular di hampir semua kawasan di Turki kecuali kawasan Tenggara. Dan warga yang lebih berumur adalah para pendukung agama dan dilabel sebagai konservatif. Inci banyak memainkan hal-hal seperti perkahwinan di usia muda, hak kebebasan beragama dan isu-isu yang banyak fokus kepada hak kemanusiaan. Namun perbincangan kami terhenti dek kerana kehadiran warga Arab yang mula membuat bising di meja sebelah. Sebelum beredar aku memberikannya cenderamata dan menjemputnya untuk ke Malaysia nanti. Aku tiba di flat sekitar jam 2100H dan Liu sudah pun tiba terlebih dahulu. Beliau bekerja sebagai Commercial Manager untuk syarikat dari Beijing yang membuat dan memasarkan solar panel. Syarikatnya membuka cawangan di sini memandangkan pasaran di sini agak bagus selain daripada kos yang lebih murah. Walaupun begitu, produktiviti para pekerja Turki juga agak rendah jika dibandingkan dengan China menjadikan strategi perniagaan perlu diubah untuk menyesuaikan dengan keadaaan dan adat setempat. Liu juga mengajakku untuk bersarapan pagi bersama pada esok hari kerana rakan kerjanya dari Beijing akan sampai pada esok pagi. Jadi aku perlu tidur awal supaya dapat bangun mengikut ke Besiktas untuk sarapan pagi bersama.

Pesawat Pegasus Gaziantep - Istanbul

Dewan sembahyang utama Masjid Sultan Ahmet

Pintu masuk

Pemandangan dari perkarangan masjid

Gulhane Alay Kiosk 

Artikel sebelum zaman pemerintahan Ataturk

Tulisan Turkish Perso-Arabic

Sedikit informasi mengenai Gulhane Alay Kiosk 

Pemandangan dari luar Masjid Sultan Ahmet

Galata Tower

0 ulasan:

Catat Ulasan