Jumaat, 6 Oktober 2017

TABRIZ IRAN/KARADENIZ SOUTHEAST TURKEY/KAZAKHSTAN – 24.0 KURDISH HOSPITALITY

Malam tadi aku terjaga beberapa kali kerana kesejukkan walaupun sudah berselimut tebal. Bangun sahaja dari tidur aku cuba memeriksa mungkin ada tingkap yang terbuka namun semuanya tertutup. Aku mengemaskan tempat tidur dan membersihkan diri sementara menanti Aydin tiba. Sementara menunggunya, aku membuka komputer di pejabat untuk memeriksa gambar dan video dari kamera SJCAM. Sempat juga aku memadamkan gambar-gambar yang tidak sempurna dan kurang menarik. Aydin tiba sekitar jam 0900H dan kami terus keluar berjalan kaki menuju ke bandar. Katanya pagi ini kita akan berjalan sedikit jauh untuk bersarapan pagi. Setelah hampir 30minit berjalan melalui kesibukan pagi kota akhirnya kami sampai di sebuah restoran yang sangat padat dengan orang. Kami duduk bersama dengan seorang pakcik yang sedang menikmati sarapan roti telur. Aydin memesan satu set Kurdish Breakfast yang mengandungi roti, kaymak, keju, telur goreng, beraneka jenis jem, madu, buah-buahan kering, sayur-sayuran dan juga jeruk buah zaitun. Ianya sarapan pagi yang berat dan menyelerakan. Selesai bersarapan pagi, beliau bertanyakan tentang program aku pada hari ini. Aku hanya membalas untuk mengikutnya ke mana sahaja hari ini memandangkan kerjanya yang agak fleksibel. Kami kemudian berjalan pulang ke pejabat dan menaiki kereta untuk ke salah sebuah farmasi di hujung bandar. Beliau kemudian berjumpa dengan pemilik farmasi dan mengadakan sedikit perbicangan  sebelum kami bertolak ke pejabat anggota penyelamat. Di sini kami bertemu dengan rakannya yang sedang santai berehat dan hanya dalam keadaan bersedia untuk sebarang kecemasan. Pasukan khas ini ditubuhkan untuk membantu dan menyelamat jika terdapat sebarang bencana alam yang terjadi di seluruh Turkey. Mereka juga menceritakan serba sedikit pengalaman menyelamat ketika kawasan Tenggara Turkey dilanda gempa bumi yang dasyat pada tahun 2011 yang telah meragut lebih 500 nyawa. Beberapa tahun sebelum iaitu sekitar 1999 gempa bumi yang berskala lebih besar telah melanda daerah Istanbul  mengorbankan lebih 17000 nyawa berserta kerugian harta benda yang besar. Ternyata negara ini berada di kawasan plat tektonik yang aktif.

Menghampiri waktu Zohor, Aydin membawaku untuk solat di Ulu Cami. Masjid yang tertua di Sanliurfa dahulunya adalah Gereja St. Stephon yang dibina oleh Paderi Rabula sekitar tahun 400an sebelum dinaik taraf beberapa kali dan akhirnya dijadikan masjid. Aydin bertanyakan samada aku kelaparan, memandangkan perut masih lagi kenyang aku memberitahunya supaya melambatkan sedikit makan tengah hari ke petang.  Kami menuju ke Mutfak Muzesi iaitu Muzium Makanan yang dimana banyak bahan pameran mengenai makanan tempatan dipamerkan disini. Muzium ini diadakan bertepatan dengan pencalonan bandar ini oleh UNESCO sebagai Bandar Gastronomi . Kepelbagaian jenis makanan yang disediakan di sekitar bandar adalah berdasarkan kepelbagaian bangsa yang mendiami bandar ini seperti Arab, Turkish, Kurdish, Syrian dan lain-lain. Kemudian, kami berhenti untuk minum kopi di Gumruk Hani yang telah dibina sekitar 1500an. Ianya adalah caravanserai tempat para pedagang dahulu kala berhenti berehat dan mengisi semula bekalan makanan dan minuman sebelum meneruskan perjalanan seperti mana yang telah diceritakan di dalam buku pengembaraan Evliya Celebi, peneroka dan pengembara  pada zaman Uthmaniah. Sebaik sahaja sampai disini, perasaanku kembali tenang setelah melalui kesibukkan bazar diluar sana. Aydin membawaku masuk ke Arab Bazar untuk melihat perbezaan di antara bazar yang telah kami lalui. Aku membeli sepasang jubah untuk isteriku setelah terlihat corak bunga yang menarik sepertimana dipesannya. Kami berhenti di dua lagi farmasi berdekatan untuk beliau melakukan kerjanya sebelum makan tengah hari di sebuah restoran. Nasi, roti dan gulai daging adalah menu yang dipesannya untuk makanan tengahari  kami. Akhirnya setelah seharian berjalan di sekitar bandar, kami pun pulang ke pejabat. 

Setibanya di pejabat, terdapat seorang lagi kawannya, Haluk yang akan bermalam di sini. Haluk juga adalah ahli Couchsurfing yang mengenali Aydin melalui aplikasi ini. Beliau bekerja sebagai seorang guru di salah sebuah kampung di pedalaman Sanliurfa. Tujuannya ke pusat bandar adalah untuk menghadiri kelas Master Degree yang hanya diadakan pada hujung minggu sahaja. Aydin meminta diri untuk pulang ke rumah terlebih dahulu dan berjanji untuk berjumpa pada keesokan pagi. Haluk banyak bersembang mengenai Aydin yang berhati mulia dan sering menolong mereka yang kesusahan. Beliau yang kelaparan mengajakku untuk keluar makan dengan mengambil bas berhampiran pejabat untuk ke AVM. Perbualan bersambung di meja makan dan beliau mula bercerita mengenai teman wanitanya yang berasal dari Egypt dan juga sedikit sebanyak tentang perjalanan hidupnya. Aku yang masih mahu mendengar lebih lanjut mengenai konflik antara Kurdish dan Turkish mengajukan beberapa soalan berkaitan. Ternyata apa diberitahu oleh Mahmut sebelum ini adalah benar yang dimana ada perselisihan faham dan ketidak serasian antara kedua-dua belah pihak dan isu ini sememangnya rumit. Beliau membantuku untuk menumpang rakannya pada esok hari bertujuan ke Gaziantep walaupun aku beberapa kali menolaknya. Untuk hitch hike, katanya raut muka ku adalah seperti orang Kurdish dan berkemungkinan agak sukar untuk mendapatkan kenderaan untuk berhenti di tepi lebih-lebih lagi di kawasan yang bergolak di Tenggara Turkey. Tidak lama kemudian, kami pun pulang ke pejabat. Aku memilih untuk tidur di dalam pejabat Aydin seperti mana yang diberitahunya. Ini kerana ruang yang kecil lebih cepat memerangkap haba berbanding tidur di ruang tamu. Haluk pula mengambil tempat tidurku semalam di ruang tamu.

Warga tempatan sedang menikmati sarapan pagi luar restoran

Perjalanan untuk bersarapan pagi

Mula memasuki kawasan bazar

Kawasan bazar

Aydin bersama temannya

Kawasan merah adalah berpotensi tinggi untuk berlakunya gempa bumi

Farmasi pertama yang kami lawati hari ini

Abdestan Ulu Cami Sanliurfa

Dewan sembahyang Ulu Cami Sanliurfa

Menikmati kopi di Gumruk Hani

Bazar Arab

Tukang besi di Bazar Arab

Rempah ratus di Bazar Arab

Mutfak Muzesi

Bahagian luar Mutfak Muzesi

Bendera Sanliurfa FA di tengah bandar

Farmasi kedua

Farmasi terakhir hari ini

Kedai mamak Sanlirufa

Gulai daging merecik

Puding Keju

0 ulasan:

Catat Ulasan