Ahad, 1 Oktober 2017

TABRIZ IRAN/KARADENIZ SOUTHEAST TURKEY/KAZAKHSTAN – 30.0 JOSHUA HILL

Pagi ini aku menyediakan sarapanku sendiri memandangkan Sam telah membeli bahan-bahan masakan semalam. Aku menggoreng telur dan sosej untuk dimakan bersama roti. Tidak dilupakan kaymak, iaitu lemak susu yang telah menjadi salah satu makanan kegemaranku di sini. Aku juga berkesempatan mengemas dapur dan membasuh pinggan mangkuk yang penuh di dalam sinki. Sebelum keluar aku juga mengambil sebiji buah delima untuk dijadikan bekalan. Pemandangan Selat Bosphorus dari halaman rumah Sam sangat cantik, menyesal pula tidak ke sini sebaik sahaja tiba dari Gaziantep. Aku berjalan kaki menuruni bukit untuk keluar dari kawasan kampung menuju ke jalan utama. Sam memberitahu yang aku boleh mengambil bas dari situ untuk ke Bukit Nabi Yusha A.S yang sejauh 10km. Sebaik sahaja memasuki bas aku mengimbas kad Istanbul dan duduk sambil memerhatikan Google Map. Setelah hampir 30 minit mendaki dan menuruni bukit, aku menekan loceng untuk membolehkan aku turun di perhentian bas berhampiran Bukit Nabi Yusha. Dari situ aku perlu berjalan kaki sejauh 1km untuk sampai di pintu masuk makam. Kebanyakkan gerai-gerai cenderamata di kawasan sekitar masih lagi tutup. Ini adalah makam Nabi Yusha A.S yang kedua aku ziarahi setelah yang pertama aku ziarahi di Gaziantep bersama Gozde. Makam yang sepanjang 17m ini dipercayai telah dijaga oleh lembaga gergasi. Riwayat mengatakan Nabi Yusha A.S telah datang ke Bosphorus bersama Nabi Musa A.S sebelum baginda meninggal dunia dan ditanam di sini dan bukit yang tertinggi di Bosphorus. Bersebelahan makam terdapat masjid yang didirikan untuk para pengunjung solat. Setelah selesai menziarahi makam dan berdoa, aku pun berjalan pulang ke perhentian bas dan seterusnya pulang ke rumah Sam. Aku mengambil masa untuk berjalan-jalan di sekitar kawasan kampung sebelum pulang ke rumah. Saki-baki makanan telah aku habiskan dan mula mengemas barang-barang ke dalam beg. 

Kali ini aku menghala ke stesen Vezneciller untuk bertemu Sam. Perjalanan dimulakan dengan bas sebelum bertukar kepada beberapa aliran metro sebelum sampai ke destinasi. Melihatkan masa semakin singkat aku terpaksa melupakan rancanganku untuk menziarahi makam Abu Ayub Al-Ansari. Ahmet Couchsurfing juga tidak berkesempatan untuk berjumpa denganku memandangkan beliau terpaksa melawat rakannya di hospital. Aku bertemu Sam di sebuah restoran berhampiran Universiti Istanbul dimana tempat beliau sedang belajar. Beliau menjemputku untuk makan tengah hari, dan aku yang kelaparan tidak menolak pelawaannya. Tidak lama kemudian, kawannya dari Morocco datang dan aku dapat perhatikan yang mereka rancak berbual. Setelah berbual-bual seketika, aku pun meminta diri untuk ke Ataturk Airport. Aku mengucapkan terima kasih terhadap segala layanan yang telah diberikannya walaupun dalam jangka masa yang pendek. Sam adalah antara penyebab aku ke Turki dan sebelum berpisah aku memeluknya mengucapkan selamat tinggal. Beg galasku yang sarat ini kurasakan semakin berat, mungkin kerana aku sudah mula kepenatan. Sepanjang perjalanan ke lapangan terbang, aku terpaksa berdiri disamping penumpang yang ramai memandangkan ianya adalah waktu kemuncak. Setelah hampir 1 jam aku pun tiba ke destinasi. Berkali-kali aku terpaksa mengimbas beg dan diperiksa pegawai keselamatan semasa sampai di lapangan terbang. Mungkin ia sebagai langkah keselamatan memandangkan Istanbul Airport pernah mengalami serangan pengganas sekitar Jun 2016 yang mengakibat hampir 50 orang kehilangan nyawa. Proses daftar masuk di kaunter Air Astana dan immigresen berjalan lancar. Ucapan selamat tinggal dikirimkan kepada setiap kenalan di Turki sepanjang 3 minggu ini. Imbauan memori mula menerpa minda, dan aku sedar semua ini adalah kekuasaan Allah yang mempermudahkan perjalanan pengembaraan ini. Sebaik sahaja pesawat berlepas aku pun tertidur.

Pemandangan dari rumah Sam

Di dalam bas menuju Joshua Hill

Pintu masuk makam

Perkarangan masjid

Kawasan perkuburan

Makam Nabi Yusha A.S

Sedikit informasi mengenai makam

Makam yang sepanjang 17m

Makam Nabi Yusha A.S

Peniaga yang menjual buah kaktus

Berjalan kaki menuju perhentian bas

Selat Bosphorus

Plankton dan alga laut

Makan tengah hari bersama Sam

Tiket penerbangan dari Istanbul-Almaty-Kuala Lumpur

0 ulasan:

Catat Ulasan