Pagi Ahad yang santai ini digunakan sepenuhnya
untuk bermalas-malasan. Namun ketenangan itu hanyalah sementara kerana awal
pagi lagi Aryan sudah mencakar-cakar beg aku dan berlari ke sana kemari. Takut
juga kalau kucing Gozde ni kencing atas beg aku. Gozde bangun agak lewat dan
menyediakan sarapan pagi telur goreng dan sayur segar. Banyak juga yang berjaya
aku ketahui mengenai peribadinya ini. Katanya kebanyakkan anak muda di Turkey
ini berpegang teguh kepada agama Islam dan mempercayai kewujudan Allah SWT.
Namun tidak menzahirkannya kepada amalan-amalan ibadah. Aku yang serba
kekurangan ini hanya mampu berdoa yang terbaik untuk mereka di dunia dan
akhirat. Kami kemudian keluar menghala ke Zeugma Mosaic Museum di tengah
bandar. Ianya adalah muzium mozek terbesar di dunia. Kesemua artifak mozek yang
telah dipindahkan disini adalah berasal dari Zeugma iaitu satu pekan kecil di
daerah Gaziantep yang sangat hampir dengan Sungai Euphrates. Ianya dipindahkan
ke muzium kerana pekan tersebut akan ditenggelami air disebabkan projek
Empangan Birecik. Pekan kecil ini telah diasaskan oleh salah seorang komander
Alexander the Great sekitar 300SM. Penemuan ini bermula apabila ahli arkeologi menggali
2 makam kuno yang telah diceroboh oleh pencuri harta karun sekitar tahun 1980an
dan usaha pencarian dan penggalian diteruskan sehinggalah pembinaan empangan
sekitar 1990an. Antara barangan yang dijumpai adalah tembikar-tembikar lama,
logam dan corak mozek yang masih lagi berkeadaan baik. Mereka juga menjumpai
lebih 300 kubur-kubur lama di kawasan sekitar. Aku hanya masuk ke muzeum
berseorangan dengan bayaran TL 15 kerana Gozde sudah pernah memasukinya sebelum
ini. Setiap corak mozek yang dipamerkan pasti mempunyai penerangan yang
terperinci disebelahnya. Antaranya adalah mozek Oceanos/Tethys, Poseidon, Venus
dan Zeus iaitu Tuhan Greek Kuno. Terdapat juga mozek Bilik Mandi, Geometry,
Topeng yang lebih kepada corak yang berulang sepertimana mozek yang terdapat
pada zaman sekarang. Mozek yang lain seperti Dionysus/Ariadne, Eros, Telete
adalah berkisar mengenai kaum kerabat diraja pada zaman tersebut.
Mozek yang
teragung dan pasti menarik perhatian setiap pengunjung ialah the Gypsy Girl
walaupun kebanyakkan mozek ini telah dicuri oleh pencuri harta karun. Teknik
khas telah digunakan dalam pembuatan mozek ini yang membuatkan matanya
kelihatan hidup. Setelah puas melihat kesemua mozek aku pun keluar mencari
Gozde dan kembali semula ke Bazar Tembaga untuk mencari Makam Nabi Yusha A.S.
Nabi Yusha A.S adalah pengikut setia
Nabi Musa A.S dan telah menemani baginda ketika menemui Nabi Khidir A.S
sepertimana diceritakan di dalam Surah Al-Kahfi, Ayat 60-82. Kami berjaya
menemukan makam ini dan bersebelahannya adalah Makam Pir Sefa yang dipercayai orang
Ansar yang berasal dari Madinah dan telah datang ke sini untuk berperang bersama
tentera Islam dan telah syahid. Namun aku tidak berjaya untuk memasuki bangunan
makam kerana pintunya telah dikunci dari luar. Cukuplah sekadar menyedekahkan
Al-Fatihah dan beberapa surah yang lain serta berdoa. Gozde mengatakan yang aku
harus mencuba Baklava iaitu manisan yang terkenal di Gaziantep ini. Perjalanan
diteruskan ke arah bazar yang berhampiran jalan utama untuk mencari Baklava.
Setelah membeli sepotong kecil, aku akhirnya dapat merasa manisan yang bahan
utamanya adalah kacang pistacio, madu dan tepung. Kemudian membantu Gozde untuk
membeli lampu kalimantang kecil untuk bilik di flatnya. Aku juga berkesempatan
untuk membeli jersey bola pasukan Gaziantep dan Trabzon sebagai cenderahati
untuk dibawa pulang. Destinasi terakhir hari ini adalah Kurtulus Cami yang
telah dibina sekitar 1900an dan adalah sebuah Gereja St Mary's Church Cathedral
pada asalnya. Ianya telah digunakan sebagai gereja dan penjara sebelum
ditukarkan menjadi masjid. Kami makan Lamahjun untuk mengisi perut yang kosong
sebelum menghala pulang. Sebaik sahaja menghampiri kawasan flat, teman Gozde
menelefonnya untuk mengajak kami ke kedai manisan berdekatan. Kalau di Malaysia
kita seringkali ke kedai mamak untuk bertemu rakan-rakan dan lepak, tetapi di sini
mereka akan memilih cafe atau kedai manisan. Kali ini aku berpeluang untuk
merasa Kadiyif setelah mencuba Kunefe dan Baklava sebelum ini. Rasanya agak
unik dan sangat manis sama seperti manisan yang lain. Kami berbual-bual
seketika dan akhirnya pulang ke flat. Setibanya di flat, Aryan yang seharian
kebosanan di rumah menyambut kami dengan keletahnya. Aku sempat memasang lampu
yang baru dibeli tadi dan memperbaiki sudut pencahayaan lampu di ruang tamu. Sebelum tidur kami
sempat bergambar bersama Aryan memandangkan esok pagi aku akan bertolak ke
lapangan terbang.
Pemandangan dari tingkat 2 Muzium Mozek Zeugma
Tiang-tiang yang dipindahkan dari tapak asal di Zeugma
Antara mozek yang telah disusun kembali
Teras lapisan mozek
Mozek Oceanos dan Tethys
Pandangan secara dekat mozek
Mozek Eros
Penerangan mengenai Kidnapping of Europe Mosaic
Kidnapping of Europe Mosaic
the Gypsy Girl
Patung Athena
Menuju ke pusat bandar
Baklava
Lamahcun
Penerangan mengenai Nabi Yusha A.S dan Pirsefa Hz
Makam Nabi Yusha A.S dan Pirsefa Hz
Nabi Yusha A.S dan Pirsefa Hz
Dewan sembahyang Masjid Curtulus
Dewan sembahyang Masjid Curtulus
Dewan sembahyang Masjid Curtulus
Masjid Curtulus
Bersama Gozde dan teman-temannya menikmati Kudayef
0 ulasan:
Catat Ulasan