Sabtu, 21 Oktober 2017

TABRIZ IRAN/KARADENIZ SOUTHEAST TURKEY/KAZAKHSTAN – 9.0 ALA DAGHLAR

Hari ini kami bangun agak lewat dari semalam kerana teksi yang dijanjikan akan tiba sekitar 0900H. Tanpa bersarapan kami menanti teksi berhampiran berhampiran jalan utama. Waktu pagi keadaan cuaca masih sejuk sekitar 10deg C sebelum matahari keluar sepenuhnya. Kami tercari-cari kedai dikawasan sekitar untuk membeli makanan untuk mengalas perut. Akhirnya terjumpa kedai roti dan berhasrat untuk bersarapan disitu sahaja. Kebiasaannya penduduk tempatan akan membeli roti dan membawanya pulang ke rumah untuk dimakan bersama jem, keju ataupun lauk-lauk yang lain. Kami meminta jasa baik tuan kedai untuk duduk di dalam kedainya memandangkan suhunya yang panas berpunca dari haba dapur yang membakar roti. Mereka juga berbaik hati menyediakan air teh panas dan sedikit jem untuk kami nikmati bersama roti yang kami beli. Kami mengucapkan terima kasih dan bergambar bersama mereka sementara menanti teksi sampai. Pemandu teksi tidak fasih berbahasa Inggeris dan aku hanya berbahasa isyarat dicampur dengan bahasa Farsi yang terhad. Seperti yang dijanjikan oleh Vahid, kami hanya perlu membayar pemandu ini setelah semuanya selesai. Tambang yang dijanjikan adalah IRR 500K. Tanpa membuang masa kereta terus bergerak menuju ke luar bandar melalui jalan Tabriz-Ahar. 

Setelah hampir 40 minit kami pun tiba di tempat yang dinyatakan oleh Vahid. Tempat tersebut hanyalah tempat pembuangan sisa pepejal berhampiran kampung Khaje. Bukit-bukau yang berwarna-warni jelas kelihatan membuatkan kami terpegun seketika. Kami terus menyusuri alur anak sungai yang kering untuk meneroka kawasan ini. Dari tepi jalan, bukit-bukau yang berwarna-warni mudah didapati sekitar kawasan ini. Setelah hampir 1 jam disini, kami memberitahu pemandu tersebut untuk pergi kebelakang beberapa kilometer untuk mencari tempat yang lebih menarik. Akhirnya kami berhenti apabila melihat denai kecil berhampiran jalan utama. Perasaan teruja dan cuak mula bercampur memenuhi jiwa apabila kami meninggalkan kereta untuk mencari sesuatu yang tidak pasti. Kami terus berjalan menuju ke satu puncak bukit yang tinggi dan meninjau dari jauh untuk mencari kawasan yang lebih cantik. Warna yang pelbagai ini terhasil daripada kepelbagaian mineral yang terkandung di dalam tanah tersebut dan tindak balas kimia antaranya. Pemandangan disini sama seperti di Zhangye Danxia National Park yang terletak di Gansu, China. Namun tidak ramai yang tahu di Iran juga terdapat Colourful Mountain. Akhirnya kami menjumpai anak sungai yang berwarna putih dipermukaannya. Aku mengagak warna putih itu terhasil dari garam yang terhidrat. Kami terus ke anak sungai tersebut dan merasai air tersebut dengan lidah dan sememangnya ia masin. Kemudian aku terus memanjat bukit yang tandus ini sambil menikmati pemandangan yang cantik ini sepuas-puasnya sebelum pulang ke bandar. 

Sekali lagi aku meminta bantuan Vahid untuk membeli tiket bas ke Van, Turkey untuk tujuan merentas sempadan pada esok hari. Pemandu terus membawa kami ke perhentian bas persendirian seperti yang diberitahu Vahid kepadanya walaupun kami beberapa kali tersesat. Alhamdulillah akhirnya kami berjaya membeli tiket dari Tabriz-Van dengan harga IRR 1400K seorang. Kami berterima kasih kepada pemandu teksi dan membayar tambang yang telah dijanjikan. Makan tengah hari kami hanyalah kentang dan roti di rumah Mahdi sebelum menghabiskan sisa-sisa waktu terakhir kami di Tabriz dengan mencari sedikit cenderamata untuk dibawa pulang. Di malam terakhir kami mengambil peluang bergambar dan berbicara bersama-sama untuk kali terakhir sebelum berangkat ke destinasi seterusnya. Kami juga meminta maaf jika ada menyusahkan emaknya untuk menyediakan juadah makanan kepada kami. Dan ada masanya kami tersalah-anggap tona suara mereka yang tinggi lantang dan menyangkakan kami membawa masalah kepada mereka, walhal ia hanyalah tona perbualan biasa bagi mereka. Mahdi membantu kami untuk memesan teksi pada awal pagi kerana bas bakal bertolak sekitar 0700H esok hari. Bagiku menetap bersama Mahdi dan keluarganya di Tabriz adalah antara saat-saat yang pasti dikenang sepertimana tempat lain yang dikunjungi beberapa hari yang lalu.

Colourful Mountain (Ala Daghlar) dan anak sungai garam

Hentian pertama yang berhampiran tempat pembuangan sampah

Kami terus mendaki melalui bukit-bukau untuk mencari spot yang terbaik

Warna yang tidak sekata dan pelbagai

Pemandangan dari tepi jalan yang terbiar

Kelihatan Pak Usop terus berlegar-legar meneroka kawasan yang luas

Anak sungai garam yang terbentuk secara semulajadi

Penerokaan yang tiada penghujung

Anak sungai garam yang semakin mengering

Dari salah satu puncak bukit yang kami tawan

Perjalanan pulang yang terasa sukar

Terima kasih Ali kerana membawa kami ke Ala-Daghlar

Sekitar Bazaar Tabriz

Beransur pulang ke rumah Mahdi

Makan malam terakhir kami di bumi Iran

0 ulasan:

Catat Ulasan