Pagi ini giliran Pak Usop pula untuk memasak memandangkan aku telah memasak untuk makan malam semalam. Walaupun menu makanan yang sama namun kami tetap berselera menghabiskannya. Setelah bersiap kami pun mendaftar keluar dan menyambung pengembaraan dan kali ini kami mendaki lereng-lereng bukit ke bahagian hulu tasik. Pemandangan dari atas lereng bukit sememangnya cantik. Jadi tidak hairanlah masih terdapat banyak hotel-hotel dibina di kawasan ini. Kami meredah belukar dan menggunakan jalan pintas merentasi tanah persendirian berbanding mengikuti jalan raya yang dibina untuk sampai ke atas lebih cepat. Namun ianya tidak semudah yang disangka. Nafas semakin pendek dan aku seringkali berhenti berehat berbanding Pak Usop yang jauh di hadapan. Akhirnya kami berhenti di satu resort hotel di mana pengurus hotel menjemput kami untuk minum air bersamanya. Aku hanya meminta air kosong kerana kehausan. Kemudian pelayan memberikan air di dalam gelas besar. Katanya ini adalah air mata air bukit yang segar diambil dari paip khas terus dari hotelnya. Kami banyak berbicara tentang budaya Malaysia dan agama Islam. Dia juga memberitahu yang Uzungol ini memang terkenal di kalangan para pelancong Arab. Jadi tidak hairanlah kelihatan ramai Pak Arab bersiar-siar disini. Kami kemudiannya menghabiskan sisa-sisa masa terakhir disini mengambil gambar dan turun semula ke tasik. Pak Usop ada menceritakan tentang kesilapannya dalam mengatur jadual pengembaraannya yang mungkin memaksanya untuk pulang awal seminggu dari perancangan asal. Aku sedikit terkilan namun tidak mahu perasaan ini terbawa-bawa kerana ia akan mengganggu fikiran dan emosi yang sedang gembira dan teruja dek pengembaraan ini. Sekitar tengah hari kami sampai di tasik dan sembahyang di masjid dan membeli sedikit cenderamata untuk dibawa pulang. Harganya adalah normal sekitar TL 2-5 untuk fridge magnet bergantung kepada saiz.
Kami mengambil kesempatan untuk melawat Emre di tadikanya. Dia menjemput kami untuk masuk ke kelasnya seketika sebelum kami pulang ke apartment untuk mengambil beg yang ditinggalkan di tingkat bawah. Sewaktu menanti bas untuk ke Trabzon, aku mengambil keputusan untuk menempah homestay – Vale Apartment di Agoda.com yang berharga TL 80 setelah mengambil kira keselesaan dan kebebasan yang kami perolehi apabila tidak bermalam dengan host Couchsurfing. Mungkin untuk malam yang berikutnya kami boleh bermalam di rumah Muhamad di Trabzon. Bas sampai tepat pada masanya di hadapan pondok berhampiran tempat penginapan kami. Sebaik sahaja menaiki bas aku sudah mula berasa mengantuk dan akhirnya tertidur ketika melayan perasaan dan melihat pemandangan di luar yang dipenuhi hutan alpine. Aku kembali terjaga ketika bas terperangkap di dalam kesesakan trafik di Yomra, sekitar 20km dari Trabzon. Zakaria, tuan rumah Vale Apartment menghubungiku untuk mengetahui lokasiku dan anggaran masa ketibaan kami di rumahnya. Setelah 1 jam kami pun tiba di Trabzon Otogar dan Zakaria datang menjemput kami untuk ke apartmentnya. Kami dibawa ke kawasan di mana terdapat banyak apartment dibina berhampiran Trabzon Kalesi. Dia membuka pintu kepada kami dan menerangkan apa yang boleh kami gunakan disini. Apartment yang mempunyai 3 bilik ini sangat besar dan beliau hanya membuka 1 bilik untuk kami memandangkan kami hanya membayar untuk 1 bilik single. Ruang tamu dan dapur adalah berkali ganda besar jika dibandingkan dengan Kusva Apartment di Uzungol. Rumah ini lengkap dengan perabut dan masih terdapat barang-barang keluarganya disini. Kami kemudian keluar ke Trabzon AVM yang hanya 10 minit berjalan kaki untuk membeli barang masakan. Setelah puas mencari akhirnya kami membeli beras dan sosej di kedai serbaneka yang berada diluar AVM. Masih terdapat banyak bahan masakan di dalam peti ais di rumahjadi kami hanya membeli apa yang perlu. Alhamdulillah atas rezeki yang dikurniakan Tuhan ini dapat juga menikmati masakan selera Malaysia hasil air tangan Pak Usop yang menyediakan makan malam hari ini.
Pemandangan dari atas lereng bukit
Melalui lereng bukit sebagai jalan pintas
Disini lah kami berhenti mendaki
Rumah orang kampung yang terbiar
Mula menuruni bukit melalui kebun-kebun warga tempatan
Pemandangan indah hutan alpine
Menyelusuri kedai cenderahati sekitar tasik
Madrasah Al-Quran Uzungol
Madrasah Al-Quran Uzungol
0 ulasan:
Catat Ulasan