Rancangan untuk menumpang teman Haluk ke
Gaziantep tidak berhasil memandangkan temannya akan ke sana pada keesokan hari.
Jadi aku akan ke Gaziantep dengan menaiki bas. Haluk bersiap-siap dan terus
keluar untuk ke kelasnya yang akan bermula awal pagi. Aku hanya menanti Aydin
tiba sebelum bertolak ke Sanliurfa Otogar. Aydin kemudian menghantarku ke
stesyen bas memandangkan beliau akan ke pusat bandar juga. Aku mengucapkan
terima kasih di atas semua layanannya sambil memeluknya dan menjemputnya ke
Malaysia. Bas bertolak sekitar jam 0930H dan mengambil masa hampir 3 jam untuk
sampai ke Gaziantep. Bandar lama ini adalah lebih tua dari Sanliurfa. Diasaskan
oleh kerajaan kuno Yamhad sekitar tahun 1800SM diikuti oleh Umayyah, Abbasiah,
Byzantines, Seljuk dan Uthmaniah. Bandar ini terkenal dengan barangan tembaga,
karpet, kacang pistacio dan Baklava. Kedudukan bandar ini yang hanya 90km dari
Aleppo, Syria menjadikannya bandar ini dikawal ketat keselamatannya oleh
anggota keselamatan. Sebaik sahaja bas tiba di Gaziantep Otogar, aku mengambil
langkah berjaga-jaga dan tidak lagi berjalan-jalan tanpa tujuan untuk
mengelakkan kejadian sama berulang seperti di Diyarbakir. Gozde host
Couchsurfing memberitahu perjalanan menggunakan bas dari otogar akan mengambil
masa lebih kurang 1 jam memandangkan bas akan melalui hampir kesemua
jalan-jalan utama sebelum sampai di stesen terakhir berhampiran Universiti
Gaziantep. Aku keluar dari otogar dan terus menuju ke jalan utama untuk menanti
perhentian bas. Sebaik sahaja bas berhenti, aku bertanyakan kepada pemandu bas tentang
destinasinya sebelum masuk ke dalam. Sepanjang perjalanan aku perhatikan yang
bandar yang ini lebih kurang sama sahaja persekitarannya seperti
Sanliurfa. Mataku sentiasa tertumpu
kepada kedudukan semasa di MAPS.ME sebelum berhenti berhampiran universiti.
Akhirnya aku bertemu Gozde selepas menyeberangi jejantas yang berada di hadapan
universitinya. Beliau kemudian menjemputku untuk ke flatnya yang hanya
berdekatan. Seluruh penghuni di flatnya ini adalah para pelajar Universiti
Gaziantep. Sebaik sahaja aku meletakkan beg, kucingnya Aryan datang menjengah
dan mula mencakar-cakar begku. Katanya kucingnya memang begitu agak nakal dan
suka bermain. Selepas menghabiskan hidangan kopi kami pun keluar meneroka
bandar Gaziantep. Beliau adalah pelajar jurusan kedoktoran yang masih mempunyai
beberapa tahun lagi untuk dihabiskan. Kami berhenti di sebuah restoran untuk
makan kebab sebagai makanan tengah hari. Di sini aku banyak berbicara dengannya
tentang sistem pendidikan di Turkey. Dan ternyata kos pembelajaran disini jauh
lebih murah dan banyak peluang-peluang biasiswa. Beliau juga menerangkan
situasi terkini di Gaziantep yang tidak menentu kerana dipenuhi lambakan
pelarian perang dari Syria. Kami terus menuju ke Gaziantep Kalesi memandang
hari sudah mula gelap. Namun aku agak hampa kerana ia telah ditutup kerana
waktu lawatan telah tamat. Gozde membawaku ke Bazar Tembaga sekadar untuk
bersiar-siar dan kebanyakkan kedai sudah pun mula tutup. Di dalam perjalanan
pulang kami berhenti seketika di ekspo jualan dimana terdapat jualan amal untuk
barang-barang yang dihasilkan oleh para banduan dari seluruh Turkey. Di sini,
hasil kraftangan dan kulit sememangnya cantik dan berkualiti, jadi tidak
hairanlah ramai yang ke sini untuk berbelanja. Kami kemudian pulang ke flat
dengan menaiki trem. Aku mandi untuk menyegarkan badan sebelum menyambung
perbincangan dengan Gozde mengenai budaya di Turkey dan pengalaman pertama
Coucsurfing sambil bermain dengan kucingnya. Melihat mataku yang sudah
mengecil, beliau kemudian membantuku menyediakan sofa bed di ruang tamu dan
masuk tidur.
Bandar Antep
Menara Sirvani Cami
Gaziantep Kalesi
Turkish Pot Lamp
Sekitar ekspo banduan
Menaiki trem pulang
0 ulasan:
Catat Ulasan