Jumaat, 20 Oktober 2017

TABRIZ IRAN/KARADENIZ SOUTHEAST TURKEY/KAZAKHSTAN – 10.0 BORDER CROSSING

Beg galasku sudah siap dikemas malam tadi dan pagi ini kami terus melakukan persiapan terakhir kerana teksi akan tiba sekitar jam 0600H. Aku mengejut Mahdi untuk membuka pintu dan memastikan teksi sampai pada masanya. Tidak lama kemudian pemandu teksi menghubunginya dan kami mengucapkan selamat tinggal kepadanya sebelum beredar pergi. Kami sedikit cemas kerana teksi sesat jalan namun akhirnya berjaya mencari perhentian bas. Perhentian bas yang dimaksudkan sebenarnya ialah deretan kedai komersial dengan beberapa buah van besar menanti diluar. Kami masuk ke kaunter dalam dan menunjukkan tiket yang dibeli semalam dan penjaga kaunter menandakan nama kami di dalam senarai panjang dikertasnya. Beliau menunjukkan van yang sepatutnya kami naik dan setelah menanti beberapa minit kami pun membawa masuk beg dan duduk di dalamnya sementara menanti penumpang lain tiba. 

Van yang mampu memuatkan sekitar 15 orang bergerak pada masanya dan kesemua penumpang adalah warganegara Iran kecuali kami berdua. Setelah hampir sejam, sekali lagi aku terlihat Ala-Daghlar di tepi jalan. Mungkin kawasan East Azerbaijan ini memang kaya dengan mineral dan pemandangan seperti ini mudah kelihatan. Pemandangan padang diselang-selikan gunung ganang menjadi tatapanku sebelum tertidur. Aku hanya memakan bekalan makanan yang dibeli semalam sambil menghubungi hostku di Van menyatakan kami bakal sampai tengah hari ini. Perjalanan ke Razi iaitu sempadan di bahagian Iran mengambil masa 4 jam. Sebelumnya kami berhenti seketika untuk mengisi minyak dan kelihatan pemandu van ada mengambil bekalan rokok yang berkartun-kartun untuk dibawa masuk ke Turki. Van akhirnya menurunkan semua penumpang dan akan menunggu kami semua dibahagian sempadan Turki. MasyaAllah terdapat ramai orang sedang beratur panjang untuk melepasi pemeriksaan immigrasi Iran. Mungkin ramai yang ingin bercuti sebentar ke Van kerana hari Jumaat adalah permulaan hari minggu di Iran. Pengajaran buatku dimasa akan datang adalah untuk tidak menyeberangi sempadan pada hari minggu jika tidak mahu bersesak dan membuang masa beratur. Barisan yang panjang bergerak sangat perlahan dan terdapat warga tempatan menawarkan servis memotong barisan dengan memanjat pagar. Tidak lama kemudian tercetus pergaduhan kecil akibat perbuatan tersebut. Terdapat ramai remaja warga tempatan menyeludup rokok dan petrol menyeberangi sempadan kerana perbezaan harga yang begitu ketara antara kedua-dua negara. Dan ianya dilakukan secara terang-terangan, getus hatiku bagaimana agaknya mereka mampu melepasi pemeriksaan immigrasi dan kastam. Akhirnya setelah 4 jam bersesak-sesak kami sampai ke kaunter immigrasi Iran dan mereka bertanyakan tentang visa Iran. Ujarku orang Malaysia tidak memerlukan visa untuk ke Iran jika kurang 2 minggu. Setelah hampir 15 minit mereka berbincang dengan pegawai dibelakang akhirnya passport kami dicop keluar. Aku cuba mencari penumpang yang sama dengan kami di van tadi supaya tidak ketinggalan, namun mereka jauh ke depan. Pak Usop mula merasa sakit belakang akibat mengendong beg setelah beberapa jam disini. Kami tidak mengambil masa yang lama di immigrasi Turkey dan hanya beberapa minit sahaja kami sudah mendapatkan cop masuk. Pemandu van memanggil kami sebaik sahaja kami selesai mengimbas bas dan ternyata kamilah yang terakhir sampai semula ke van. Walaupun berasa penat, kami berasa teruja kerana telah melangkah masuk ke Turki dengan pelbagai rintangan yang telah kami hadapi sebelum sampai ke sini. Tidak berapa jauh dari sempadan, van kami ditahan untuk pemeriksaan polis. Dan seperti kebiasaannya, paras rupa yang berbeza dan warna passport merah menyala menjadikan kami tumpuan pihak polis untuk bertanyakan lebih lanjut tentang perjalanan kami ke Turki. Perjalanan diteruskan ke Van dan kami akhirnya selamat tiba di Van sekitar 1700H. 

Kami meminta untuk diberhentikan di pusat bandar seperti mana penumpang-penumpang lain berhenti di hotel-hotel mereka. Bandarnya kelihatan maju dengan ramai orang bersesak-sesak di jalanan. Kami berhenti sembahyang di Masjid Hazreti Omer. Struktur bangunan dan seni binanya berbeza dari masjid-masjid di Iran. Aku telah memberitahu hostku Nihan tentang ketibaan kami di sini dan beliau akan berjumpa kami setelah habis kerja. Rancangan seterusnya ialah membeli simcard Turkcell. Simcard Turkcell dibeli pada harga TL 70 untuk 3G data dan panggilan telefon. Memadai untuk penggunaan internet dan panggilan untuk 20 hari akan datang di negara ini. Dan menukar USD 300 kepada TL untuk perbelanjaan pengembaraan seterusnya. Kemudian kami ke restoran kecil di bawah tanah untuk makan doner sebagai makanan tengah hari. Kami terus berjalan ke Van AVM yang tidak jauh dari situ untuk bertemu Koray dan Hasan, teman kepada Nihan. Kami bakal bermalam di rumah Hasan kerana Nihan sibuk dan aku berasa sedikit kecewa dengan perubahan di saat akhir ini. Mereka yang baru sahaja selesai bermain futsal kelihatan letih dan ingin segera pulang. Kami mengikut Hasan menaiki Mitsubishi Lancer berwarna hitam untuk pulang ke apartmentnya. Beliau berhenti sebentar di supermarket untuk membeli air soda, sosej, telur dan roti untuk makan malam. Ahmad abang kepada Hasan menyambut ketibaan kami. Mereka mula memasak untuk makan malam dan kami tidak dibenarkan untuk menolong. Katanya untuk memuliakan tetamu. Pertuturan Hasan dan Ahmad di dalam Bahasa Inggeris amat terhad dan kami banyak menggunakan Google Translate untuk berkomunikasi. Mereka berdua adalah kakitangan kerajaan. Di ruang tamu terdapat sistem bunyi dan mini-studio yang canggih kepunyaan Hasan. Beliau juga aktif dalam band music jika mempunyai kelapangan. Walaupun Hasan sangat baru dalam Couchsurfing namun tidak kekok melayan tetamu. Ada sahaja jenaka yang bakal diselitkan beliau ketika kami berbicara. Kami juga mencuba shisha yang disediakan beliau, sedap dan ada rasa yang tersendiri. Dan akhirnya, aku masuk tidur di atas katil sofa di ruang tamu bersama Pak Usop. Walaupun ianya hari yang mencabar dan memenatkan namun masih ada senyuman dan kepuasan di penghujung hari.

Di dalam mini bas menuju sempadan

Pemandangan dari sisi kanan mini bas

Mini bas berhenti untuk mengisi minyak sebelum border crossing

Di dalam Masjid Hazreti Omer

Hari beransur gelap

Tempat tidur kami di ruang tamu

Hasan yang berhati mulia

0 ulasan:

Catat Ulasan