Selasa, 10 Oktober 2017

TABRIZ IRAN/KARADENIZ SOUTHEAST TURKEY/KAZAKHSTAN – 20.0 HIDDEN EGIL

Hari ini aku akan ke Egil setelah memperolehi maklumat dari buku pelancong dan juga internet. Aku menjangkakan mereka akan bangun lewat seperti semalam, dan tanpa membuang masa aku terus keluar mengambil bas ke Dag Kapi dan kemudian menuju ke Ilce Otogar. Dari Ilce Otogar, aku mengambil Dolmus ke Egil dengan tambang TL 15 untuk perjalanan sejauh 50km. Dolmus akan bertolak apabila tempat duduk penuh, jadi aku terpaksa menunggu penumpang lain untuk sampai. Pemandangan sepanjang perjalanan kebanyakkannya adalah kebun-kebun warga tempatan yang mengandungi pokok zaitun dan walnut. Aku tiba di pekan Egil setelah 1 jam dan cuaca yang tadi mendung kini mulai hujan. Pekan kecil ini sangat hampir dengan Sungai Tigris iaitu sungai yang terpenting dalam Tamadun Mesopotamia selaian daripada Sungai Euphrates yang mengalir bermula dari Turkey ke Syria dan Iraq sebelum menghilir ke Teluk Parsi. Egil juga digelar City of the Prophets yang telah menyaksikan pentadbiran kerajaan Assyrians, Romans, Byzantine, Abbasiah, Seljuk, Uthmaniah dan yang terakhir kerajaan Turkey. Di sini terdapat Istana Egil yang dibina kerajaan Assyrians. Tujuan utama ke sini tidak lain tidak bukan hanyalah untuk menziarahi makam Nabi Zulkifli A.S dan Nabi Elyasa A.S. Aku mula bertanyakan pakcik yang sedang duduk luar kedai tentang kenderaan untuk ke makam tersebut. Dia kemudian memanggil kawannya untuk membawa aku kesana dengan bayaran TL 15. Kami keluar dari pekan dan menuju ke arah bukit bersebelahan. Aku yang masih tidak pasti akan lokasi makam tersebut hanya mengikut pakcik ini melalui jalan sunyi turun dan naik bukit sebelum sampai di sebuah masjid di atas puncak bukit. Memandangkan waktu Zuhur sudah masuk, aku terus menunaikan solat Zohor di situ. Setelah selesai, pakcik menunjukkan isyarat tangan untuk ke bawah sambil menadahkan tangan seperti berdoa.

Aku hanya mengikut isyarat pakcik itu dan menemukan makam Nabi Zulkifli A.S dan Nabi Elyasa A.S di tingkat bawah masjid. Alhamdulillah, akhirnya sampai juga aku ke sini. Aku menyedekahkan surah Al-Fatihah dan beberapa surah lain dan mengakhirinya dengan doa. Nabi Elyasa A.S. dilahirkan sekitar 896SM di Palestine dan telah menetap di Egil bersama kaumnya setelah pencerobohan kerajaan Assyirians sekitar 800-850SM. Baginda telah meninggal dunia disini dan dimakamkan di Kampung Teke. Makamnya kemudian telah dipindahkan ke sini, Visit Hill untuk mengelakkannya ditenggelami air disebabkan oleh projek Empangan Dicle. Nabi Zulkifli A.S ialah sepupu Nabi Elyasa A.S telah dilahirkan 846SM dan menetap Egil sama seperti Nabi Elyasa A.S dan meninggal dunia disini. Makamnya ditempatkan di Hacyan sebelum dipindahkan kesini, Visit Hill atas sebab yang sama. Di bangunan sebelah terdapat 2 lagi makam iaitu Nabi Omar Ibni Piri Can dan Nabi Harun I Asefi Ibni Piri Can. Kedua-duanya adalah komander kepada Nabi Sulaiman A.S dan hidup sekitar tahun 1000-900SM dan mereka dimakamkan disini. Terdapat juga makam-makam nabi yang lain di sekitar daerah Egil namun aku tidak berkesempatan untuk membuat kajian terperinci dan perancangan. Setelah selesai menziarahi kesemua makam-makam yang ada disini aku mengambil gambar pemandangan di sekitar masjid yang dikelilingi oleh Empangan Dicle. Tidak lama kemudian, pakcik mengajakku pulang ke pekan. Sewaktu perjalanan pulang aku ternampak Assyrian Gates di bukit bersebelahan. Sampai sahaja di pekan Egil, pakcik memberikanku roti dan manisan sebagai bekal. Aku yang kelaparan sejak pagi tadi tidak menolak dan memakannya sambil menanti Dolmus untuk pulang ke Diyarbakir. Memandangkan permintaanku melalui Couchsurfing untuk bermalam di Cizre tidak dibalas, aku menghantar beberapa mesej untuk ke Batman sebuah pekan kecil 160km jauh dari Cizre. Sebaik sahaja sampai di Diyarbakir, aku terus ke Masjid Iskandar Pasa dan Gereja Syrian Orthodox Virgin Marry yang telah dibina seawal 300an sebelum pulang rumah Hakan. Aku akan bergerak menuju ke Batman malam ini memandangkan Mahmut menerimaku untuk bermalam di rumahnya. Setelah mengucapkan selamat tinggal kepada Hakan dan Weifa aku membawa diri meninggalkan sebuah tempat yang aku boleh gelarkan “Home away from Home”.

Aku sempat mengambil Dolmus ke Batman yang bakal meninggalkan Ilce Otogar pada pukul 1900H. Tambang perjalanan untuk ke Batman yang sejauh 100km ialah TL 15. Sempat juga aku tidur-tidur ayam walaupun van penuh sesak dengan penumpang. Nama Batman diambil sempena Sungai Batman yang mengalir melalui daerah ini. Ianya dahulu adalah sebuah perkampungan Kurdish yang kecil sebelum menjadi bandar yang pesat bangun setelah penemuan lapangan minyak yang terbesar di Turkey iaitu lapangan minyak Bati Raman sekitar tahun 1950an. Mahmut memintaku untuk berhenti di AVM kerana ianya berdekatan dengan rumahnya. Aku sentiasa memerhatikan aplikasi Google Maps untuk mengetahui lokasi terkini untuk membolehkan aku berhenti di AVM. Akhirnya pemandu Dolmus membantuku untuk berhenti di depan AVM. Aku terus menghubungi Mahmut sebaik sahaja tiba dan beliau datang bersama anak-anaknya Renggin dan Betterkhan. Aku yang sudah seharian kelaparan disajikan spageti yang disediakan oleh isterinya, Felish. Kemudian dihidangkan pula pemanis mulut iaitu bubur asyura. Bersama Mahmut, aku dapat mendengar pendapat dan luahan perasaan seorang Kurdish terhadap persepsi kaum majoriti, Turkish. Banyak perkara yang tidak dapat mendapat persetujuan di antara kedua-dua pihak yang sering sahaja mencari kesalahan antara satu sama lain. Mereka merasa tertindas dengan segelintir pihak yang menganak-tirikan kaum Kurdish di negara ini dan terdapat banyak sejarah-sejarah hitam jika diungkap kembali tidak memihak kepada kaum minoriti ini. Pertemuan dengan Mahmut banyak membuka mindaku dan ianya adalah masalah yang selalu didengari untuk masyarakat minoriti di sesuatu negara. Isterinya sangat gembira dengan pemberian cenderamata yang ku beri. Memandangkan hari sudah lewat malam, Mahmut membentangkan aku tilam di ruang tamu untuk aku tidur di sini.

Pintu masuk makam Nabi Zulkifli A.S dan Nabi Elyasa A.S

Ruang ziarah yang diasingkan dengan bahagian makam oleh cermin kaca

Makam Nabi Zulkifli A.S berada di sebelah kiri

Makam Nabi Elyasa A.S berada di sebelah kanan

Dari luar makam Nabi Harun Asefi dan Nabi Omar

Keadaan di dalam makam

Kucing penunggu makam

Empangan Dicle

Pemandangan keseluruhan kompleks Visit Hill

Dalam perjalanan pulang ke pekan Egil

Pakcik yang membawaku ke Visit Hill

Dolmus Egil-Diyarbakir

Dag Kapi

Warga tempatan yang sedang bersantai bersama keluarga

Masjid Iskandar Pasa 

Gereja Syrian Orthodox Virgin Marry

Di dewan utama

Bahagian biara

Kitab Injil

Dolmus Diyarbakir-Batman

Bubur Asyura sebagai pemanis mulut

0 ulasan:

Catat Ulasan