Isnin, 30 Oktober 2017

TABRIZ IRAN/KARADENIZ SOUTHEAST TURKEY/KAZAKHSTAN – 1.0 ROUND TWO

Di hari pelepasan aku masih membuat persiapan di saat akhir dan mencetak keluar boarding pass dan return ticket ‘dummy’. Manalah tahu pegawai immigresen di Tehran buat pemeriksaan, susah juga nak menjawab. Untuk tiket penerbangan balik, aku bercadang untuk membelinya semasa berada di Turkey. Beg galas yang sama dibawa untuk pengembaraan kali ini walaupun ada terlintas untuk membeli beg hiking yang lebih selesa. Kasut but yang baru digantikan tapaknya dipakai beberapa kali untuk memastikan kesesuaian kaki. Diharapkan ia mampu bertahan untuk tempoh masa 30 hari di jalanan. 2 helai seluar, 4 helai baju dibawa dan jaket dibawa. Tidak lupa sedikit cenderamata untuk host dan rakan-rakan baru yang bakal ku temui di jalanan nanti. Aku terus memesan Grabcar untuk ke KLIA2 memandangkan isteriku sedang sibuk berkursus di Subang. Tiba di KLIA2 sekitar 1600H lebih kurang 3 jam dari waktu pelepasan dan terus menuju ke pintu pelepasan antarabangsa menanti Pak Usop yang masih dalam perjalanan dari Kajang. Kami seterusnya ke kaunter daftar masuk kerana boarding pass yang dicetak tidak boleh digunakan. Di kaunter, petugas Air Asia bertanyakan tentang jumlah duit yang kami bawa untuk ke Iran. Namun tidak pula bertanya tentang tiket balik ke Kuala Lumpur. Pemeriksaan passport dan imigresen berjalan lancar dan akhirnya sampai di balai pelepasan. Semasa masuk ke pintu balai berlepas, aku memerhatikan susuk tubuh seseorang tampak seperti seseorang yang ku kenal. Dan ramalanku benar dan beliau adalah rakan di Politeknik yang sudah bertahun-tahun lamanya tidak berjumpa. Beliau bertujuan untuk ke Baku, Azerbaijan dan transit di Tehran. Isteri baru bekerja di sana dan beliau datang melawat. Peluang tercipta untuk melawat Azerbaijan dengan adanya rakanku disana. Kami terus berbual sehinggalah tiba masa untuk masuk ke pesawat. Hampir separuh tempat duduk kosong dan aku mula berangan-angan untuk tidur baring di tempat yang kosong. Aku duduk bersebelahan orang muda Iran yang mungkin baru sahaja menghabiskan percutian mereka di Malaysia. Mereka datang dari Marzandaran dan Mashad. Kami berkongsi cerita tentang negara masing-masing walaupun mereka tidak berapa fasih bertutur dalam bahasa Inggeris. Mereka juga memberiku nombor telefon mereka kepadaku supaya aku menghubungi mereka jika ingin berhajat ke tempat mereka di masa akan datang. Selepas membeli makanan untuk mengalas perut aku mencari rakan Politeknik untuk menyambung perbualan tadi sebelum baring di tempat duduk kosong dan melelapkan mata.

Akhirnya setelah hampir 9 jam pesawat pun selamat mendarat di Imam Khomeini Airport. Aku terus ke kaunter imigresen tanpa ke kaunter insurans dan pegawainya terus mengecop passport tanpa sebarang soalan dan membenarkan kami keluar. Aku membeli simkad Irancell, IRR 500K dan terus ke lantai pelepasan menukarkan MYR ke IRR di kaunter pertukaran wang. Kadar pertukarannya memang berpatutan. Aku mengira wang riyal yang telah diberikan dan ternyata ia kekurangan IRR 500K. Beliau mengambil semula kesemua IRR 5000K dan menyuruhku untuk menunggu sebentar. Kaunter yang sesak dengan ramai orang sekarang tertumpu kepada ku seorang. Video CCTV diputar kembali ke saat pertukaran dan ternyata beliau yang membuat kesilapan. Wang dipulangkan semula kepadaku dan aku harus belajar dari kejadian ini supaya ia tidak berulang. Kemudian terus memesan kereta untuk ke rumah host dari applikasi Snapp yang baru dimuat turun di telefonku. Perjalanan memakan masa hampir sejam itu diisi dengan perbualan bersama pemandunya, seorang anak muda yang teruja dengan kedatangan tetamu dari Malaysia ke negaranya. Pak Usop yang pertama kali sampai di bumi Iran sangat teruja dan mula mengambil foto. Aku membayar sebanyak IRR 370K dan ianya memang murah jika dibandingkan dengan teksi yang harga dua kali ganda mahal. Sampainya di rumah host, pemandu menekan loceng apartment dan seorang pemuda keluar. Aku bertanya adakah ini rumah Hosein? Pemuda itu menjawab, Ya benar dan saya anaknya, Mehdi. Kami masuk ke apartment dan beliau terus menunjukkan bilik tidur kami yang tersedia rapi. Adiknya Sajad berada di biliknya dan kami terus berkenalan dengan mereka. Ayahnya Hosein ialah pengarah rancangan televisyen tempatan manakala Mehdi ialah pengacara program televisyen dan editor. Manakala adiknya yang masih belajar di universiti akan sesekali akan membantu abangnya dalam melakukan suntingan video dan audio. Di sinilah pejabat mereka dan kediaman Mehdi. Selalunya mereka akan bekerja hingga lewat malam manakala bapanya akan pulang ke rumah di Karaj setiap hari setelah selesai kerja di Tehran. Kami dijemput minum teh sebelum mengakhiri pengembaraan untuk hari pertama. Pak Usop yang sedikit kekok menginap di rumah Couchsurfer, banyak bertanyakan soalan mengenai keselamatan kami disini dan ianya normal untuk seseorang yang masih lagi baru tentang Couchsurfing. Mungkin selepas beberapa ketika perasaan takut itu akan hilang.


Di dalam bilik rumah Hosein, Tehran

Gambar di dinding akan Makam Imam Reza, Mashad

0 ulasan:

Catat Ulasan