Pagi disini lebih sejuk sekitar 3deg Celcius
kerana altitudnya 1800m ianya lebih tinggi dari Tehran dan kadar pencemaran adalah
kurang berbanding bandar-bandar besar. Seawal jam 8 pagi kami sudah keluar
mencari makanan namun banyak kedai masih tutup kerana hari ini
ialah hari minggu, Sabtu. Milad menghubungiku dan memberitahu beliau akan
sampai dalam beberapa minit lagi seperti mana yang telah dijanjikan semalam.
Memandangkan peluang sebegini tidak selalu hadir, kami terus bersiap-siap tanpa
bersarapan walaupun terasa lapar. Perjalanan ke utara bandar Qazvin terhenti
sebentar di pertengahan jalan untuk mengambil rakannya, Ibrahim. Ibrahim yang
masih lagi belajar di universiti akan mengikuti kami untuk aktiviti hari ini. Kami
menghala ke Barajin Bustan yang berhampiran dengan Islamic Azad Universiti.
Kelihatan ramai orang tempatan berjalan-jalan di lorong pejalan kaki di
sepanjang taman walaupun cuaca agak sejuk. Dan ianya adalah satu kebiasan
buat mereka untuk beriadah di pagi minggu bersama keluarga dan rakan-rakan. Setelah
berjalan sekitar 4 kilometer aku mula merasa letih dan bertanya kepada Milad
berapa jauh lagi penghujung jalan ini memandangkan jalan sudah mula curam
mendaki bukit. Aku bertanyakan mengenai anak sungai di lembah yang kulihat di
sebelah taman ini. Ujar hatiku mungkin ada sesuatu untuk dilihat disini, selain
daripada memberi alasan untuk tidak meneruskan perjalanan yang mungkin jauh
lagi kehadapan. Kami semua turun ke lembah sungai untuk meninjau kawasan
sekitar. Kami menjumpai anak sungai yang bersih dan kami mengambil kesempatan untuk menyegarkan
diri. Aku terus menyusuri denai kecil untuk mengikuti anak sungai dan akhirnya bertemu jalan mati. Di penghujungnya terdapat satu kawasan yang dipagar dan
Milad memberitahuku ini mungkin tanah persendirian.
Dengan perasaan ingin tahu kami semua terus
ke pintu pagar yang besar untuk mengetahui apakah di sebalik pagar ini. Tiba-tiba sebuah kereta menuju kami dan berhenti. Seorang lelaki keluar dan bertanya sesuatu dalam Bahasa Parsi. Milad menjawab soalan pakcik tersebut sambil memperkenalkan kami kepada beliau. Rupa-rupanya beliau adalah pemilik kebun ini
dan terus mengajak kami untuk masuk ke dalam. Terdapat banyak pokok yang
rendang seakan-akan pokok rambutan dan aku masih tertanya-tanya pokok
apakah ini. Kami terus masuk lebih dalam dan pemilik kebun terus memanggil-manggil
nama seseorang, mungkin sedang memanggil pekerjanya. Tidak lama kemudian
pekerjanya muncul dan pemiliknya, Ali meminta diri untuk beredar dari situ
untuk melakukan kerja. Pekerjanya terus membawa kami bersiar-siar di sini dan
mula menunjukkan jenis-jenis pokok yang ada di kebun ini. Antara pokok yang ada
ialah Delima, Walnut, Hazelnut, Tin dan Persimmon. SubhanAllah inilah pertama
kali melihat pokok-pokok ini kerana ianya hanya boleh didapati di kebanyakkan
negara di Timur Tengah. Aku mengutip Hazelnut dan Walnut yang telah gugur dari
pokoknya untuk dibawa pulang. Setelah puas mengambil gambar dan meneroka ke
serata kebun kami pun mengucapkan terima kasih kepada Ali dan kami beredar
keluar. Milad mengatakan ini adalah rezeki kami kerana pemilik kebun datang
tepat pada masanya ketika kami berada di depan pagar kebunnya. Kami berjalan pulang ke
tempat kereta dan Pegah menghubungi Milad dan memberitahu yang beliau sudah berada di hadapan
Azad Universiti. Pegah membawa bersamanya sedikit makanan dan sememangnya kami
semua belum sarapan lagi. Mereka mencadangkan untuk berkelah berhampiran Bahram
Abad dan kami hanya bersetuju. Perjalanan hampir 30 minit dirasakan begitu lama
kerana keadaan trafik yang agak sesak dengan permukaan jalan yang tidak berapa
elok. Kami akhirnya sampai berhampiran persimpangan jalan ke Mizouj. Milad hanya
meletakkan kereta di bahu jalan seperti mana kebanyakkan kereta dan kami menuju
ke anak sungai yang kering sambil membawa tikar dan bakul makanan untuk
berkelah disana. Makanan hanyalah biskut, roti dan manisan untuk sekadar
mengalas perut beserta teh halia. Pegah mencadangkan untuk kami melakukan
sedikit pendakian untuk menyelusuri sungai yang semakin kering ini. Kata Pegah tempat ini agak sesak terutama di hujung minggu dengan orang-orang tempatan beriadah.
Setelah
meletakkan kembali barang ke dalam kereta, kami menyeberangi jalan untuk
memulakan pendakian. Permulaan pendakian sedikit curam dan kelihatan beberapa anak
muda menaiki motorcross mendaki sehingga ke puncak bukit. Kami hanya mengikut
denai kecil di lereng bukit sambil menikmati pemandangan lembah yang menghijau
dan bukit-bukau yang kekuningan. Sepanjang perjalanan terdapat banyak pokok ceri
liar dengan pelbagai warna. Kami mengambil sedikit daripadanya sekadar untuk
merasainya sahaja. Kata Milad ceri yang berwarna kuning rasanya seperti buah
epal dan aku terus memetik hampir kesemuanya yang boleh dicapai tangan dari bawah. Milad
terus memanjat pokok untuk mengambil buah yang berasa di dahan yang lebih tinggi. Kesemua ceri dikumpulkan
di poket seluar masing-masing untuk dimakan sambil mendaki nanti. Setelah
hampir sejam kami sampai di pertemuan anak sungai di denai yang kami lalui, dan airnya
sejuk. Kemudian berhenti pula di tempat air mata air untuk mengisi air di botol. Kami berehat sebentar di kawasan sungai sebelum berpatah balik pulang. Kami banyak
berbual mengenai perbezaan budaya dan cara hidup antara di Malaysia dan Iran. Pandangan
Pegah cenderung ke arah liberal dan Milad pula masih konservatif walaupun
beliau seorang yang pintar. Di dalam kereta masing-masing keletihan dan tertidur.
Sampainya kami di hotel, aku dan Pak Usop membersihkan diri sebelum solat dan
tidur seketika. Selepas Maghrib Milad mengambil kami untuk makan malam di
Mellat Park. Aku membeli inti sandwich, air soda dan sedikit roti
memandangkan roti dari pagi tadi masih terdapat sisa. Dan itulah pertemuan terakhir kami bersama Milad, Pegah dan Ibrahim. Aku mengucapkan terima kasih
kepada mereka kerana meluangkan masa bersama kami dan semoga Allah dapat
membalas jasa baik mereka ini.
Jalan pejalan kaki yang nampaknya masih jauh ke hadapan
Di sinilah kami berhenti berjalan dan mula menuruni lembah kecil
Anak sungai di lembah
Pokok Delima
Kacang Hazelnut
Pokok Hazelnut
Hazelnut yang telah gugur dari pokoknya
Pokok Walnut
Pokok Pisang Kaki
Sarang lebah
Pokok Tin
Pemandangan kebun yang kami lawati dari jalan utama
Berkelah di sungai yang kering
Pokok ceri merah
Dedaunan sudah mula bertukar warna
Pokok ceri ungu
Pokok ceri kuning
Rasa macam epal
Lembah yang menghijau
Bukit-bukau yang tandus
Akhirnya sampai juga
Kenangan bersama Ibrahim, Pak Usop dan Milad
Perjalanan pulang
Makan malam di Mellat Park
0 ulasan:
Catat Ulasan