Antara perkara yang akan diperiksa setiap pagi
ialah Couchsurfing untuk melihat respon dari host-host yang telah ku hantar
permintaan untuk bermalam di rumah mereka. Sedikit hampa pagi ini kerana tiada satu
pun host yang sudi menerima kami di Qazvin iaitu destinasi yang seterusnya yang
sejauh 150km dari ke barat laut Tehran. Sebagai alternatif, aku terus mencari
maklumat di internet dan menempah Central Guesthouse yang berharga IRR 1200K
untuk 2 malam. Sementara menanti Mehdi bangun, kami makan biskut dan keluar
melihat pokok pisang kaki/persimmon yang berada di halaman belakang rumahnya.
Hosein pula tidak akan ke Tehran kerana hari Jumaat ialah hari minggu di sini
dan beliau hanya akan berehat di rumahnya di Karaj. Sebaik sahaja Mehdi bangun,
beliau terus menjerang air dan membeli roti dan menyediakan sarapan. Semasa
bersarapan kami sempat bertanyakan tentang pekerjaannya sebagai pengacara
program dan editor. Beliau bekerja di telewebion.com dan rancangan telekuiznya
di sering diudarakan di TV4. Kami sungguh bertuah kerana dapat mengenali
seseorang yang terkenal dan sering ke udara di kaca televisyen di Iran! Sebelum
beredar keluar, kami memberikan sedikit cenderahati untuk mereka sekeluarga dan
mengambil foto kenang-kenangan. Namun aku sedikit terkilan kerana tidak dapat
bergambar bersama bapanya, Hosein. Beliau menghantar kami ke stesyen metro dan
kami menyambung perjalanan kami ke Karaj. Strategi untuk memulakan hitch-hike
ialah untuk pergi sejauh yang mungkin dari kesesakan bandar dan stesen bas atau
teksi. Perhentian yang terakhir ialah Golshahr selang 2 stesyen dari Karaj dan
aku bercadang untuk berhenti di situ kerana jaraknya lebih hampir ke
Karaj-Qazvin Freeway. Kami berjalan keluar dari stesyen metro dan menuju ke
lebuh raya, dan keadaan trafik sangat sesak sehingga memaksa aku menaiki
jejantas untuk menyeberangi lebuh raya. Kesilapan memerhatikan peta di Google
Maps menyebabkan aku terpaksa berpatah balik ke tempat asal tadi. Aku meminta
Pak Usop memegang kertas bersaiz A4 dengan tulisan Qazvin dalam Parsi dan kami
sering bertukar-tukar posisi dan tempat menunggu tetapi kebanyakan yang
berhenti adalah kereta sewa. Akhirnya setelah hampir sejam kami pun nekad untuk
menaiki apa sahaja kenderaan yang berhenti setelah melihat sebuah bas hampir
kemalangan disebabkan aliran trafik yang perlahan di sebelah tepi lebuh raya
berpunca dari kereta yang berhenti kerana ingin membantu kami. Sebuah kereta
sewa berhenti dan meminta 200K untuk 2 orang ke Qazvin. Aku hanya bersetuju dan
kami pun meneruskan perjalanan. Pemandangan sepanjang perjalanan hanyalah
padang pasir dan sesekali pekan-pekan kecil. Pemandu kereta ingin berkomunikasi
dengan kami walaupun tidak fasih berbahasa Inggeris dan aku meminta Pak Usop
untuk melayannya. Setelah 1.5 jam kami pun sampai di guesthouse yang
berhampiran dengan Qazvin Bazaar. Kami daftar masuk berehat sebentar. Biliknya
bersih dan selesa dengan tandas berada di luar.
Qazvin ialah bandar yang lama dan pernah
menjadi ibu negara kerajaan Safavid sekitar 1500an dan terdapat banyak penemuan
arkeologi di sini. Memandangkan perut sudah mula lapar, kami keluar mencari
makanan di sekitar bazaar dan ke Sa'd al-Saltaneh iaitu caravanserai yang
terbesar di dalam bandar selain daripada Zein-o-din, Yazd untuk caravanserai
yang berada di luar kawasan bandar. Caravanserai ini telah dibina sejak zaman
Qajar, 1700an lagi dan telah dipelihara dan dipulihara dengan baik sekali. Di
dalamnya sekarang terdapat kedai-kedai menjual tekstil, barang perhiasan, kafe
dan restoran yang sering menjadi tumpuan anak muda di sini. Kami terus ke
destinasi yang seterusnya Peighambarieh Shrine dimana makam 4 orang nabi dari
keturunan Yahudi yang bernama Salam, Solum, Sohuli and Alqia. Dipercayai mereka
telah membawa khabar tentang kelahiran Nabi Isa A.S. Ianya telah dibina sejak
zaman Safavid. Kompleks yang luas ini juga menempatkan kubur Saleh iaitu anak
Imam Syiah yang kedua, Imam Hasan bin Ali. Kami masuk ke dalam makam yang
dihiasi cantik sama seperti makam-makam lain di Iran. Ianya pengalaman pertama
buat Pak Usop masuk ke makam di sini. Diluar kami disapa makcik yang menziarahi
makam dan memberikan kami gula-gula. Orang Iran memang terkenal keramahan
mereka. Pegah dari Couchsurfing ingin bertemu kami di Aminiha House dan kami
terus bergerak ke selatan dan menantinya di kerusi jalanan. Akhirnya beliau pun
sampai bersama rakannya dan kami menanti beberapa minit sebelum ianya dibuka
pada tepat jam 1700H dengan bayaran IRR 100K. Rumah ini dibina oleh Haj
Mohammad Reza Amini salah seorang pedagang yang kaya sekitar zaman Qajar
1700an. Ianya adalah satu contoh rumah tradisional mewah yang masih kekal
sehingga hari ini. Hiasan kaca dan tingkap Orosi yang berwarna-warni sangat
menarik. Setiap rekabentuk dan hiasan di dinding akan menceritakan sesuatu
mengenai alam ini. Di bahagian bawah tanah terdapat bahagian stor, bilik-bilik
dan kolam mandi/hamam namun kami tidak dapat keterangan lanjut untuk setiap
bahagian disini kerana penjaga disini hanya berbahasa Farsi dalam setiap
penerangannya sepanjang kami disini. Kehadiran Pegah sedikit sebanyak membantu
kami untuk menghargai setiap apa yang kami lihat di sini. Kami berjalan selama
beberapa minit untuk ke Masjid Jamek Qazvin yang hanya 700m dari situ sekadar
untuk melawat masjid lama yang telah mula dibina sejak 800an. Seperti Masjid
Jamek Borujerd yang telah ku lawati tahun lalu, masjid ini dibina di atas tapak
asas kuil api Zoroaster/Majusi. Tidak banyak gambar yang berjaya diambil kerana
keadaan yang gelap dan masjid di dalam proses penambahbaikan.
Sebaik keluar
dari masjid kami bertemu Milad, rakan Pegah dan kami berempat menaiki kereta Milad
ke Sa'd al-Saltaneh untuk makan malam dan mengenali antara satu sama lain. Mereka
memesan Ash iaitu sejenis bubur kacang tempatan dan air yogurt serta chai/teh.
Pegah yang berusia awal 20an sedang bekerja separuh masa sambil menanti peluang
untuk menyambung pelajaran ke luar negara. Beliau mempunyai teman lelaki dari
German dan berhasrat untuk meninggalkan Iran kerana beliau sudah lama tidak
mempraktikkan Islam kerana kebenciannya terhadap kerajaan Islam yang ada sejak
revolusi 1979. Milad pula yang masih lagi berada dalam military service selama
2 tahun sangat berharap dapat menghabiskannya secepat mungkin untuk mendapatkan
kerja dan keluar dari Iran untuk mengembara. Perbincangan awal lebih kepada
perbezaan jantina, kebaikan dan keburukan di antara satu sama lain.
Memandangkan kedua-dua mereka berfikiran terbuka dan fasih berbahasa Inggeris,
perbincangan diteruskan sehingga ke larut malam sehingga memaksa Pegah terpaksa
pulang terlebih dahulu. Cuaca semakin sejuk dan topik yang dibualkan lebih
mendalam mengenai tujuan hidup. Kebanyakkan golongan muda disini mahukan
kehidupan yang lebih sosial dan terbuka seperti di barat dan itulah gaya hidup
Iran sebelum revolusi 1979. Mereka mahukan kebebasan memilih agama dan cara hidup
dan bukannya seperti yang dipaksa oleh kerajaan Islam Iran. Aku menceritakan
kehidupanku di Malaysia dan apakah yang membawaku kembali ke Iran untuk kali
yang kedua. Penerangan tentang Islam Sunni dari sudut ilmu pengetahuanku yang
terbatas dan tujuan hidupku kerana Tuhanku yang Satu, Allah mengisi malam ke-3
di bumi Farsi ini. Kami akhirnya beredar setelah tidak mampu menahan kesejukan
malam sehingga hujung jari-jemari kami kebas dan berjanji untuk bertemu semula
pada esok hari.
Buah Pisang Kaki di halaman rumah Hosein
Memulakan perjalanan di stesyen Tarasht
Menuju ke Golshahr
Stesyen keretapi Golshahr
Menyeberangi jejantas di bandar Golshahr
Kafe di bahagian terbuka Sa'd al-Saltaneh
Bahagian dalam Sa'd al-Saltaneh
Kedai-kedai yang terdapat di Sa'd al-Saltaneh
Peighambarieh Shrine
Salah satu makam yang terdapat di dalam
Tingkap Orosi
Bahagian ruang utama yang sedang dibaik pulih
Bahagian bawah tanah
Hamam
Dewan sembahyang Masjid Jamek Qazvin
Gerbang masuk utama Masjid Jamek Qazvin
Antara malam-malam yang pasti dikenang bersama Pak Usop dan Milad