Ahad, 1 Januari 2017

CENTRAL/WEST IRAN - 21.0 SEE YOU IN IRAN

Alhamdulillah segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam dengan limpah kurnia dan nikmatnya kami telah selamat pergi dan pulang. Tidak lupa doa dari isteri, ibu-bapa dan sahabat handai yang tidak putus-putus mendoakan keselamatan dan kesejahteraan kami di sana. Banyak persoalan telah terjawab sepanjang pengembaraanku disana. Satu persatu perkara dirungkai perlahan-lahan. Mengenali lebih dekat bangsa Aryan ini dipermulaan Malam Yalda. Tiada sengketa yang ditimbulkan mereka tentang Sunni dan ajarannya. Solat tanpa batu karbala tidak menjadi permasaalahan di mana saja kami sujud. Malah diberikan layanan yang istimewa seperti apa yang terjadi di Kashan. Mereka sangat terkejut dengan pandangan orang luar terhadap mereka sebagai pengganas yang membawa aliran Syiah. Mungkin propaganda media massa kini telah banyak mempengaruhi minda separuh sedar. Gembiranya mereka mengetahui sahabat seagama datang melawat, bertanya khabar, berkongsi cerita dan kembali memberi harapan tentang kehidupan yang seterusnya. Mungkin itulah sebahagian daripada perjalanan kehidupan ‘keep inspiring and be inspired’. Landskap dan persekitarannya yang sentiasa cantik di mata memandang. Dari padang pasir yang kering kontang, pergunungan tinggi yang membeku dan air sungai yang mengalir dari ais yang mencair. Kebab, ghorme sabze dan chai akan sentiasa mengalas perut yang lapar. Hitch hiking yang tidak pernah terlintas di minda telah menjadi suatu kebiasaan dalam pengembaraan ini. Dan semuanya tidak mustahil jika kita terus percaya Allah adalah segalanya dan Nabi Muhammad adalah pesuruhNya. Sekian sahaja perkongsian untuk kali ini, yang baik datang daripadaNya dan yang buruk dari kelemahan diri ini. Semoga bertemu lagi di pengembaraan yang akan datang.





0 ulasan:

Catat Ulasan