Khamis, 5 Januari 2017

CENTRAL/WEST IRAN - 12.0 PERJALANAN YANG PANJANG

Semasa kami bersiap-siap dan bersarapan pagi, Peyman memainkan serulingnya yang bernilai 300 USD didepanku. Sangat merdu alunan melodinya. Katanya ini adalah semangat hidupnya dan dia bermain bukan kerana duit atau apa-apa, hanya untuk mengisi kekosongan ruang jiwanya. Kemudian kami mengucapkan selamat tinggal dan berterima kasih kepadanya kerana telah menyelamatkan kami di saat-saat akhir. Dia juga tidak menyangka dapat berjumpa Muslim yang baik seperti kami. Kami menuju ke Zendan Crossroad dan menaiki bas ke arah barat bandar, Mahdieh. Bertukar-tukar bas juga hendak ke Mahdieh dengan menahan bas yang menghala ke arah barat. Dan akhirnya berjalan kaki ke tempat menahan kenderaan. Perancangan hari ini ialah untuk hitch-hike sampai ke Ahvaz yang sejauh 530km atau mana-mana bandar sebelumnya. Walaupun terdapat bas antara bandar namun kami memilih cara ini untuk pengembaraan yang lebih mencabar dan teruja. Kami menunggu berhampiran kedai kecil sambil memegang kertas tertulis Nourabad/نورآباد. Banyak pemandu memberikan isyarat kebelakang. Mungkin cuba menyatakan yang stesen bas tidak jauh dari situ. Namun tidak kami endahkan. Kami didatangi pemuda dan mula bertanya kami berbagai soalan. Rupa-rupanya beliau pernah belajar di Cyberjaya dan Yazid melayannya sementara aku memegang kertas A4. Beberapa kereta berhenti namun tiada yang setuju menumpangkan kami. Setelah hampir sejam, sebuah kereta membenarkan kami masuk tetapi beliau asyik meminta duit. Aku hanya membuat tidak faham dan membiarkan dia terus memandu. Setelah hampir sejam di jalanan, dia kembali bertanyakan tentang duit dan akhirnya menurunkan kami di Dasht Arjan. Redha dengan apa yang telah terjadi kami mengambil kesempatan untuk solat di masjid berhampiran. Kami menahan kenderaan yang seterusnya dan rezeki kami murah kerana tidak perlu menunggu lama. Namun perjalanan kami hanya sebaik 15 minit dan diberhentikan di persimpangan ke Kazerun. Perjuangan diteruskan untuk ke Nourabad dan akhirnya sebuah kenderaan berhenti dan menumpangkan kami bersama 2 orang lagi penumpang. Aku mengingati iras muka pemandu ini yang telah berhenti semasa kami di Shiraz tadi. Tak henti-henti aku bersyukur kepada Allah yang sentiasa menolong hambanya yang sedang bermusafir ini. Walaupun keaadan agak sempit di dalam kereta ini namun kami hadapinya jua. Disepanjang perjalanan dapat kulihat padang pasir dan gunung-ganang yang tidak pernah putus memenuhi pandanganku.

Setelah hampir 3 jam di dalam kereta akhirnya kami sampai di Gachsaran/گچساران dan berhenti berhampiran stesen teksi. Kami mengucapkan terima kasih sebelum berlalu pergi dan berhenti di sebuah kedai makanan segera yang tidak jauh dari situ. Kami makan Falafel sekadar mengalas perut. Badan sudah mula keletihan. Oleh kerana tempat kami sangat berhampiran dengan stesen teksi maka banyaklah teksi yang berhenti untuk mengambil kami secara berbayar. Tetapi kami menolaknya dengan cara yang baik dan terus berusaha. Akhirnya sebuah bas berhenti dan kami tanpa membuang masa terus naik dengan membayar 50K Rial untuk ke Behbahan/بهبهان yang sejauh 70km dari situ. Aku hanya tidur di sepanjang perjalanan disebabkan keletihan. Sekali lagi kami diberhentikan di stesen teksi dan terus mengambil ‘shared taxi’ ke Ahvaz memandangkan jam telah menunjukkan 530pm. Seorang penumpang kurang upaya duduk dihadapan dan seorang pemuda bersama kami dibelakang. Dan sekali lagi kami terhimpit di tempat duduk belakang, ini lah antara dugaan yang perlu dihadapi sepanjang pengembaraan ini. Kami dapat melihat banyak kilang penapisan minyak dan gas sebaik sahaja memasuki wilayah Khuzestan/خوزستان ini. Wilayah ini adalah sumber utama ekonomi Iran dimana hampir 80% hasil minyak dan gas keluar dari wilayah dan Teluk Parsi. Ia juga menjadi salah satu faktor mengapa kawasan sempadan disini menjadi medan pertempuran dan perebutan semasa peperangan Iran-Iraq sekitar tahun 1980an. Di dalam teksi kami tidak banyak berkomunikasi kerana batasan bahasa dan kepenatan. Teksi berhenti sesekali untuk mengisi minyak dan ke tandas. Alhamdulillah hampir 10jam di jalan raya kami akhirnya tiba di bandar Ahvaz. Pemandu teksi memberhentikan kami di tengah-tengah bandar yang berdekatan sebuah hotel 3 bintang di kawasan Naderi. Kami terus berjalan tanpa hala tuju dan hanya berhasrat ingin mencari hostel murah. Kami menuju ke Iran Hotel yang tidak jauh dari situ untuk meminta bantuan dan cuba berkomunikasi dengan penjaga kaunter. Seperti kebiasaannya, beliau tidak fasih berbahasa English dan meminta bantuan dari orang sekitar untuk membantu kami. Tiba-tiba 3 orang pemuda menghampiri kami dan mula bertutur dalam English dan membantu kami mencari hostel murah. Hanya 200 meter dari situ terdapat hostel yang berharga 750K Rial semalam dan kami terus mendaftar masuk kesitu. Biliknya agak luas dan mampu menampung 3 katil bujang tetapi tandasnya di luar. Kemudian kami makan malam bersama Sadra dan seorang rakannya yang telah membantu kami sebentar tadi. Mereka ialah pekerja kepada NIOC iaitu syarikat nasional minyak Iran. Walaupun nasi yang dihidangkan seakan-akan basi namun aku berjaya menghabiskan hampir kesemuanya disebabkan kelaparan yang amat sangat. Perbualan kami tidak berpanjangan kerana mereka perlu kerja pada keesokkan harinya. Setelah itu kami terus pulang ke hostel untuk merehatkan diri.







0 ulasan:

Catat Ulasan