CENTRAL/WEST IRAN - 20.0 KHODA PEDARETO BEYAMORZE
Hari ini rancangannya hanyalah untuk mencari Falodeh/Bastani dan membeli sedikit makanan untuk dibawa pulang ke Malaysia. Kami keluar dari rumah agak lambat dan berjalan menuju ke kawasan Metro Touhid yang sejauh 3km. Kami sedikit hampa kerana kedai aiskrim tersebut tidak mempunyai stok Falodeh. Terima kasih kepada Ali yang sanggup membantu menterjemahkannya menerusi telefon. Tunjuk arah yang baru diberikan untuk ke cawangan kedai yang seterusnya kira-kira 2km dari situ. Keadaan trafik yang sememangnya sibuk di Tehran ini mengingatkan aku tentang kesesakan di Kuala Lumpur. Akhirnya kami sampai ke tempat yang dituju dan memesan Falodeh. Ia adalah ais krim/gelato yang bercampur dengan saffron. Rasanya yang sangat manis dan berlemak membuatkan aku terus dahaga. Harganya adalah sekitar 50K Rial. Setelah selesai makan, kami terus menghala pulang ke rumah. Semasa dalam perjalanan, kami sempat singgah di kedai runcit untuk membeli mee segera, telur dan sedikit sayur-sayuran sebagai persiapan untuk makan tengah hari nanti. Ia adalah salah satu cara membalas layanan baik Ali dan Azita kepada kami walaupun sudah ada cenderemata dari Malaysia untuk mereka. Yazid dan aku memasak dengan cara yang sama seperti di rumah Peyman di Shiraz. Ternyata mereka suka akan masakan kami yang sangat ringkas. Azita juga ada mencatit bahan-bahan yang digunakan serta cara memasaknya. Kata Azita, mereka hanya akan memasak mee itu dengan rencahnya tanpa campur apa-apa bahan. Ali keluar ke bandar untuk berjumpa bakal penaja pengembaraan mereka manakala Azita sibuk membaca hasil carian internet tentang negara yang bakal mereka lawati nanti. Kami pula hanya berehat sambil bercerita semula tentang pengalaman kami beberapa hari yang lepas. Sekitar 5pm kami keluar membeli makanan/cenderahati. Setelah berlegar-legar di kedai runcit sekitar akhirnya kami hanya membeli di satu kedai. Antara yang dibeli adalah barberry kering, walnut, gula kristal, jem buah-buahan dan coklat. Berat juga barang-barang yang telah dibeli sehinggakan aku mula berkira-kira untuk meninggalkan sebahagiannya jika bagasi terkandas disebabkan lebihan muatan. Setibanya di rumah kami terus mengemas pakaian dan barang untuk kali terakhir sebelum berangkat ke lapangan terbang. Ali masih lagi tidak pulang ke rumah sejak siang hari tadi. Muka Azita sedikit cemas dengan tangannya sentiasa memerhatikan telefon bimbitnya. Hatiku mula mengesyaki sesuatu. Ali akhirnya pulang sekitar 8pm dan Azita terus memeluknya sambil menangis. ‘Drama apa pula di saat-saat akhir ni?’ getus hati kecilku. Perlahan-lahan Ali duduk di sofa dan kelihatan baju dan seluarnya koyak di bahagian siku dan lutut dengan batang hidungnya berdarah. Ali telah terlibat dengan kemalangan jalan raya sebentar tadi. Alhamdulillah tiada kecederaan yang serius. Risau kami dibuatnya. Setelah keadaan reda aku mula memesan Snapp untuk ke lapangan terbang (KIA). Walaupun berat hati, kami terpaksa meninggalkan Ali dan Azita. Untuk kali terakhirnya aku mengucapkan terima kasih dan menjemput mereka untuk datang ke Malaysia jika mereka berkelapangan. Perjalanan ke KIA berjalan lancar dan sampai dalam masa 1 jam. Aku membayar 350K Rial kepada pakcik yang sepanjang perjalanan banyak bercerita mengenai pengembaraannya ke Kuala Lumpur dan Turki. Sebelum mendaftar masuk aku terjumpa keluarga rakyat Malaysia yang bersama-samaku membuat visa di kedutaan Iran tempoh hari. Kami makan sedikit roti untuk mengalas perut di kedai serbaneka di bahagian luar balai berlepas. Daftar masuk dan pemeriksaan imigrasi semua berjalan lancar walaupun Yazid mengalami sedikit kesukaran di imigrasi disebabkan namanya. Kami menunggu sebentar sebelum tiba waktu perlepasan. Dan sebelum berlepas aku menghantar mesej penghargaan dan terima kasih kepada semua host yang telah banyak membantu dan memberi layanan yang terbaik sepanjang keberadaan aku di sini. Semoga Allah mengurniakan rahmat kebahagian di dunia dan akhirat serta rezeki yang melimpah ruah kepada mereka dan keluarga mereka. Khoda pedareto beyamorze!
0 ulasan:
Catat Ulasan