Selasa, 3 Januari 2017

CENTRAL/WEST IRAN - 14.0 ARABS

Paginya aku bangun awal kerana perlu bersiap-siap untuk ke bertolak ke Shush. Mustafa menghantar kami ke perhentian teksi sambil menunggu sahabatnya, Mostafa. Selepas seketika Mostafa pun sampai dan membawa kami ke Shush/ شوش yang jaraknya 120km ke utara Ahvaz. Aku memeluk Mustafa dan berterima kasih di atas segalanya. Mostafa ialah seorang ahli farmasi yang mempunyai farmasi di Shush tetapi menetap di Ahvaz. Kereta Peugeotnya memecut laju disepanjang perjalanan. Walaupun beliau tidak fasih berbahasa English namun beliau cuba untuk berkomunikasi dengan kami. Farmasinya di Shush itu adalah kepunyaan datuknya dan diperturunkan kepada bapanya sebelum diserahkan kepadanya. Boleh dikatakan beliau ialah seorang yang kaya raya kerana pernah melancong ke Dubai, Turki, Thailand, Armenia dan Georgia. Dipertengahan jalan beliau berhenti di ladang lobak merah untuk kami semua bergambar. Selepas hampir 2 jam kami pun sampai di farmasinya yang hanya 100m ke Makam Nabi Daniel. Disana kami berkesempatan untuk bersarapan pagi. Setelah itu kami ke Makam Nabi Daniel AS yang dipercayai dalam tiga agama iaitu Islam, Yahudi dan Kristian. Nabi Daniel adalah keturunan Nabi Daud AS. Terdapat juga beberapa tempat lain yang dipercayai mempunyai makam yang Nabi Daniel iaitu di Uzbekistan, Iraq dan Mesir. Kubah makam ini berbentuk kon dengan susunan bata yang menandakan makam seseorang yang beragama Yahudi. Kami kemudian ditinggalkan oleh Mostafa di hadapan Museum of Shush kerana mereka menuju Shushtar Historical Hydraulic System yang dibina sejak zaman kerajaan Sasanid yang sejauh 80km dari sini. Kawan Mostafa akan mengikuti mereka ke sana dan kami terpaksa turun kerana tempat duduk keretanya yang terhad. Aku sudah menghubungi Sadegh host kami di sini awal pagi tadi namun masih tidak berjawab. Kami mengambil peluang ini untuk menerokai Darius Palace dan Shush Castle yang tidak jauh dari situ. Shush atau nama Parsi kunonya, Susa ialah bandar purba yang telah didiami sejak zaman kerajaan Elamite iaitu 4000 tahun SM. Dan telah menjadi ibu negara pemerintahan kerajaan Achaemenid sekitar 675-330 tahun SM. Dan disinilah terletaknya Istana Musim Sejuk yang dibina oleh Darius I yang akhirnya dimusnahkan tentera Rom yang diketuai oleh Alexander the Great sekitar 330 tahun SM. Mereka telah merampas bertan-tan emas dan perak keluar dari sini. Dari segi fizikal kompleks ini, tidak banyak yang dapat dilihat kerana telah banyak musnah oleh pembangunan bandar dan juga semasa perang Iran-Iraq. Banyak hasil-hasil arkeologi disini telah dipamerkan di Louvre Museum, Paris setelah dibawa kesana oleh ahli arkeologi.

Kami seterusnya ke Shush Castle yang hanya terletak disebelah Darius Palace. Ia telah dibina oleh ahli arkeologi Perancis sekitar tahun 1890an untuk dijadikan tempat penyimpanan dan pemeriksaan hasil-hasil arkeologi disini. Namun sekarang ia dijadikan museum yang mempamerkan peralatan penggalian arkeologi dan kenderaan yang digunakan pada masa tersebut. Penjaga pintu masuk mencari kami di sini kerana kami masih tidak membayar caj masuk sebanyak 200K Rial. Kami kemudian membayarnya dan menunggu Sadegh yang akan tiba tidak lama lagi. Akhirnya Sadegh tiba dengan anak lelakinya dan kami pulang ke rumahnya. Sadegh yang berbangsa Arab sudah berkahwin dan mempunyai 2 orang cahaya mata. Beliau bekerja dengan NIGC iaitu syarikat nasional gas Iran dan isterinya sebagai seorang doktor. Sadegh adalah antara host kami yang dari golongan yang berada dengan memiliki kenderaan SUV dan menetap di rumah teres. Kami disajikan makan tengah hari yang lazat iaitu gulai ayam beserta nasi dan ulam-ulaman. Kami berehat sebentar sambil berbicara mengenai perbezaan Sunni dan Syiah. Menurut Sadegh perbezaan ini adalah rancangan musuh-musuh Islam yang mengada-adakan sejarah dan makam-makam sejak 200 tahun kebelakangan ini. Hujahnya, sebelum era ini nama orang Iran tidak dinamakan sempena pemimpin-pemimpin Syiah mereka seperti Jaafar, Reza, Hasan, Husin, Ali dan Mahdi. Tidak lama kemudian adik iparnya, Sadigh sampai ke rumahnya. Beliau ialah seorang pelajar universiti yang sedang berusaha untukmengambil kursus kedoktoran. Kedua-duanya menyertai Couchsurfing kerana mengetahui akan dunia luar dan memperbaiki penguasaan bahasa English mereka. Kami kemudian bergerak ke bandar Dezful/ دزفول yang sejauh 40km untuk bersiar-siar. Di pertengahan perjalanan kami berhenti di makam Muhamad bin Jaafar Tayyar seorang alim yang beragama Kristian. Kubahnya berbentuk kon namun tidak mempunyai corak susunan batu-bata. Apa yang terkenal di Dezful ialah jambatan lamanya yang dibina merentas Sungai Dez untuk melindungi bandar tersebut dari serangan musuh. Kami juga ke bazaar untuk membeli sedikit halwa iaitu manis-manisan sebagai pencuci mulut sebelum pulang ke rumah. Sadegh menghamparkan tilam untuk kami di bilik tidur anak-anaknya.








0 ulasan:

Catat Ulasan