Rabu, 4 Januari 2017

CENTRAL/WEST IRAN - 13.0 LENCONGAN

Aku memeriksa mesej di WhatsApp dan mendapati permintaanku untuk surfing di Ahvaz diterima Mustafa. Alhamdulillah, bolehlah kami mendaftar keluar dari hostel ni hari ini. Suhu disini sedikit tinggi sekitar 10deg celcius kerana bahagian barat lebih panas dan berkelembapan tinggi berbanding bandar-bandar lain yg kami lawati. Kami mengambil peluang untuk bersiar-siar di sekitar bazaar dan pasar pagi tidak jauh dari hostel kami yang banyak menjual ikan sungai dan laut serta buah-buahan. Ikan disini agak murah kerana berhampiran dengan Teluk Parsi dan terdapat banyak sungai berbanding kawasan lain yang kering. Di wilayah Khuzestan, kebanyakkan warga tempatan berbangsa Arab dan ini dapat dilihat dari iras muka dan cara berpakaian mereka yang agak berbeza. Setelah puas berjalan kami pulang ke hostel dan menunggu Mustafa di Shariati Street. Mustafa kemudian mengambil kami dan ditemani 2 orang CSer dari Taiwan untuk pulang ke rumahnya di Goldasteh Street. Flatnya berada di tingkat 2 dengan keretanya disimpan di tingkat bawah. Mustafa sudah berkahwin dengan Sara yang menetap bersamanya. Dan mereka adalah pasangan berbangsa Arab yang sudah berhenti kerja dan sedang memperbaiki bahasa English mereka dan disamping itu berusaha untuk berpindah ke luar negara untuk kehidupan yang lebih baik. Beliau ialah seorang pensyarah di university tempatan manakala isterinya berkerja sebagai pegawai di dalam pentadbiran kerajaan. Sebenarnya Ahvaz tidak pernah berada dalam perancangan pengembaraan namun aku mengambil keputusan untuk bermalam disini memandangkan terdapat host yang menerima permintaanku. Apa yang menarik mengenai pasangan ini ialah mereka ialah free thinker, golongan yang tidak mempercayai agama. Emak Sara yang tinggal di flat yang sama datang membantu Sara memasak untuk makan tengah hari.. Dan makanan tengah hari kami ialah Khorme Sabze, yogurt dan ulam-ulaman. Ternyata masakan Sara dan emaknya memang sedap dan boleh aku katakana Khorme Sabze yang tersedap pernah ku rasa di Iran yang menyebabkan aku berkali-kali tambah.

Sepanjang hari aku dan Yazid duduk di rumahnya mendengar hujah-hujah Mustafa dan ideologinya. Kadang-kadang mahu sahaja aku menumbuk mukanya dengan kenyataannya yang menghina Quran sehingga menyebabkan telingaku berasa panas tidak tahan mendengar penjelasannya itu. Namun bukan itu jalan penyelesaian yang terbaik, bahkan lebih menurut nafsu amarah yang sedang membuak-buak. Aku pernah berbicara dengan seorang free thinker yang asal agamanya Kristian namun ini kali pertama berdepan seseorang yang berasal sama dari agamaku sendiri. Beliau pernah mengkaji Quran selama setahun dalam mencari jawapan disebalik kajiannya itu namun gagal. Dia juga pernah disiasat dan ditahan kementerian pelajaran kerana cuba menerapkan unsur-unsur sekularisma dalam syarahan beliau. Kebanyakan hujahnya tidak mampu ku jawab kerana ilimu agamaku yang tidak sehebat para alim ulamak dan ada sesetengah soalannya aku biarkan tidak terjawab kerana ianya terlalu subjektif dan ianya akan kembali kepada persoalan yang sama dan berakhir dengan tiada kesudahan. Aku hanya banyak tersenyum dan sesekali menyampuk untuk mengekalkan keharmonian di situ. 2 orang CSer Taiwan hanya duduk di dalam bilik memandangkan topik yang kami bincangkan tidak menarik bagi mereka. Walaupun begitu mereka membenarkan kami sembahyang di ruang tamu dan menunjukkan arah kiblat. Dalam doaku setiap hari di bumi Iran, agar setiap Muslim di Iran diberikan hidayah dan petunjuk ke jalan yang diredhai Allah serta kesejahteraan dunia dan akhirat dan Mustafa sekeluarga tidak terkecuali di dalam doaku. Pada malamnya topik yang lebih ringan dan tidak sensitif dibincangkan dan disambung dengan makan malam. Alicia dan Rita darri Taiwan keluar seketika untuk mengepos poskad mereka di bandar sambil berjalan-jalan sementara kami lebih berminat untuk menyambung bicara dengan Mustafa. Beliau dan isterinya sedang berusaha untuk menyambung PhD di Canada dan berpindah ke sana. Kos sara hidup yang tinggi dan gaji yang murah antara penyebab selain daripada kerajaan yang menekankan undang-undang Islam dalam setiap aspek kehidupan mereka. Dari pemerhatianku, kebanyakan golongan muda menekankan tentang ‘human rights’ seperti yang tertulis di Silinder Cyrus disamping terdorong mengikuti ke arah negara jiran mereka Turki yang lebih bebas dalam beragama. Segelintir juga mengatakan tiada paksaan di dalam agama seperti yang tertulis di dalam surah Al-Baqarah ayat-256 “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. Ayat ini ditujukan kepada kaum kufar dalam mendatangi agama Islam dan bukannya untuk kaum muslimin yang sudah menganuti Islam, mungkin terdapat sedikit salah faham dan kekeliruan di dalam pemahaman mereka, wallahualam. Mustafa telah mengatur perjalanan kami keesokan harinya bersama kawannya yang akan ke Shush bersama Alicia dan Rita. Kami tidur di ruang tamu berlapikkan tilam nipis dan selimut selepas penat seharian meminjamkan deria dan akal ku untuk ‘mendengar’ Mustafa.







0 ulasan:

Catat Ulasan