Isnin, 9 Januari 2017

CENTRAL/WEST IRAN - 9.0 SHAH CHERAGH

Bas sampai di terminal Shiraz sekitar jam 6.30am dan persekitaran masih gelap dan sejuk. Dengan keaadan separa sedara kami keluar mengambil beg dan menuju ke tempat menunggu yang tertutup walaupun pemandu teksi mula mengerumuni kami. Aku memerlukan masa untuk berfikir dan sedar sepenuhnya sebelum mengambil teksi ke rumah Peyman. Harga teksi yang kami bayar untuk kerumahnya ialah 150K Rial walaupun agak mahal kami terus menerimanya. Sebaik sahaja sampai dirumahnya berhampiran Zendan Crossroad/ چهار راه زندانkami menekan butang tingkat 4 dan mula memperkenalkan diri melalui intercomm. Pintu pagar dibuka dan kami sangat bersyukur mempunyai host di saat-saat akhir disini. Aku mula berbual-bual seketika sebelum beliau masuk tidur kembali. Peyman ialah pelajar university yang sedang mengambil kursus arkitek di university tempatan. Rumah ini diduduki bersama abangnya, Salman. Kami berehat sambil menyiapkan diri untuk keluar sekitar jam 9am nanti. Peyman membawa kami keluar ke pusat bandar bersama keretanya dan kami berpisah di tengah bandar kerana beliau mempunyai temu janji dengan doktor gigi. Kami berjalan merentasi bazar sebelum sampai ke Shah Cheragh/شاه چراغ iaitu makam abang kepada Imam Reza dan anak kepada Musa-al Kadim. Mereka semua dibunuh semasa pemerintahan khalifah Abbasiyah. Kubah yang disini tidak berwarna emas seperti makam yang kami lawati di Tehran dan Qom. Seni binanya sama seperti makam Masoumeh yang dihiasi kaca dan cermin yang bergemerlapan cantiknya. Memandangkan waktu Zuhur sudah masuk jadi kami sembahyang di masjid bersebelahan makam. Kebanyakan masjid hanya dibuka kepada umum untuk solat hanya pada waktu Subuh, Zuhur dan Maghrib. Dan akan ditutup apabila semua jemaah selesai solat dan kuliah. Tapi untuk masjid berada bersama dengan makam ia akan sentiasa terbuka selagi makam tidak tutup. Seterusnya kami menuju ke bazaar sekadar mengambil angin dan memerhati tingkah laku orang tempatan.

Setelah merasa agak keletihan aku mencadangkan supaya menaiki bas dan bersiar-siar. Kami menaiki bas No. 194 dan bergerak sehingga ke penghujung perhentian. Sampai tertidur kami dibuatnya, mungkin kerana keletihan tidak cukup tidur semalam. Kemudian kami menaiki bas yang sama untuk menyambung tidur sebanyak 2 kali! Setelah hampir sejam tidur di dalam bas kami pulang ke rumah Peyman dan singgah makan nasi kebab di kedai berdekatan. Di rumah, Peyman dan Salman hanya menjamah roti nan bersama telur. Beliau juga meminta kami masak sesuatu yang istimewa dari Malaysia. Dan kami memikirkan untuk memasak mee segera Iran sebagai hidangan inspirasi dari host Esfahan, Reza. Kami memberitahunya yang kami akan masakkan mee untuknya sebelum kami berangkat dari Shiraz. Kebanyakan masa diluangkan bersamanya bercerita mengenai Malaysia dan budaya kami. Tentang pandangan negatif kebanyakan orang Malaysia terhadap Iran yang bermazhab Shiah. Hal-hal mengenai pemimpin Iran dan Malaysia, disambung pula dengan ekonomi, hiburan dan kehidupan seharian. Sememangnya Iran tidak suka akan bangsa Arab kerana mereka pernah dijajah di era pemerintahan Sasanid sekitar abad ke-6 yang menyaksikan Islam mula tersebar ke seluruh Parsi dan hampir keseluruhan para penganut Majusi memeluk Islam. Beliau juga banyak bertanya akan pengalaman Couchsurfing dan pengembaraan kami yang lepas. Puas juga melayan Peyman ni sambil makan buah delima yang masam-masam manis. Kami memberitahu rancangan kami untuk melawat Qashqai Nomads pada keesokan hari dan bermalam disana. Tempat tidur dirumahnya agak selesa kerana mempunyai katil dan tilam nipis disertakan selimut yang tebal untuk memanaskan badan.







0 ulasan:

Catat Ulasan