Nima mengajak kami untuk bersarapan pagi bersama. Untuk tidak menolak rezeki kami menerima pelawaan beliau. Dengan menaiki keretanya kami menuju ke pusat bandar sekitar 7km dan masuk ke sebuah kedai di kawasan bazaar. Makanan yang berupa bubur kacang dihidangkan bersama roti nan. Rasanya seakan-akan capati dicicah bersama dhal tetapi lebih terasa herbanya. Beliau meninggalkan kami untuk pergi ke kelas dan kami memulakan langkah untuk meneroka keindahan bandar Yazd. Destinasi pertama kami ialah Bazaar Tembaga/بازار مسگری yang menjual dan membaiki barang-barangan tembaga dan logam. Disini dapat dilihat tukang besi menempa tembaga sehingga menjadi produk. Kami juga dijemput oleh seorang pakcik yang sedang menyadur perak ke atas dulang sambil menikmati teh yang dihidangkannya. Kemudian ke Masjid Jame’ Yazd yang berseni bina yang sama iaitu ‘iwan architecture’. Perjalanan diteruskan ke Hamame Khan/حمام خان dan Alexander Prison/زندان اسکندر . Hamame Khan ialah tempat mandi raja yang dimana sebuah kolam kecil di dalam sebuah bangunan pada zaman dahulu telah diubahsuai menjadi kedai kopi untuk memenuhi lawatan para pelancong. Kami tidak berhenti lama disitu dan meneruskan ke Alexander Prison. Ia ialah sekolah agama sejak abad ke-15 dan namanya diambil diatas rujukan dari syair Hafez. Sebelahnya ialah Makam 12 Imam Syiah dari abad ke-11 yang hanya menempatkan nama-nama Imam dan sedikit maklumat mengenai mereka. Perjalanan di antara kesemua tempat yang dilawati adalah agak jauh dan kami mencari tempat untuk berehat dan menuju ke Art House/خانه هنر. Disini kami dapat meninjau keseluruhan bandar Yazd dari atas bumbung bangunan. Aku baring sebentar di kerusi sambil menikmati Dough iaitu minuman yogurt yang rasanya masam dan masin yang ditabur daun mint di atasnya. Setelah sejam berehat, perjalanan diteruskan untuk ke Amir Chakghmagh/میدان امیرچخماق
Namun kami telah tersesat hampir sejam setelah mengambil jalan pintas melalui rumah-rumah kampung. Sememangnya pemandangan dan senibina disini seakan-akan peta permainan Counter-Strike De_Dust. Jalan yang kecil diantara kedua-dua dinding yang berwarna coklat kekuningan. Semuanya seakan sama yang menambahkan lagi kekeliruan. Akhirnya aku memilih untuk keluar dari kampung dan menuju ke jalan besar sebelum menghala semula ke destinasi asal kami.
Perut yang lapar membuatkan perjalanan semakin perlahan namun tidak pula kelihatan satu restoran pun disepanjang perjalanan. Setelah sampai kami terus mencari restoran berhampiran Amir Chakgmagh. Akhirnya kami menemui deretan restoran dan terus masuk ke salah satu kedai dan memesan nasi dan kebab. Alhamdulillah rasa nikmat sangat setelah hampir 2 hari tidak dapat menjamah nasi. Waktu sudah menghampiri waktu Maghrib dan kami terus masuk ke masjid bersebelahan kompleks. Di kebanyakan masjid, para jemaah dikehendaki memasukkan kasut/selipar di dalam plastik/beg yang disediakan dan membawanya bersama atau diletakkan di kaunter kasut jika ianya diesdiakan. Setelah selesai solat kami ke Gymnaseum Amir Chakghmagh/ زورخانه سرمیدان میرچخماق yang terletak dikawasan kompleks. Tujuan kesini adalah untuk menyaksikan Zurkhaneh iaitu sukan tradisional Parsi dengan mengangkat kayu dan besi yang berat dengan diiringi lagu-lagu yang menaikkan semangat bertemakan ketuhanan. Bayaran sebanyak 200K Rial dikenakan untuk pertunjukkan selama sejam. Setelah itu, kami pulang ke rumah Nima dengan menaiki teksi yang bayarannya sekitar 70K Rial. Nima masih belum sampai ketika kami tiba dirumahnya dan mengambil peluang untuk mandi kerana kali terakhir aku mandi adalah 3 hari lepas di Esfahan. Suhu persekitaran yang sejuk dan kering membuatkan aku jarang berpeluh dan badan tidak berbau busuk. Dari segi kebersihan pula, aku akan membasuh pakaian 2-3 hari sekali dan ianya cepat kering kerana faktor cuaca dan jenis kain. Masalah di rumah ini ialah pemanas airnya tidak berfungsi sejak semalam. Menggigil kesejukan aku mandi dengan air bersuhu takat beku ni! Walaupun pada awalnya agak sukar, namun setelah air membasahi keseluruhan badan ianya seperti mandi air suam. Aku sempat mengeringkan pakaian yang dibasuh di dalam bilik air tadi dengan mengeringkannya di atas pemanas ruang di depan rumah. Seterusnya bersiap menanti Nima yang katanya membeli sesuatu untuk makan malam. Beliau pulang membawa roti nan dan inti sandwich. Kami makan dengan berselera kerana inilah rezeki kami hari ini. Kami berkongsi pengalaman kami hari ini di bandar dan perancangan untuk hari esok. Walaupun Nima masih baru dalam Couchsurfing namun dia tidak kekok dalam melayani orang asing. Mungkin itulah keistimewaan orang Iran yang hospitalitinya antara yang terbaik pernah ku alami. Aku tertidur di timbunan tilam sementara Nima menyiapkan tugasan-tugasan universitinya. Sesekali para pemain futsal dibawah datang ke atas untuk mengenakan caj kad debit mereka pada mesin kad yang berada di pintu masuk bilik. Hampir tengah malam barulah Nima membentang tilam dan aku yang masih separa sedar membantunya sebelum kami semua masuk tidur.
Rabu, 11 Januari 2017
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan