Kami bersarapan pagi bersama Mehrdad sebelum bergerak keluar ke bandar. Mehrdad mengalu-alukan kami untuk bermalam lagi di rumahnya, namun terpaksa menolaknya dengan baik. Emak Mehrdad menyatakan perasaan gembiranya kerana kami menggunakan sejadah yang terletak dibilik tetamu untuk kami solat. Kami juga berterima kasih atas juadah makanan yang disediakannya dan untuk segala-galanya. Aku mengucapkan selamat tinggal dan mengajaknya untuk ke Malaysia bersama ibunya. Tidak lama kemudian teksi yang dipanggil Mehrdad pun sampai dan terus menuju ke Makam Ibn Sina/Avicenna Mausoleum yang terletak di Avicenna Square. Bayaran masuk sebanyak 250K Rial dikenakan untuk pelancong asing. Cuaca yang sangat sejuk yang suhunya dibawah paras beku menyaksikan kolam dihadapan kompleks ini membeku. Disini terdapat museum mini dan makam Ibnu Sina (980-1037), seorang ilmuwan/doktor yang terkenal dengan karyanya The Book of Healing dan The Canon of Medicine atau Al-Qanun fi At Tibb. Terdapat judul-judul karya beliau yang telah dterjemahkan kepada bahasa lain untuk digunakan sebagai panduan pembelajaran kedoktoran sehingga zaman sekarang. Dipamerkan juga tembikar-tembikar kecil untuk menyimpan ubat-ubatan dan peralatan yang digunakan di hospital pada zaman tersebut. Alatan berbekam yang asal juga dipamerkan disini. Seorang lelaki tempatan telah memberikan kami sedikit sebanyak penerangan tentang Ibnu Sina dan juga menghadiahkan cenderahati untuk dibawa pulang. Sememangnya orang Hamedan memang baik hati dan mudah beramah-mesra. Perjalanan diteruskan ke Qorban Tower yang sejauh 1km ke timur. Setelah sampai kami agak kecewa kerana pintu pagarnya tutup. Di sini terletaknya Makam Sheikh Al-Hassan ibn Attar dan pemerintah Seljuk. Menara ini telah dibina sejak kurun ke-8 lagi.
Kami terus berjalan ke utara untuk ke pusat bandar yang terletak di Imam Khomeini Square. Memandangkan hari ini ialah hari minggu, Jumaat maka ramai penduduk tempatan keluar bersiar-siar dan membeli belah. Dari sini kelihatan jelas pergunungan Alvand yang mengelilingi bandar Hamedan. Kami ke masjid berdekatan untuk solat terlebih dahulu sebelum mengisi perut yang lapar. Makanan tengah hari kami ialah kebab yang berharga 150K Rial dengan saiznya agak besar. Matlamat seterusnya ialah Makam Esther dan Mordechai yang hanya 300m dari situ. Kisah permaisuri Esther dan pakciknya Mortdecai banyak di tulis didalam kitab Ester/Taurat. Dan ia adalah antara tempat penting untung kaum Yahudi di Iran. Kami hampa sekali lagi apabila pintu pagar disini juga ditutup. Kebanyakkan tempat-tempat ziarah akan ditutup pada hari minggu/Jumaat. Jam menunjukkan pukul 130pm dan kami masih mempunyai masa lagi di Hamedan. Aku melakukan sedikit carian di internet dan bercadang untuk ke Ganjnameh/گنجنامه yang 5km jauh dari pusat bandar. Memandangkan lokasinya di kaki pergunungan Alavand, aku dapat merasakan yang kawasan sekitarnya pasti diliputi salji pada musim sekarang. Dengan tidak membuang masa, kami menahan teksi dan terus ke sana. Sepanjang perjalanan kelihatan gunung-ganang diliputi salji, dan nampaknya tekaanku benar. Apa yang menarik disini ialah inscripsi kuno di batu granit oleh Darius dan Xerxes The Great sekitar 400 tahun SM. Kami mengambil kesempatan untuk mengambil gambar sambil bermain salji. Dan inilah kali pertama untuk Yazid. Di kawasan berdekatan terdapat air terjun yang sedang membeku, Absyar. Subhanallah cantik sungguh pemandangan disini. Air terjun dan anak sungai yang hampir beku sememangnya antara pemandangan yang terindah di Hamedan. Setelah hampir sejam disini kami berangkat ke stesen bas Hamedan untuk ke Tehran. Bas VIP dengan 3 tempat duduk bertolak sekitar 430pm dengan tiket berharga sekitar 250K Rial. Sebaik sahaja duduk, pembantu bas akan mengedarkan biskut dan air sebagai alas perut untuk mengharungi perjalanan sejauh 350km ini. Aku hanya tertidur di sepanjang perjalanan dan sesekali terjaga. Kami tiba di Southern Tehran Bus Station sekitar 830pm dan pemandu teksi mula mengerumuni kami untuk menawarkan khidmat mereka. Harga yang ditawarkan sekitar 300K Rial untuk perjalanan 10km ke rumah Ali & Azita berhampiran Dampezeshki Street. Aku menolak tawaran mereka dan bercadang untuk menggunakan Snapp. Kami terus menuju ke Stesen Metro berdekatan dan mula memesan kereta melalui aplikasi Snapp. Pemandu Snapp menelefon kami dan seperti biasa masalah komunikasi menjadi penghalang. Aku memberikan telefonku kepada pemuda di kedai berhampiran untuk menolongku. Pemandu tersebut meminta kami menunggunya di tepi lebuhraya untuk memudahkan perjalanan. Sepanjang perjalanan beliau banyak memberitahu kisahnya yang bekerja di Jepun sebelum pulang ke Tehran untuk berkahwin. Kos sara hidup yang tinggi dan gaji yang murah di sini mendorong beliau ingin pulang kembali berkerja di sana yang menjanjikan kehidupan yang lebih baik. Tidak lama kemudian kami pun sampai di rumah Ali dan membayarnya 100K Rial. Ternyata kami langkah kanan kerana rakan-rakan Ali dan tetamu dari Perancis baru memulakan makan malam. Kami semua makan bersama-sama dan Ali sangat teruja mendengar kisah perjalanan kami sepanjang hampir 3 minggu di negaranya ini. Setelah semua tetamu pulang dan kami mengambil tempat di ruang tamu untuk merehatkan badan setelah penat seharian di jalanan.
Ahad, 1 Januari 2017
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan