Sabtu, 14 Januari 2017

CENTRAL/WEST IRAN - 4.0 VVIP

Paginya kami check-out, mengambil passport dan bersarapan pagi dengan roti yang kami beli semalam sebelum menyambung perjalanan kami ke Kashan. Dari hostel kami ambil teksi - 80K Rial ke Farhangian Pool dan berjalan kaki menuju ke lebuh raya. Terdapat banyak paip-paip air di taman-taman, masjid dan kawasan bandar yang membolehkan kami mengisi air minuman. Hampir di kesemua bandar utama di Iran, air paipnya selamat untuk diminum. Pandu arah perjalanan semuanya berdasarkan Google Maps dan pertanyaan kepada orang tempatan yang sangat membantu. Setelah membaca doa, usaha untuk hitch hike bermula dengan kertas kami kali ini menunjukkan ` کاشان/Kashan'. Setelah hampir 10 minit sebuah kereta berhenti dan proses yang sama berulang kembali dan pemandu itu hanya mengangguk setuju membenarkan kami masuk. Namanya Mustafa dan aku berinteraksi dengan bahasa isyarat dan sedikit Farsi. Beliau sangat terkejut kerana aku dapat membaca tulisan Farsi namun tidak dapat memahaminya. Ianya seakan-akan jawi dan Bahasa Arab yang kedua-duanya aku kuasai semenjak di bangku sekolah lagi. Berdasarkan risalah yang diberi, beliau mempunyai kebun bunga di Kashan dan sering berulang-alik dari Tehran setiap hari. Setelah hamper 1.5 jam/110km perjalanan beliau memberhentikan kereta di markazi shahr/pusat bandar berhampiran Taman Zolfagharpour. Aku memberikan wang kertas RM1 sebagai cenderahati, gembira sungguh riak wajahnya. Kami berehat sebentar dan menikmati chai di kedai berhampiran sebelum disapa pemandu teksi disitu. Kami memberitahunya untuk menunggu kami seketika sementara merancang untuk perjalanan seterusnya.

Berdasarkan maklumat dari Vahid, مصلی بقیه الله الاعظم /Musalla Baqiyahullah Al-Adzim ialah masjid yang akan mengadakan sembahyang Jumaat di Bandar Kashan. Untuk makluman di sini, tidak semua masjid mengadakan sembahyang Jumaat, hanya satu masjid sahaja yang akan mengadakannya untuk sesuatu bandar/kawasan yang digelar musalla. Kami memanggil kembali pemandu tadi dan syukur beliau dapat bertutur dalam English. Teksi memberhentikan kami di musalla yang masih dalam pembinaan. Kelihatan begitu banyak bas dengan ramai jemaah lelaki dan perempuan menuju ke musalla. Aku mula ragu-ragu adakah ini dinamakan musalla? Sedang kami berdiri mengambil gambar, seorang pakcik menyapa Yazid dan memberitahu bahawa tidak boleh mengambil gambar di sini dan kemudian menyuruh kami mengikutinya. Sebelum itu, Yazid memberitahunya yang kami bermazhab Sunni dari Malaysia dan ingin solat Jumaat disini. Setelah selesai wuduk kami mengikut pakcik itu ke bahagian tepi musalla kelihatan semua sudut bangunan masih lagi dalam pembinaan. Kemudian kami dibawa ke satu lagi pintu masuk yang dikawal askar-askar memegang AK-47. Pada ketika ini, aura-aura negatif kembali menyapa, getus hatiku "baru 4 hari travel dah kena tahan, alahaiiii". Askar mula mengeremuni kami dan pakcik tadi hanya melihat dari jauh. Dibawanya kami ke sebuah bilik dan meminta kami meletakkan beg kami. Seluruh badan diperiksa dan beg kami diselongkar. Akhirnya diminta kami menyerahkan kamera dan telefon bimbit untuk menyimpannya di dalam beg. Pakcik itu kembali dan mengiringi kami masuk ke musalla dan menuju ke lorong khas dengan dinding-dinding setinggi 2 meter sepanjang lorong dan tiba-tiba kami berada dihadapan ribuan jemaah yang hadir dan disuruhnya kami duduk betul-betul dihadapan imam yang memberikan khutbah.

Terdapat pagar yang memisahkan antara 5 saf awal dan saf yang seterusnya. Kelihatan semua yang berada di saf hadapan seperti golongan elit. Berpakaian kemas dan sut. Setelah habis khutbah, imam memulakan solat Jumaat 4 rakaat yang kemudiannya dijamak dengan Asar. Kami solat mengikut mazhab Sunni dengan mengikuti pergerakan imam tanpa sujud di atas batu karbala. Setelah selesai solat, imam terus dikerumuni jemaah yang bersalam dengannya. Kami mula bangun dan pakcik terus menarik kami menuju ke imam yang bersesak-sesak dengan jemaah lain. Terdengar pakcik itu mengatakan "Imamu! Malasie Malasie" dan terus semua jemaah memberi laluan kepada kami untuk menuju ke imam. Kami terus salam imam dengan dia hanya tersenyum sambil berkata "Malasie Sunni?" Dan kami hanya mengangguk kepala dan membalas senyuman sebelum beredar memberi laluan kepada jemaah lain. Kami menuju ke bilik tadi dan mengambil beg dan barangan yang lain. Semuanya selamat. Imam tadi diiringi sehingga ke pintu dan terus ke keretanya sambil diawasi askar-askar disekeliling. Sebelum beredar kami berterima kasih kepada pakcik dan keluar dari kawasan musalla untuk menanti teksi ke Fin Garden. Sementara menunggu teksi, kami kelu dan berbincang tentang apa yang telah terjadi pada Jumaat pertama kami di sini, sesungguhnya nikmat Allah tiada tandingan. Fin Garden lebih kurang 5 minit dari musalla, dan bayaran kemasukannya ialah 200K Rial. Ini adalah taman Shah/Raja dahulu yang mempunyai sumber mata air ditengahnya dikelilingi pokok-pokok hijau dan bunga.

Makanan tengah hari kami adalah nasi dan kebab. Harganya agak mahal 200K Rial untuk seorang. Kami berjalan keluar dari situ menuju ke lebuh raya untuk hitch hike ke Esfahan. Kertas putih kami tertulis اصفهان /Esfahan dan cuaca amat sejuk apabila angin bertiup. Jam menunjukkan hampir jam 4pm dan walaupun 30 minit menanti namun masih tiada yang berhenti dengan aliran trafik tidak sebanyak semalam. Namun tidak lama kemudian sebuah SUV berhenti dan membawa kami pergi. Kali ini terdapat 2 orang di dalam kereta dengan penumpangya bernama Ali. Katanya beliau bekerja dengan syarikat lebuh raya ini sambil menunjukkan ke arah jalan raya. Walaupun dengan komunikasi yang terbatas aku tetap cuba untuk memahaminya dan berkongsi gambar berbekalkan sedikit bahasa Farsi yang telah ku belajar. Sepanjang perjalanan kelihatan salji melitupi gunung-ganang dan padang pasir. Sesekali Ali membuka tingkap untuk membiarkan kami merasai kesejukan angin luar. Adiknya yang memandu tidak banyak bekata-kata. Perjalanan sejauh 200km mengambil masa 2 jam dengan halaju maksima sekitar 120km/j. Kereta berhenti seketika sebelum memasuki bandar kerana urusan kerja, kelihatan seperti menyain cek kepada rakan kerja. Ali memberhentikan kami di pertengahan lampu isyarat di Kaveh Boulevard dan terus mengambil teksi ke rumah Reza, CS host di Esfahan ini. Rumahnya seperti townhouse dan berada di tingkat bawah. Reza hanya mendiami tempat itu bersendirian dan hampir setiap masa rumahnya akan dilawati Couchsurfer dari seluruh pelusuk dunia. Pada waktu ketibaan kami, terdapat pasangan dari Republik Checzh dan Matthew dari Russia yang sedang belajar di USA. Kami makan malam bersama dengan hidangan roti, tomato dan ulam-ulaman. Tomato disini rasanya agak manis dan lebih sedap. Kemudian kami berkongsi cerita pengembaraan masing-masing sebelum pasangan Republik Checzh meninggalkan kami untuk ke Shiraz dengan menaiki bas. Serba sedikit mengenai Reza yang masih bekerja di syarikat perusahaan makanan. Yang sedang mengumpul pengalaman bersama Couchsurfer sebelum meninggalkan Iran. Destinasi pertamanya ialah Turkey sebelum bergerak menuju ke Negara yang lain. Beliau adalah seorang yang kelakar dan pejuang MMA. Kami adalah Couchsurfer muslim pertama yang datang ke rumahnya dan ditempatkan di dalan bilik kecil untuk memudahkan kami solat. Alas tidur kami dari karpet bilik ini hanyalah selimut.







0 ulasan:

Catat Ulasan