Selasa, 10 Januari 2017

CENTRAL/WEST IRAN - 8.0 ZARDUSHT

Tanpa bersarapan pagi kami terus ke Silence Tower/ دخمه (برج سکوت) dengan menumpang kereta Nima. Kami mengucapkan selamat tinggal dan memeluknya sebelum beliau meninggal kami disini. Entrance fees ialah 200K Rial. Kelihatan segerombolan pelancong China juga mula masuk dan kami memutuskan untuk mendaki bukit terlebih dahulu yang terdapat kuil api di atasnya untuk mengelakkan kesesakan dengan pelancong China. Kompleks ini dibina oleh para penganut agama Zoroastrian/Majusi yang minoriti di Iran dan juga sebagai tempat bersejarah. Agama ini juga pernah menjadi agama rasmi Parsi di era kerajaan Sassanid selepas pemerintahan the Archamedians. Semasa pendakian bukit, matahari memancar terik dan pergerakan semakin perlahan dan cepat letih kerana udara yang nipis. Altitud di Yazd mencecah 1200m juga salah satu faktor penyumbang. Dari atas bukit kelihatan keseluruhan bandar dan kompleks kecil dibawah. Di tengah-tengah kuil ini, api akan dinyalakan dan mereka akan memulakan ritual penyembahan mereka. Seterusnya kami memanjat ke bukit sebelah memandangkan perancangan aktiviti hari ini yang agak sedikit. Berpeluh-peluh juga naik bukit ni walaupun bertiup kuat. Mungkin kerana baju wool dan jaket yang memerangkap haba dari tubuh. Aku berhenti beberapa kali untuk mengambil nafas dan berehat seketika sebelum sampai ke puncak yang pendakiannya mengambil masa sekitar 30minit. Disini kuilnya agak besar berbanding yang sebelumnya. Sebelum keluar dari kompleks kami melihat kawasan sekitar dan mengambil teksi untuk ke Amir Chakghmagh. Kami ke sini semula untuk makan tengahari dan solat. Destinasi terakhir hari ini ialah Zardusht Fire Temple/اتشکده yang terletak 2 kilometer dari sini. Kami agak hampa kerana pintu pagar masih tertutup dan akan dibuka sejam lagi. Dengan masa yang terluang kami membincangkan tentang perancangan seterusnya ke Shiraz. Hajat dihati memang hendak meneruskan hitch hike pada keesokan pagi namun Nima mahu kami meninggalkan rumahnya pada hari ini juga. Pilihan yang tinggal ialah bas ke Shiraz yang mengambil masa 6 jam. Selalunya aku akan memberitahu host tentang ketibaan kami 1-2 hari awal, namun kali ini agak terlewat kerana perubahan jadual. Aku sangat terkejut apabila 2 potential host yang menerima aku untuk menetap di Shiraz menolak permintaanku di saat-saat akhir. Pilihan yang ada ialah bermalam di hostel yang berharga 10 USD atau menghantar last minute request di Couchsurfing Shiraz. Shiraz adalah antara stop-over yang lama untuk pengembaraan kali ini. Dan ianya lebih indah jika mempunyai host Couchsurfing.

Aku tidak membuang masa lantas terus mencari host baru untuk kami di Shiraz. Yazid seakan-akan mahu pulang awal setelah mendengar harga yang perlu dibayar jika menginap di hostel untuk 10 hari yang akan datang jika kami tidak mempunyai host. Untuk destinasi seterusnya di Shush dan Hamedan aku masih tidak mendapat host kerana di kawasan barat Iran tidak mempunyai banyak host. Aku cuma menerima pelawaan dari Mohd yang menetap di Borujerd yang 300km di utara Shush. Hampir 20 request telah dihantar dan aku hanya perlu satu sahaja untuk menerima kami. Kami mengambil teksi pulang ke rumah Nima untuk mengambil bag dan bersiap-siap ke terminal bas. Sekitar 9pm kami keluar dan mengucapkan selamat tinggal kepada pakcik dan menuju ke jalan besar. Tidak banyak teksi yang lalu lalang dikawasan ini pada waktu malam dan mujur ada yang berhenti. Sampainya kami di terminal bas terus dijemput oleh pekerja syarikat bas yang bertanya ke mana hala tujuan kami. Aku hanya menjawab ‘Shiraz 12 midnight’. Dia terus membawa kami ke kaunter tiket. Harga tiket sehala untuk VIP bas(3 seater) ialah 360K Rial untuk perjalanan sejauh 440km. Kami ke café untuk menikmati teh dan melepak seketika di lobbi sebelum ke tempat menunggu yang berada berhampiran kaunter tiket tadi. Sambil memeriksa akaun Couchsurfing, Peyman telah menerima permintaan aku untuk surf di rumahnya di Shiraz. Alhamdulillah rezeki kami. Tersengguk-sengguk juga aku tertidur sementara menunggu waktu perlepasan. Bas sampai tepat pada waktunya dan tempat duduk kami di belakang sekali. Aku terus tidur sebaik sahaja bas bergerak keluar dari terminal bas. Kami dikejutkan oleh pemandu bas sekitar 3am untuk keluar dari bas menjalani pemeriksaan oleh tentera. Kelihatan hanya kami sahaja penumpang yang berada diluar bas. Syukur tiada apa-apa yang berlaku hanya pemeriksaan passport sahaja dan kami terus menyambung tidur.






0 ulasan:

Catat Ulasan