Setelah bersarapan pagi kami dihantar ke perhentian bas untuk meneruskan perjalanan ke utara menuju ke Borujerd/بروجرد yang sejauh 320km. Bas mini yang mampu memuatkan sekitar 20 orang ini akan ke Khoramabad dan kami perlu mengambil bas mini/teksi yang lain untuk ke Borujerd. Selepas mengucapkan selamat tinggal, Sadegh dan Sadigh meninggalkan kami sambil menanti bas penuh. Tidak lama kemudian bas pun bergerak meninggalkan Shush dan memulakan pendakian apabila memasuki wilayah Lorestan melalui lebuhraya Andimeshk-Khoramabad yang juga merentasi pergunungan Zagros. Dari segi perbezaan altitud kami akan mendaki ke ketinggian 1100m. Pemandangan hanyalah berlatar belakangkan gunung-gunung batu Oshtaran. Mini bas yang kami naiki ialah dari jenis Mercedes Benz Model O309 yang mula dikeluarkan pada tahun 1970an masih gagah memberi khidmat. Setelah hampir 3 jam kami pun sampai di Khoramabad dan kami memulakan pencarian hentian bas untuk destinasi seterusnya. Yazid berkali-kali disapa oleh warga tempatan yang mengagak beliau berasal dari Afghanistan. Naik runsing juga beliau dengan teguran mereka. Dan kebanyakkan penduduk disini adalah berbangsa Lorr. Setelah membeli sedikit bekalan makanan kami menaiki teksi ke perhentian bas dan seperti sebelumnya kami terpaksa menunggu sekitar 30 minit untuk bas dipenuhi penumpang. Di sepanjang perjalanan, sesekali mataku mencuri pandang kearah seorang gadis Iran yang matanya berwarna hazel dengan tubuhnya diselimuti jubah hitam. Indahnya ciptaan Tuhan. Sekitar 2pm kami pun tiba di Borujerd dan terus mengambil teksi ke Rahnamaei Square dimana Mohd, host kami menunggu di situ. Kami berjalan kaki sekitar 300m sebelum sampai ke rumahnya. Dia menetap disitu bersama abang dan keluarganya. Mohd yang berbangsa Lorr ialah seorang pelajar dan juga pemandu pelancong. Kami hanya berehat-rehat dirumahnya sambil menahan kesejukan. Mohd tidak berapa fasih berbahasa English dan kadang-kadang agak sukar untuk memahaminya. Di biliknya terdapat banyak informasi pelancongan tentang Iran yang kebanyakannya dalam bentuk peta dan risalah yang diambilnya semasa expo. Sebelum kedatanganku ke Iran, beliau sentiasa menghubungiku dan aku sebenarnya agak curiga tentang hasratnya yang beria-ia mahu ku datang ke Borujerd. Kami hanya makan Falafel sepanjang berada di rumahnya kerana emaknya pergi melawat saudaranya untuk 1-2 hari. Pada malamnya kawan-kawan Mohd datang ke rumahnya untuk berparti dan menari. Namun tiada diantara mereka yang fasih berbahasa English. Selepas makan malam mereka memulakan parti dengan memasang lagu-lagu Parsi dan Turki. Kemudian seorang demi seorang bangun dan mula menari. Tarian Mohd tidak mengecewakan kerana beliau ialah seorang penari yang baik! Kami juga dipaksa untuk menari bersama mereka dengan lenggok yang keras. Antara tarian yang dipersembahkan ialah tarian tradisional Lorr. Ia adalah salah satu pengalaman yang unik sepanjang berada di Iran. Walaupun mata semakin berat, kami terpaksa menahannya sehingga semua rakannya pulang sekitar 3am dan kami pun tidur ruang tamu bersama Mohd dan seorang rakannya.
Ahad, 1 Januari 2017
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan