Ahad, 1 Januari 2017

CENTRAL/WEST IRAN - 17.0 OLDEST CITY

Setelah bersiap-siap kami keluar bersama Mohd dan Sajath ke Choqa Hill yang berhampiran Zagros Hotel sekadar untuk mengambil gambar dan bersiar-siar. Dari sini kami dapat melihat keseluruhan bandar Borujerd yang dikelilingi oleh pergunungan Zagros. Kami singgah di Choqa Park sebelum menuruni bukit ke Masjid Jame Borujerd. Masjid ini adalah yang tertua di kawasan barat Iran dan dibina di atas kuil api kaum Majusi sejak pemerintahan kerajaan Sasanid. Di sini kami berkesempatan masuk ke ruang solat musim sejuk yang mempunyai 2 mimbar yang sebelah menyebelah untuk mazhab Sunni dan Syiah. Sempat juga kami mencuba untuk berkomunikasi menerusi di antara tiang-tiang di situ. Seterusnya kami ke kuil api yang terletak di bawah tanah masjid utama. Mujur Mohd menunjukkan tempat masuknya yang agak tersembunyi. Beliau sebenarnya mahu kami tinggal lebih lama disini, namun masa tidak menyebelahi kami. Aku berterima kasih kepadanya kerana menjemput kami ke bandarnya yang tidak terdapat dalam perancangan pengembaraan kali ini. Walaupun berat hati, kami terpaksa meneruskan perjalanan ke perhentian teksi untuk ke Hamedan/همذان yang sejauh 140km ke utara. Kami menunggu penumpang lain sampai untuk memenuhkan 2 lagi tempat duduk kosong. Sempat juga kami solat di surau di perhentian itu. Sekitar 2pm kami bergerak menuju Hamedan yang beraltitud 1850m dari aras laut. Setelah 2 jam merentasi bandar Malayer dan pergunungan Alvand kami pun sampai ke pusat bandar Hamedan. Bandar tertua di Iran dan antara yang tertua di dunia. Ia telah didiami oleh Assyrian iaitu kerajaan Mesopotamia seawal 1100 tahun SM. Bandar ini dikelilingi pergunungan Alvand dengan suhu dibawah paras beku pada musim sejuk. Kami terus menuju ke Juraqan untuk ke rumah host, Mehrdad yang sejauh 10km dari pusat bandar. Di Hamedan aku menerima banyak pelawaan dari host namun terpaksa menolaknya kerana kesuntukan masa. Rumahnya terletak agak ke dalam dan aku tidak mampu untuk menghafal jalannya. Pada kebiasaannya kami akan cuba untuk menghafal jalan keluar dan masuk dari rumah host untuk kemudahan pengangkutan dan pandu arah. Mehrdad keluar dari flatnya menanti kami dan naik ke tingkat 3. Beliau berbangsa Turks bekerja sebagai kontraktor hiasan dalam bangunan. Dan rumah beliau sendiri memang cantik terhias. Kami bersembang seketika walaupun beliau tidak berapa fasih English. Tidak lama kemudian emaknya yang tinggal di flat yang sama datang memasakkan kami nasi goreng. Habis licin kami makan kerana kami tidak sempat untuk makan tengah hari di Borujerd tadi. Emaknya sangat mengalu-alukan kedatangan kami seorang Muslim Sunni ke sini. Kata Mehrdad emaknya ialah seorang perempuan yang kuat agama. Pada malamnya aku banyak memperkenalkan Malaysia kepada Mehrdad yang suka melihat hutan yang menghijau dan air laut yang membiru. Aku mencadangkannya untuk ke Pulau Perhentian, Hutan Belum dan Taman Negara Pahang. Beliau mencatatnya secara terperinci dan memang berhajat untuk ke Malaysia. Beliau sangat sibuk dan sentiasa memegang telefonnya sambil membuka aplikasi reka bentuk di komputernya. Aku juga sempat berkomunikasi dengan sepupunya yang sedang belajar di India menerusi WhatsApp. Kami diberi satu bilik untuk kami tidur dengan selesa di dalamnya.





0 ulasan:

Catat Ulasan