Ahad, 1 Januari 2017

CENTRAL/WEST IRAN - 19.0 TOCHAL

Setelah bersarapan bersama Ali dan Azita kami keluar menuju ke stesen BRT4 yang sejauh 1 km dari rumahnya. Katanya ini adalah cara terpantas untuk ke Tochal dan kurang kesesakan lalu-lintas berbanding teksi kerana system bas bandar ini mempunyai laluannya sendiri. Untuk menaiki BRT, penumpang dikehendaki membeli kad dan perlu menyentuhnya di kaunter terminal. Namun penjaga terminal memberi kami masuk secara percuma. Kos untuk satu perjalanan adalah sekitar 20K Rial. Keaadaan di dalam bas sangat padat walaupun jam sudah menunjukkan 930am. Berpandukan Google Map kami turun setelah melepasi stesen Namayeshgah di mana ramai pelajar Universiti Shahid Behesti turun disitu. Kami menyeberangi jalan melalui jejanstas dan mengambil teksi untuk ke Tochal yang sekitar 5 minit dari situ. Terdapat tempat letak kereta yang luas disini sebelum ke stesen buggy yang akan membawa pelawat ke Station 1 di mana para pelawat dapat menaiki telecabin untuk ke stesen-stesen yang seterusnya. Kami menyewa peralatan ski dan baju, seluar sejuk dan sarung tangan di sini. Peti simpanan untuk menyimpan barang peribadi disediakan. Tiket ski dan telecabin ke Station 7 berharga 650K Rial dan perlu dibeli dikaunter berasingan. Harga keseluruhan yang perlu dibayar untuk menyewa peralatan sekitar 1300K Rial. Setelah bersiap sedia kami beratur dengan membawa peralatan ski untuk menaiki telecabin. Perjalanan mendaki sehingga ke stesen terakhir mengambil masa lebih kurang 1.5 jam dan perlu menukar telecabin di Station 5. Pemandangan di kiri dan kanan di agak berjerebu dengan gunung-ganang diliputi salji. Namun jerebu semakin berkurangan apabila altitud semakin tinggi. Para pengunjung kebanyakkannya orang tempatan dan kami ada terserempak dengan sekumpulan pelancong dari India. Siapa sangka di negara Timur Tengah yang terkenal dengan padang pasir yang panas terdapat salji dan resort ski. Akhirnya kami selamat sampai di stesen terakhir yang ketinggiannya 3700m dari aras laut. Perjalanan yang agak memenatkan dengan keadaan telekabin yang agak uzur yang sentiasa bergegar ketika sampai di setiap tiang-tiang penyambung. Kelihatan langit cerah membiru dengan salji meliputi diseluruh kawasan. Kami mencari instruktor ski di pondok berhampiran dan perlu membayar 600K Rial untuk khidmat tunjur ajar.

Baju dan seluar yang agak tebal dan besar membuatkan pergerakanku mengimbangi badan bertambah sukar semasa mempelajari teknik-teknik asas ski. Sesekali aku terjatuh juga di atas permukaan salji yang keras dan padat itu. Suhu persekitaran yang sejuk melampau dan kandungan oksigen yang nipis membuatkan suasana pembelajaran bertambah sukar. Yazid Nampak lebih selesa untuk meneruskan pembelajaran dan aku hanya berehat di pondok dan menikmati pemandangan sekitar. Tidak lama kemudian kami turun semula ke Station 1 untuk memulangkan kembali peralatan yang disewa sekitar jam 400pm. Terasa masa berjalan terlalu pantas semasa berada di Tochal. Mungkin kerana perjalanan untuk ke stesen terakhir yang mengambil masa yang lama. Sebelum beredar kami solat sebentar di surau. Yazid yang berhajat ingin menaiki roller coaster pergi ke kaunter sementara aku hanya ke kedai makan untuk mengisi perut yang lapar. Aku telah berjanji dengan Saede untuk berjumpannya selepas waktu kerja di bandar. Beliau ialah ahli CS yang telah surf di Kuala Lumpur beberapa tahun yang lepas. Pada ketika itu, tidak terlintas dalam hatiku untuk ke negara yang kononnya terkenal dengan imej pengganas dan Syiah. Namun tanggapanku itu sudah berubah sejak kebelakangan ini dengan mendengar sendiri suara-suara mereka yang pernah sampai di bumi Aryan ini. Kami berjalan hampir 4km untuk menuju ke stesen BRT tadi kerana tawaran teksi disitu agak mahal. Perjalanan balik penuh sesak dengan warga tempatan yang mahu pulang dari tempat kerja. Bas ini terbahagi kepada 2 bahagian iaitu di bahagian hadapan untuk lelaki dan belakang untuk wanita. Ada pembahagi di antara kedua-duanya. Kami berhenti berhampiran stesen Metro Tohid dan menunggu Saede disitu. Setelah berjumpanya kami ke kedai Ash/bubur untuk membuka bicara. Tidak sangka kami dapat berjumpa kembali setelah 4 tahun. Perbualan banyak terarah kepada pengembaraanku kali ini di negaranya. Beliau sudah pun berkahwin dan sangat merindui untuk kembali mengembara. Saede mencadangkan kami untuk mencuba Falodeh dan Bastani iaitu aiskrim dan pemanis mulut pada esok hari. Kami sampai di rumah Ali tidak lama kemudian dan makan malam spageti yang tidak habis semalam. Ali banyak menceritakan rancangannya untuk memperoleh tajaan untuk membiayai perjalanan mereka mengelilingi dunia tidak lama lagi. Malam ini adalah malam terakhir aku bermalam di bumi Iran dan perasaanku gembira bercampur sedih. Gembira mungkin kerana dapat pulang ke tanah air berjumpa kembali keluarga setelah 3 minggu di perantauan dan kesedihan itu pastilah kerana terpaksa meninggalkan bumi Iran yang penuh dengan kenangan suka duka dan tidak dilupakan warga tempatan yang sentiasa memberikan layanan yang terbaik untuk aku dan Yazid.






0 ulasan:

Catat Ulasan