Sabtu, 7 Januari 2017

CENTRAL/WEST IRAN - 11.0 TAKHT-E-JAMSHID

Isteri Ali menghidangkan kami sarapan pagi sebelum kami bergerak meninggalkan rumahnya. Ali menghantar kami ke stesen bas berdekatan untuk kami pulang ke Shiraz. Mengucapkan selamat tinggal adalah antara perkara yang sukar untuk aku lakukan selama berada di Iran. Ini kerana sikap mereka yang yang sangat terbuka dan memuliakan tetamu. Beberapa kali juga kami tidak perlu membayar tambang bas di Iran berkat ihsan pemandunya dan termasuk juga untuk perjalanan pagi ini. Setelah hampir sejam kami tiba stesen berhampiran istana lama Arg-e Karim Khan. Aku cuba menghubungi Peyman untuk bertanyakan akan tetamu yang baru sampai semalam untuk berkongsi teksi ke Persepolis. Namun tetamunya sudah pun mempunyai perancangan tersendiri. Aku menghubungi kesemua CSer yang menawarkan pakej tour ke Persepolis dan Necropolis. Dan Mohsen antara mereka yang memberi maklum balas dengan pantas. Yazid terjumpa pelancong dari Jepun yang sedang duduk ditembok berhampiran dan menyapanya. Kami mengajaknya untuk bersama ke sana untuk mengurangkan kos kepada 10 USD untuk seorang. Dia terus bersetuju dan pergi semula ke kaunter agensi pelancongan untuk membatalkan teksinya pada esok hari. Tidak lama kemudian Mohsen pun sampai bersama rakannya dan kami bertiga bertolak ke Persepolis yang jaraknya lebih kurang 60km dari Shiraz. Perjalanan mengambil masa hampir sejam melalui lebuhraya. Setelah sampai kami berjanji dengan Mohsen untuk bertemu semula selepas 3 jam untuk ke destinasi seterusnya, Necropolis. Kelihatan ramai warga tempatan di pintu masuk dan sememangnya hari minggu penuh dengan pelawat. Harga tiket untuk pelancong sekitar 3 kali ganda mahal dari warga tempatan iaitu 250K Rial. Persepolis atau lebih dikenali Takht-E-Jamshid dalam bahasa Parsi dibina oleh Darius I seawal abad 500 tahun SM. Ianya dipercayai dijadikan sebagai istana singgahsana sempena menyambut Nowurz iaitu perayaan menyambut musim bunga. Di sini juga terdapat makam Artaxerxes II dan Artaxerxes III di bukit belakang berhampiran kompleks ini. Kejatuhan empayar Achaemenid bermula apabila Parsi telah kalah kepada kerajaan Rom. Alexander the Great dan tenteranya dipercayai telah memusnahkan Persepolis dan merompak emas permata yang menghiasi kompleks ini. Kami mengambil masa yang agak lama untuk mengelilingi kompleks yang sebesar 120000 sqm.

Setelah puas menjelajah kami makan Falafel sekadar mengalas perut. Mohsen menanti kami di tempat yang sama kami turun dan terus ke Necropolis yang tidak jauh dari situ. Kelihatan ramai warga tempatan berkelah bersama keluarga di kawasan bukit-bukit batu berhampiran. Pemandangan yang sama seperti di Ghalat Village. Bayaran masuk ke Necropolis juga sama kadarnya dan kawasannya lebih kecil dari Persepolis. Necropolis atau nama Parsinya Naqsh-e Rustam ialah ukiran batu purba yang telah ada sejak 1000 tahun SM di era kerajaan Elamite. Disini terdapat makam 4 orang raja Achaemenid iaitu Darius II, Artaxerxes I, Darius I, Xerxes I. Mayat-mayat raja kesemuanya dipercayai telah dirompak semasa kekalahan kepada Alexander the Great dan tenteranya. Di bawah ukiran makam terdapat juga ukiran kerajaan Sasanid yang memerintah sekitar abad ke-2. Bertentangan dengan ukiran batu terdapat Cube of Zoroaster/ Ka'ba-ye Zartosht yang dibina oleh Darius I sebagai salah satu tempat mereka beribadat. Mohsen banyak menerangkan tentang sejarah-sejarah lama Parsi dan membantu aku dalam memahaminya. Persepolis dan Necropolis adalah antara tempat-tempat bersejarah yang tersenarai di dalam UNESCO World Heritage Sites selain Masjid Imam/Shah dan kompleks Naqsh-E Jahan yang kami lawati di Esfahan. Kemudian kami pulang ke Shiraz dan Mohsen merberhentikan kami di Zendan Crossroad. Di kedai runcit berdekatan kami membeli telur, mee segera Iran berperisa daging dan sedikit sayur untuk dimasak di rumah Peyman. Dirumahnya kami memulakan operasi memasak ‘noodle’. Panaskan air sehinggah mendidih, masukkan mee dan perencahnya kemudian pecahkan telur sebelum memasukkan sayur dipenghujungnya. Aku dan Yazid sememangnya berselera dengan masakan itu manakala Peyman hanya melihat kerana masih kenyang. Tidak lama kemudian abangnya Salman pulang dan kami memasak untuk kali kedua untuk mereka. Habis licin juga dimakan Peyman dan beliau memuji masakan ‘noodle’ kami. Inilah kali pertama beliau makan ‘noodle’ dalam hidupnya. Tidak pernah lagi kami melihat restoran atau gerai yang menjual mee di Iran mungkin kerana selera disini lebih kepada roti dan nasi sebagai makanan ruji. Buah delima sebagai pencuci mulut dihidangkan oleh Peyman dan kami bersembang untuk seketika sebelum masuk tidur.






0 ulasan:

Catat Ulasan