Isnin, 9 Januari 2017

CENTRAL/WEST IRAN - 9.0 SHAH CHERAGH

Bas sampai di terminal Shiraz sekitar jam 6.30am dan persekitaran masih gelap dan sejuk. Dengan keaadan separa sedara kami keluar mengambil beg dan menuju ke tempat menunggu yang tertutup walaupun pemandu teksi mula mengerumuni kami. Aku memerlukan masa untuk berfikir dan sedar sepenuhnya sebelum mengambil teksi ke rumah Peyman. Harga teksi yang kami bayar untuk kerumahnya ialah 150K Rial walaupun agak mahal kami terus menerimanya. Sebaik sahaja sampai dirumahnya berhampiran Zendan Crossroad/ چهار راه زندانkami menekan butang tingkat 4 dan mula memperkenalkan diri melalui intercomm. Pintu pagar dibuka dan kami sangat bersyukur mempunyai host di saat-saat akhir disini. Aku mula berbual-bual seketika sebelum beliau masuk tidur kembali. Peyman ialah pelajar university yang sedang mengambil kursus arkitek di university tempatan. Rumah ini diduduki bersama abangnya, Salman. Kami berehat sambil menyiapkan diri untuk keluar sekitar jam 9am nanti. Peyman membawa kami keluar ke pusat bandar bersama keretanya dan kami berpisah di tengah bandar kerana beliau mempunyai temu janji dengan doktor gigi. Kami berjalan merentasi bazar sebelum sampai ke Shah Cheragh/شاه چراغ iaitu makam abang kepada Imam Reza dan anak kepada Musa-al Kadim. Mereka semua dibunuh semasa pemerintahan khalifah Abbasiyah. Kubah yang disini tidak berwarna emas seperti makam yang kami lawati di Tehran dan Qom. Seni binanya sama seperti makam Masoumeh yang dihiasi kaca dan cermin yang bergemerlapan cantiknya. Memandangkan waktu Zuhur sudah masuk jadi kami sembahyang di masjid bersebelahan makam. Kebanyakan masjid hanya dibuka kepada umum untuk solat hanya pada waktu Subuh, Zuhur dan Maghrib. Dan akan ditutup apabila semua jemaah selesai solat dan kuliah. Tapi untuk masjid berada bersama dengan makam ia akan sentiasa terbuka selagi makam tidak tutup. Seterusnya kami menuju ke bazaar sekadar mengambil angin dan memerhati tingkah laku orang tempatan.

Setelah merasa agak keletihan aku mencadangkan supaya menaiki bas dan bersiar-siar. Kami menaiki bas No. 194 dan bergerak sehingga ke penghujung perhentian. Sampai tertidur kami dibuatnya, mungkin kerana keletihan tidak cukup tidur semalam. Kemudian kami menaiki bas yang sama untuk menyambung tidur sebanyak 2 kali! Setelah hampir sejam tidur di dalam bas kami pulang ke rumah Peyman dan singgah makan nasi kebab di kedai berdekatan. Di rumah, Peyman dan Salman hanya menjamah roti nan bersama telur. Beliau juga meminta kami masak sesuatu yang istimewa dari Malaysia. Dan kami memikirkan untuk memasak mee segera Iran sebagai hidangan inspirasi dari host Esfahan, Reza. Kami memberitahunya yang kami akan masakkan mee untuknya sebelum kami berangkat dari Shiraz. Kebanyakan masa diluangkan bersamanya bercerita mengenai Malaysia dan budaya kami. Tentang pandangan negatif kebanyakan orang Malaysia terhadap Iran yang bermazhab Shiah. Hal-hal mengenai pemimpin Iran dan Malaysia, disambung pula dengan ekonomi, hiburan dan kehidupan seharian. Sememangnya Iran tidak suka akan bangsa Arab kerana mereka pernah dijajah di era pemerintahan Sasanid sekitar abad ke-6 yang menyaksikan Islam mula tersebar ke seluruh Parsi dan hampir keseluruhan para penganut Majusi memeluk Islam. Beliau juga banyak bertanya akan pengalaman Couchsurfing dan pengembaraan kami yang lepas. Puas juga melayan Peyman ni sambil makan buah delima yang masam-masam manis. Kami memberitahu rancangan kami untuk melawat Qashqai Nomads pada keesokan hari dan bermalam disana. Tempat tidur dirumahnya agak selesa kerana mempunyai katil dan tilam nipis disertakan selimut yang tebal untuk memanaskan badan.







Ahad, 8 Januari 2017

CENTRAL/WEST IRAN - 10.0 QASHQAI ASYAYER

Kami bersarapan dengan roti berintikan jem lobak merah bersama Peyman sebelum berjalan keluar menuju ke perhentian bas. Kami mengambil bas No. 148 menuju ke utara Shiraz dan berhenti di stesen yang paling hujung berhampiran pusat membeli belah Persian Gulf yang mengambil masa sejam. Ali menanti kami di penghujung stesen bersama anaknya, Nima. Beliau ialah seorang nomad dari kaum Qashqai iaitu antara kumpulan nomad yang terbesar di Iran. Aku berkenalan dengannya di group Facebook ‘See You in Iran’ dan mengambil peluang ini untuk melawatnya ketika pengembaraan kali ini. Kami mula berkenalan dan beliau fasih berbahasa English. Mereka berdua juga mengenakan pakaian tradisional mereka setiap kali bertemu dengan pelawat. Aku bertanyakan padanya mengenai Ghalat Village yang diberitahu oleh Peyman semalam dan Ali terus memberi kata setuju untuk memandu keretanya kesana. Jalan kesana agak berbukit dan kurang trafik. Ghalat ialah perkampungan lama yang terkenal dikalangan orang tempatan yang datang ke sini untuk berkelah bersama keluarga. Kebetulan hari ini lalah hari Khamis dimana sesetengah orang sudah pun bercuti pada sebelah petangnya. Hari minggu di Iran ialah hari Jumaat. Sesampainya disana Ali meletakkan kereta disisi jalan dan kami mula berjalan menuju ke kampung yang jalannya agak curam. Kelihatan anak sungai yang sangat sedikit airnya mengalir. Warga tempatan banyak kelihatan disini berkumpul dan menikmati udara yang segar dan sunyi dari hiruk pikuk bandar. Kami juga berhenti disebuah gereja lama yang ditinggalkan di pertengahan jalan. Ali juga menerangkan konsep rumah dan bangsal untuk haiwan ternakan disini yang dimana lembu dan kambing akan diletakkan di bawah tanah rumah seseorang pada suatu masa dahulu. Kami meneruskan perjalanan ke atas untuk sampai ke air terjun yang menjadi punca anak sungai yang kami lihat tadi. Pokok-pokok semuanya sudah tidak mempunyai daun kerana musim sejuk dan aku membayangkan pemandangannya pasti cantik pada musim bunga. Air terjunnya sangat kecil dan kami sempat merasai kesejukan airnya. Nima yang sentiasa bergerak aktif akhirnya terjatuh ke anak sungai dan aku cepat-cepat mengangkatnya walaupun dia sudah menangis. Tidak lama kemudian, kami pun turun ke bawah untuk pulang ke kereta. Pemandangan di kampung ini sememangnya cantik dan unik seolah-olah berada di benua Eropah.

Ali memandu keretanya selama 30 minit sebelum sampai ke rumahnya di Qudya Village. Telefon bimbitku gagal mendapatkan sebarang isyarat telekomunikasi di rumahnya. Rumahnya sangat cantik dihiasi dengan karpet yang berwarna-warni dan pelbagai corak. Kami dihidangkan makan tengah hari nasi berlaukkan gulai ayam. Alhamdulillah kenyang. Beliau mengeluarkan buku mengenai kaum Qashqai dan Iran. Di rumahnya juga terdapat perpustakaan mini dimana kebanyakkan masanya dihabiskan disitu. Terdapat juga buku ‘Reader Digest’ edisi tahun 1900an yang boleh dianggap koleksi antic pada masa sekarang. Melalui bacaan dan pembelajaran sendiri beliau mampu menguasai bahasa English dan sekarang masih menuntut di universiti tempatan dalam bidang Sejarah. Tidak lama kemudian Ali mengajak kami keluar lagi untuk ke kebunnya. Kami tidak menolak dan terus mengikutnya bersama Nima. Kebunnya yang tidak jauh dari situ perlu melalui ladang epal dan limau namun semua pokok-pokok kekeringan kerana musim sejuk. Disana beliau cuba menghidupkan unggun api di tempat pendiang api yang dibinannya sendiri sebelum kami menikmati teh untuk memanaskan badan. Ali banyak mengajuk Yazid seolah-olah beliau sudah mengetahui luar dan dalam Yazid. Kami menikmati matahari terbenam disitu sebelum pulang ke rumahnya semula. Dalam perjalanan pulang, kami singgah sebentar di kandang kambingnya yang terletak di rumah ibu bapanya. Makan malam kami hanyalah roti dan sup. Setelah itu sanak saudara sampai dirumahnya dan meraikan kami. Anak perempuannya juga baru tiba dari Shiraz setelah menziarahi Shah Ceragh bersama rombongan sekolah. Pada musim bunga dan panas mereka akan berkhemah di sekitar padang pasir berdekatan bersama dengan haiwan ternakan dan akan menjemput tetamu dari luar negara untuk menziarahi mereka. Caj yang biasa dikenakan untuk lawatan seharian ialah sekitar 25 USD. Aku menghabiskan sisa-sisa malam bersama anak-anak kecil menulis huruf-huruf Parsi yang sama seperti Jawi di dalam buku kerja mereka. Tilam yang dibentangkan Ali sememangnya sangat selesa dan aku tidak menunggu lama untuk tertidur di atasnya.






\

Sabtu, 7 Januari 2017

CENTRAL/WEST IRAN - 11.0 TAKHT-E-JAMSHID

Isteri Ali menghidangkan kami sarapan pagi sebelum kami bergerak meninggalkan rumahnya. Ali menghantar kami ke stesen bas berdekatan untuk kami pulang ke Shiraz. Mengucapkan selamat tinggal adalah antara perkara yang sukar untuk aku lakukan selama berada di Iran. Ini kerana sikap mereka yang yang sangat terbuka dan memuliakan tetamu. Beberapa kali juga kami tidak perlu membayar tambang bas di Iran berkat ihsan pemandunya dan termasuk juga untuk perjalanan pagi ini. Setelah hampir sejam kami tiba stesen berhampiran istana lama Arg-e Karim Khan. Aku cuba menghubungi Peyman untuk bertanyakan akan tetamu yang baru sampai semalam untuk berkongsi teksi ke Persepolis. Namun tetamunya sudah pun mempunyai perancangan tersendiri. Aku menghubungi kesemua CSer yang menawarkan pakej tour ke Persepolis dan Necropolis. Dan Mohsen antara mereka yang memberi maklum balas dengan pantas. Yazid terjumpa pelancong dari Jepun yang sedang duduk ditembok berhampiran dan menyapanya. Kami mengajaknya untuk bersama ke sana untuk mengurangkan kos kepada 10 USD untuk seorang. Dia terus bersetuju dan pergi semula ke kaunter agensi pelancongan untuk membatalkan teksinya pada esok hari. Tidak lama kemudian Mohsen pun sampai bersama rakannya dan kami bertiga bertolak ke Persepolis yang jaraknya lebih kurang 60km dari Shiraz. Perjalanan mengambil masa hampir sejam melalui lebuhraya. Setelah sampai kami berjanji dengan Mohsen untuk bertemu semula selepas 3 jam untuk ke destinasi seterusnya, Necropolis. Kelihatan ramai warga tempatan di pintu masuk dan sememangnya hari minggu penuh dengan pelawat. Harga tiket untuk pelancong sekitar 3 kali ganda mahal dari warga tempatan iaitu 250K Rial. Persepolis atau lebih dikenali Takht-E-Jamshid dalam bahasa Parsi dibina oleh Darius I seawal abad 500 tahun SM. Ianya dipercayai dijadikan sebagai istana singgahsana sempena menyambut Nowurz iaitu perayaan menyambut musim bunga. Di sini juga terdapat makam Artaxerxes II dan Artaxerxes III di bukit belakang berhampiran kompleks ini. Kejatuhan empayar Achaemenid bermula apabila Parsi telah kalah kepada kerajaan Rom. Alexander the Great dan tenteranya dipercayai telah memusnahkan Persepolis dan merompak emas permata yang menghiasi kompleks ini. Kami mengambil masa yang agak lama untuk mengelilingi kompleks yang sebesar 120000 sqm.

Setelah puas menjelajah kami makan Falafel sekadar mengalas perut. Mohsen menanti kami di tempat yang sama kami turun dan terus ke Necropolis yang tidak jauh dari situ. Kelihatan ramai warga tempatan berkelah bersama keluarga di kawasan bukit-bukit batu berhampiran. Pemandangan yang sama seperti di Ghalat Village. Bayaran masuk ke Necropolis juga sama kadarnya dan kawasannya lebih kecil dari Persepolis. Necropolis atau nama Parsinya Naqsh-e Rustam ialah ukiran batu purba yang telah ada sejak 1000 tahun SM di era kerajaan Elamite. Disini terdapat makam 4 orang raja Achaemenid iaitu Darius II, Artaxerxes I, Darius I, Xerxes I. Mayat-mayat raja kesemuanya dipercayai telah dirompak semasa kekalahan kepada Alexander the Great dan tenteranya. Di bawah ukiran makam terdapat juga ukiran kerajaan Sasanid yang memerintah sekitar abad ke-2. Bertentangan dengan ukiran batu terdapat Cube of Zoroaster/ Ka'ba-ye Zartosht yang dibina oleh Darius I sebagai salah satu tempat mereka beribadat. Mohsen banyak menerangkan tentang sejarah-sejarah lama Parsi dan membantu aku dalam memahaminya. Persepolis dan Necropolis adalah antara tempat-tempat bersejarah yang tersenarai di dalam UNESCO World Heritage Sites selain Masjid Imam/Shah dan kompleks Naqsh-E Jahan yang kami lawati di Esfahan. Kemudian kami pulang ke Shiraz dan Mohsen merberhentikan kami di Zendan Crossroad. Di kedai runcit berdekatan kami membeli telur, mee segera Iran berperisa daging dan sedikit sayur untuk dimasak di rumah Peyman. Dirumahnya kami memulakan operasi memasak ‘noodle’. Panaskan air sehinggah mendidih, masukkan mee dan perencahnya kemudian pecahkan telur sebelum memasukkan sayur dipenghujungnya. Aku dan Yazid sememangnya berselera dengan masakan itu manakala Peyman hanya melihat kerana masih kenyang. Tidak lama kemudian abangnya Salman pulang dan kami memasak untuk kali kedua untuk mereka. Habis licin juga dimakan Peyman dan beliau memuji masakan ‘noodle’ kami. Inilah kali pertama beliau makan ‘noodle’ dalam hidupnya. Tidak pernah lagi kami melihat restoran atau gerai yang menjual mee di Iran mungkin kerana selera disini lebih kepada roti dan nasi sebagai makanan ruji. Buah delima sebagai pencuci mulut dihidangkan oleh Peyman dan kami bersembang untuk seketika sebelum masuk tidur.






Khamis, 5 Januari 2017

CENTRAL/WEST IRAN - 12.0 PERJALANAN YANG PANJANG

Semasa kami bersiap-siap dan bersarapan pagi, Peyman memainkan serulingnya yang bernilai 300 USD didepanku. Sangat merdu alunan melodinya. Katanya ini adalah semangat hidupnya dan dia bermain bukan kerana duit atau apa-apa, hanya untuk mengisi kekosongan ruang jiwanya. Kemudian kami mengucapkan selamat tinggal dan berterima kasih kepadanya kerana telah menyelamatkan kami di saat-saat akhir. Dia juga tidak menyangka dapat berjumpa Muslim yang baik seperti kami. Kami menuju ke Zendan Crossroad dan menaiki bas ke arah barat bandar, Mahdieh. Bertukar-tukar bas juga hendak ke Mahdieh dengan menahan bas yang menghala ke arah barat. Dan akhirnya berjalan kaki ke tempat menahan kenderaan. Perancangan hari ini ialah untuk hitch-hike sampai ke Ahvaz yang sejauh 530km atau mana-mana bandar sebelumnya. Walaupun terdapat bas antara bandar namun kami memilih cara ini untuk pengembaraan yang lebih mencabar dan teruja. Kami menunggu berhampiran kedai kecil sambil memegang kertas tertulis Nourabad/نورآباد. Banyak pemandu memberikan isyarat kebelakang. Mungkin cuba menyatakan yang stesen bas tidak jauh dari situ. Namun tidak kami endahkan. Kami didatangi pemuda dan mula bertanya kami berbagai soalan. Rupa-rupanya beliau pernah belajar di Cyberjaya dan Yazid melayannya sementara aku memegang kertas A4. Beberapa kereta berhenti namun tiada yang setuju menumpangkan kami. Setelah hampir sejam, sebuah kereta membenarkan kami masuk tetapi beliau asyik meminta duit. Aku hanya membuat tidak faham dan membiarkan dia terus memandu. Setelah hampir sejam di jalanan, dia kembali bertanyakan tentang duit dan akhirnya menurunkan kami di Dasht Arjan. Redha dengan apa yang telah terjadi kami mengambil kesempatan untuk solat di masjid berhampiran. Kami menahan kenderaan yang seterusnya dan rezeki kami murah kerana tidak perlu menunggu lama. Namun perjalanan kami hanya sebaik 15 minit dan diberhentikan di persimpangan ke Kazerun. Perjuangan diteruskan untuk ke Nourabad dan akhirnya sebuah kenderaan berhenti dan menumpangkan kami bersama 2 orang lagi penumpang. Aku mengingati iras muka pemandu ini yang telah berhenti semasa kami di Shiraz tadi. Tak henti-henti aku bersyukur kepada Allah yang sentiasa menolong hambanya yang sedang bermusafir ini. Walaupun keaadan agak sempit di dalam kereta ini namun kami hadapinya jua. Disepanjang perjalanan dapat kulihat padang pasir dan gunung-ganang yang tidak pernah putus memenuhi pandanganku.

Setelah hampir 3 jam di dalam kereta akhirnya kami sampai di Gachsaran/گچساران dan berhenti berhampiran stesen teksi. Kami mengucapkan terima kasih sebelum berlalu pergi dan berhenti di sebuah kedai makanan segera yang tidak jauh dari situ. Kami makan Falafel sekadar mengalas perut. Badan sudah mula keletihan. Oleh kerana tempat kami sangat berhampiran dengan stesen teksi maka banyaklah teksi yang berhenti untuk mengambil kami secara berbayar. Tetapi kami menolaknya dengan cara yang baik dan terus berusaha. Akhirnya sebuah bas berhenti dan kami tanpa membuang masa terus naik dengan membayar 50K Rial untuk ke Behbahan/بهبهان yang sejauh 70km dari situ. Aku hanya tidur di sepanjang perjalanan disebabkan keletihan. Sekali lagi kami diberhentikan di stesen teksi dan terus mengambil ‘shared taxi’ ke Ahvaz memandangkan jam telah menunjukkan 530pm. Seorang penumpang kurang upaya duduk dihadapan dan seorang pemuda bersama kami dibelakang. Dan sekali lagi kami terhimpit di tempat duduk belakang, ini lah antara dugaan yang perlu dihadapi sepanjang pengembaraan ini. Kami dapat melihat banyak kilang penapisan minyak dan gas sebaik sahaja memasuki wilayah Khuzestan/خوزستان ini. Wilayah ini adalah sumber utama ekonomi Iran dimana hampir 80% hasil minyak dan gas keluar dari wilayah dan Teluk Parsi. Ia juga menjadi salah satu faktor mengapa kawasan sempadan disini menjadi medan pertempuran dan perebutan semasa peperangan Iran-Iraq sekitar tahun 1980an. Di dalam teksi kami tidak banyak berkomunikasi kerana batasan bahasa dan kepenatan. Teksi berhenti sesekali untuk mengisi minyak dan ke tandas. Alhamdulillah hampir 10jam di jalan raya kami akhirnya tiba di bandar Ahvaz. Pemandu teksi memberhentikan kami di tengah-tengah bandar yang berdekatan sebuah hotel 3 bintang di kawasan Naderi. Kami terus berjalan tanpa hala tuju dan hanya berhasrat ingin mencari hostel murah. Kami menuju ke Iran Hotel yang tidak jauh dari situ untuk meminta bantuan dan cuba berkomunikasi dengan penjaga kaunter. Seperti kebiasaannya, beliau tidak fasih berbahasa English dan meminta bantuan dari orang sekitar untuk membantu kami. Tiba-tiba 3 orang pemuda menghampiri kami dan mula bertutur dalam English dan membantu kami mencari hostel murah. Hanya 200 meter dari situ terdapat hostel yang berharga 750K Rial semalam dan kami terus mendaftar masuk kesitu. Biliknya agak luas dan mampu menampung 3 katil bujang tetapi tandasnya di luar. Kemudian kami makan malam bersama Sadra dan seorang rakannya yang telah membantu kami sebentar tadi. Mereka ialah pekerja kepada NIOC iaitu syarikat nasional minyak Iran. Walaupun nasi yang dihidangkan seakan-akan basi namun aku berjaya menghabiskan hampir kesemuanya disebabkan kelaparan yang amat sangat. Perbualan kami tidak berpanjangan kerana mereka perlu kerja pada keesokkan harinya. Setelah itu kami terus pulang ke hostel untuk merehatkan diri.







Rabu, 4 Januari 2017

CENTRAL/WEST IRAN - 13.0 LENCONGAN

Aku memeriksa mesej di WhatsApp dan mendapati permintaanku untuk surfing di Ahvaz diterima Mustafa. Alhamdulillah, bolehlah kami mendaftar keluar dari hostel ni hari ini. Suhu disini sedikit tinggi sekitar 10deg celcius kerana bahagian barat lebih panas dan berkelembapan tinggi berbanding bandar-bandar lain yg kami lawati. Kami mengambil peluang untuk bersiar-siar di sekitar bazaar dan pasar pagi tidak jauh dari hostel kami yang banyak menjual ikan sungai dan laut serta buah-buahan. Ikan disini agak murah kerana berhampiran dengan Teluk Parsi dan terdapat banyak sungai berbanding kawasan lain yang kering. Di wilayah Khuzestan, kebanyakkan warga tempatan berbangsa Arab dan ini dapat dilihat dari iras muka dan cara berpakaian mereka yang agak berbeza. Setelah puas berjalan kami pulang ke hostel dan menunggu Mustafa di Shariati Street. Mustafa kemudian mengambil kami dan ditemani 2 orang CSer dari Taiwan untuk pulang ke rumahnya di Goldasteh Street. Flatnya berada di tingkat 2 dengan keretanya disimpan di tingkat bawah. Mustafa sudah berkahwin dengan Sara yang menetap bersamanya. Dan mereka adalah pasangan berbangsa Arab yang sudah berhenti kerja dan sedang memperbaiki bahasa English mereka dan disamping itu berusaha untuk berpindah ke luar negara untuk kehidupan yang lebih baik. Beliau ialah seorang pensyarah di university tempatan manakala isterinya berkerja sebagai pegawai di dalam pentadbiran kerajaan. Sebenarnya Ahvaz tidak pernah berada dalam perancangan pengembaraan namun aku mengambil keputusan untuk bermalam disini memandangkan terdapat host yang menerima permintaanku. Apa yang menarik mengenai pasangan ini ialah mereka ialah free thinker, golongan yang tidak mempercayai agama. Emak Sara yang tinggal di flat yang sama datang membantu Sara memasak untuk makan tengah hari.. Dan makanan tengah hari kami ialah Khorme Sabze, yogurt dan ulam-ulaman. Ternyata masakan Sara dan emaknya memang sedap dan boleh aku katakana Khorme Sabze yang tersedap pernah ku rasa di Iran yang menyebabkan aku berkali-kali tambah.

Sepanjang hari aku dan Yazid duduk di rumahnya mendengar hujah-hujah Mustafa dan ideologinya. Kadang-kadang mahu sahaja aku menumbuk mukanya dengan kenyataannya yang menghina Quran sehingga menyebabkan telingaku berasa panas tidak tahan mendengar penjelasannya itu. Namun bukan itu jalan penyelesaian yang terbaik, bahkan lebih menurut nafsu amarah yang sedang membuak-buak. Aku pernah berbicara dengan seorang free thinker yang asal agamanya Kristian namun ini kali pertama berdepan seseorang yang berasal sama dari agamaku sendiri. Beliau pernah mengkaji Quran selama setahun dalam mencari jawapan disebalik kajiannya itu namun gagal. Dia juga pernah disiasat dan ditahan kementerian pelajaran kerana cuba menerapkan unsur-unsur sekularisma dalam syarahan beliau. Kebanyakan hujahnya tidak mampu ku jawab kerana ilimu agamaku yang tidak sehebat para alim ulamak dan ada sesetengah soalannya aku biarkan tidak terjawab kerana ianya terlalu subjektif dan ianya akan kembali kepada persoalan yang sama dan berakhir dengan tiada kesudahan. Aku hanya banyak tersenyum dan sesekali menyampuk untuk mengekalkan keharmonian di situ. 2 orang CSer Taiwan hanya duduk di dalam bilik memandangkan topik yang kami bincangkan tidak menarik bagi mereka. Walaupun begitu mereka membenarkan kami sembahyang di ruang tamu dan menunjukkan arah kiblat. Dalam doaku setiap hari di bumi Iran, agar setiap Muslim di Iran diberikan hidayah dan petunjuk ke jalan yang diredhai Allah serta kesejahteraan dunia dan akhirat dan Mustafa sekeluarga tidak terkecuali di dalam doaku. Pada malamnya topik yang lebih ringan dan tidak sensitif dibincangkan dan disambung dengan makan malam. Alicia dan Rita darri Taiwan keluar seketika untuk mengepos poskad mereka di bandar sambil berjalan-jalan sementara kami lebih berminat untuk menyambung bicara dengan Mustafa. Beliau dan isterinya sedang berusaha untuk menyambung PhD di Canada dan berpindah ke sana. Kos sara hidup yang tinggi dan gaji yang murah antara penyebab selain daripada kerajaan yang menekankan undang-undang Islam dalam setiap aspek kehidupan mereka. Dari pemerhatianku, kebanyakan golongan muda menekankan tentang ‘human rights’ seperti yang tertulis di Silinder Cyrus disamping terdorong mengikuti ke arah negara jiran mereka Turki yang lebih bebas dalam beragama. Segelintir juga mengatakan tiada paksaan di dalam agama seperti yang tertulis di dalam surah Al-Baqarah ayat-256 “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. Ayat ini ditujukan kepada kaum kufar dalam mendatangi agama Islam dan bukannya untuk kaum muslimin yang sudah menganuti Islam, mungkin terdapat sedikit salah faham dan kekeliruan di dalam pemahaman mereka, wallahualam. Mustafa telah mengatur perjalanan kami keesokan harinya bersama kawannya yang akan ke Shush bersama Alicia dan Rita. Kami tidur di ruang tamu berlapikkan tilam nipis dan selimut selepas penat seharian meminjamkan deria dan akal ku untuk ‘mendengar’ Mustafa.







Selasa, 3 Januari 2017

CENTRAL/WEST IRAN - 14.0 ARABS

Paginya aku bangun awal kerana perlu bersiap-siap untuk ke bertolak ke Shush. Mustafa menghantar kami ke perhentian teksi sambil menunggu sahabatnya, Mostafa. Selepas seketika Mostafa pun sampai dan membawa kami ke Shush/ شوش yang jaraknya 120km ke utara Ahvaz. Aku memeluk Mustafa dan berterima kasih di atas segalanya. Mostafa ialah seorang ahli farmasi yang mempunyai farmasi di Shush tetapi menetap di Ahvaz. Kereta Peugeotnya memecut laju disepanjang perjalanan. Walaupun beliau tidak fasih berbahasa English namun beliau cuba untuk berkomunikasi dengan kami. Farmasinya di Shush itu adalah kepunyaan datuknya dan diperturunkan kepada bapanya sebelum diserahkan kepadanya. Boleh dikatakan beliau ialah seorang yang kaya raya kerana pernah melancong ke Dubai, Turki, Thailand, Armenia dan Georgia. Dipertengahan jalan beliau berhenti di ladang lobak merah untuk kami semua bergambar. Selepas hampir 2 jam kami pun sampai di farmasinya yang hanya 100m ke Makam Nabi Daniel. Disana kami berkesempatan untuk bersarapan pagi. Setelah itu kami ke Makam Nabi Daniel AS yang dipercayai dalam tiga agama iaitu Islam, Yahudi dan Kristian. Nabi Daniel adalah keturunan Nabi Daud AS. Terdapat juga beberapa tempat lain yang dipercayai mempunyai makam yang Nabi Daniel iaitu di Uzbekistan, Iraq dan Mesir. Kubah makam ini berbentuk kon dengan susunan bata yang menandakan makam seseorang yang beragama Yahudi. Kami kemudian ditinggalkan oleh Mostafa di hadapan Museum of Shush kerana mereka menuju Shushtar Historical Hydraulic System yang dibina sejak zaman kerajaan Sasanid yang sejauh 80km dari sini. Kawan Mostafa akan mengikuti mereka ke sana dan kami terpaksa turun kerana tempat duduk keretanya yang terhad. Aku sudah menghubungi Sadegh host kami di sini awal pagi tadi namun masih tidak berjawab. Kami mengambil peluang ini untuk menerokai Darius Palace dan Shush Castle yang tidak jauh dari situ. Shush atau nama Parsi kunonya, Susa ialah bandar purba yang telah didiami sejak zaman kerajaan Elamite iaitu 4000 tahun SM. Dan telah menjadi ibu negara pemerintahan kerajaan Achaemenid sekitar 675-330 tahun SM. Dan disinilah terletaknya Istana Musim Sejuk yang dibina oleh Darius I yang akhirnya dimusnahkan tentera Rom yang diketuai oleh Alexander the Great sekitar 330 tahun SM. Mereka telah merampas bertan-tan emas dan perak keluar dari sini. Dari segi fizikal kompleks ini, tidak banyak yang dapat dilihat kerana telah banyak musnah oleh pembangunan bandar dan juga semasa perang Iran-Iraq. Banyak hasil-hasil arkeologi disini telah dipamerkan di Louvre Museum, Paris setelah dibawa kesana oleh ahli arkeologi.

Kami seterusnya ke Shush Castle yang hanya terletak disebelah Darius Palace. Ia telah dibina oleh ahli arkeologi Perancis sekitar tahun 1890an untuk dijadikan tempat penyimpanan dan pemeriksaan hasil-hasil arkeologi disini. Namun sekarang ia dijadikan museum yang mempamerkan peralatan penggalian arkeologi dan kenderaan yang digunakan pada masa tersebut. Penjaga pintu masuk mencari kami di sini kerana kami masih tidak membayar caj masuk sebanyak 200K Rial. Kami kemudian membayarnya dan menunggu Sadegh yang akan tiba tidak lama lagi. Akhirnya Sadegh tiba dengan anak lelakinya dan kami pulang ke rumahnya. Sadegh yang berbangsa Arab sudah berkahwin dan mempunyai 2 orang cahaya mata. Beliau bekerja dengan NIGC iaitu syarikat nasional gas Iran dan isterinya sebagai seorang doktor. Sadegh adalah antara host kami yang dari golongan yang berada dengan memiliki kenderaan SUV dan menetap di rumah teres. Kami disajikan makan tengah hari yang lazat iaitu gulai ayam beserta nasi dan ulam-ulaman. Kami berehat sebentar sambil berbicara mengenai perbezaan Sunni dan Syiah. Menurut Sadegh perbezaan ini adalah rancangan musuh-musuh Islam yang mengada-adakan sejarah dan makam-makam sejak 200 tahun kebelakangan ini. Hujahnya, sebelum era ini nama orang Iran tidak dinamakan sempena pemimpin-pemimpin Syiah mereka seperti Jaafar, Reza, Hasan, Husin, Ali dan Mahdi. Tidak lama kemudian adik iparnya, Sadigh sampai ke rumahnya. Beliau ialah seorang pelajar universiti yang sedang berusaha untukmengambil kursus kedoktoran. Kedua-duanya menyertai Couchsurfing kerana mengetahui akan dunia luar dan memperbaiki penguasaan bahasa English mereka. Kami kemudian bergerak ke bandar Dezful/ دزفول yang sejauh 40km untuk bersiar-siar. Di pertengahan perjalanan kami berhenti di makam Muhamad bin Jaafar Tayyar seorang alim yang beragama Kristian. Kubahnya berbentuk kon namun tidak mempunyai corak susunan batu-bata. Apa yang terkenal di Dezful ialah jambatan lamanya yang dibina merentas Sungai Dez untuk melindungi bandar tersebut dari serangan musuh. Kami juga ke bazaar untuk membeli sedikit halwa iaitu manis-manisan sebagai pencuci mulut sebelum pulang ke rumah. Sadegh menghamparkan tilam untuk kami di bilik tidur anak-anaknya.








Isnin, 2 Januari 2017

CENTRAL/WEST IRAN - 15.0 KELAHIRAN BARU

Sadegh akan bekerja seperti biasa hari ini setelah mengambil cuti pada semalam demi menyambut kedatangan kami. Beliau memberitahu bahawa Sadigh akan membawa kami bersiar-siar kemana sahaja yang kami hendak pergi. Aku memberitahu yang hajat kami hanyalah untuk melawat Asyayer/Nomads. Setelah bersarapan Sadigh pun sampai dan mencadangkan kepada kami untuk ke Choga Zanbil yang hanya 40km dari situ. Kami hanya bersetuju dan menaiki SUV yang dipandunya. Beliau menceritakan sedikit sebanyak pengalaman Couchsurfingnya kepada kami. Walaupun masih baru, jiwa mereka memang sudah sebati dengan nilai-nilai hospitaliti yang cuba dibawa oleh Couchsurfing. Kami melalui jalan persendirian yang dibina untuk menghantar hasil tebu keluar dari kawasan Haft Tapeh. Sadigh berjaya mendapatkan diskaun sebanyak 100K Rial untuk bayaran masuk ke Choga Zanbil. Ia adalah ziggurat yang dibina 1200 tahun SM oleh Raja Untash-Napirisha untuk memuja Tuhan Inshushinak iaitu salah satu Tuhan yang disembah pada zaman Elamite. Ia juga telah diiktiraf sebagai salah satu UNESCO World Heritage Sites pada tahun 1979. Disekitar ziggurat terdapat makam-makan dan kuil-kuil penyembahan yang semakin dimamah usia. Dahulunya kawasan dalam dewan utama boleh dilawati namun atas sebab konservasi ianya telah ditutup kepada para pelawat. Kami juga melawat rumah yang diperbuat dari jerami yang diduduki pada zaman dahulu dan konsepnya lebih kurang sama seperti rumah orang asli di Malaysia. Setelah hampir sejam kami beredar dari situ dan meneruskan misi untuk mencari Asyayer.

Tiba-tiba Sadigh memberhentikan kereta dan berundur kebelakang, katanya dia ternampak sesuatu di padang pasir. Rupa-rupanya beliau ternampak khemah Asyayer yang didirikan disitu. Alhamdulilah rezeki kami. Katanya inilah pertama kali dia membawa tetamu berjumpa Asyayer. Seorang pemuda mendatangi kami membawa senapang dan Sadigh cuba berbual-bual dengan dan akhirnya mempelawa kedatangan kami ke khemahnya. Mereka dari suku kaum Bakhtiari yang membela kambing biri-biri. Di khemah yang lain mak dan neneknya keluar memperkenalkan diri. Mereka bertanya sama ada kami mahu meminum susu kambing. Oh semestinya ya!! Semasa mereka memanaskan susu kami banyak berinteraksi dengan pemuda tersebut dengan bantuan terjemahan dari Sadigh. Di situ terdapat sangkar untuk anak-anak kambing dan diasingkan dari ibunya bertujuan untuk ia berdikari makan makanan yang telah diberi. Kambing-kambing dewasa telah dibawa keluar oleh bapa dan pakciknya mencari rumput segar dan hanya akan pulang pada sebelah petang. Sebelum era kemodenan, mereka berpindah-randah beribu-ribu kilometer bersama haiwan ternakan dengan hanya berjalan kaki. Namun kini mereka berpindah menggunakan lori!! Berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain mengikut perubahan musim panas ke musim sejuk. Akhirnya kami menikmati susu kambing segar yang telah dimasak dan mula beredar. Ibunya meminta sedikit duit dan kami memberinya 150K Rial hanya sebagai sedekah. Sadigh membawa kami ke kampungnya yang tidak jauh dari situ. Dipertengahan jalan kami terserempak lagi dengan kawanan kambing biri-biri ditengah jalan. Dan kami tidak teragak-agak meminta Sadigh memberhentikan kereta. Ini adalah versi kambing-kambing mencari makanan pula. Pengembala kambing itu adalah dari bangsa Arab dan setelah Sadigh memeriksa asal usulnya ternyata beliau ialah dari kalangan keluarga besarnya. Dianggarkan sekitar 200 ekor kambing dilepaskan tanpa penjagaan dan terdapat loceng digantungkan di sesetengah kambing. Tujuannya ialah untuk mengelakkan kawanan itu dari berpecah dan sentiasa bergerak mengikuti bunyi loceng tersebut. Sedang kami sibuk mengambil gambar, pengembala itu tiba-tiba memanggil kami masuk ke dalam hutan. Katanya kambing betina ini akan beranak tidak lama lagi. Kelihatan air jernih sudah mula keluar dari punggungnya. Tidak lama kemudian keluarlah anaknya terduduk di atas tanah. Syukur rezeki kami tidak putus-putus melimpah hari ini dengan pengalaman-pengalaman yang sememangnya akan terus terpahat dalam ingatan. Kami menunggu seketika sehingga si anak mampu berdiri sendiri dan menyusu dari ibunya sebelum keluar dari Kampung Syeikh Yaakob. Kami sampai di rumah pakcik Sadigh tidak lama kemudian dan mereka sangat gembira dengan kedatangan kami. Rumahnya sangat besar dengan halaman yang luas. Kami hanya dihidangkan air memandangkan persinggahan disitu tidak lama kerana Sadigh perlu pulang ke Ahvaz untuk menghantar ayahnya ke sempadan. Setelah itu kami pun pulang ke rumah dan adik Sadigh sedang membakar kebab ayam di halaman rumah dengan bantuan pembantu rumah. Sadegh tiba di rumah tidak lama kemudian dan kami makan tengah hari bersama. Pembatu rumahnya akan datang ke rumah seawal jam 7am sehingga 2pm untuk mengemas rumah, memasak dan menjaga anaknya. Sadegh banyak menceritakan pengalaman melancongnya ke Thailand dan Malaysia. Dia sudah ke Malaysia sebanyak 2 kali dan berhajat untuk kembali ke sana jika ada rezeki. Beliau juga berkongsi video dan gambar-gambar yang ditangkapnya disana. Pada sebelah petang kami keluar lagi kononnya ingin mencari unta di padang pasir tetapi hanya ketemu akan pemandangan indah sang mentari. Dalam perjalanan pulang kami singgah di pekan Shush sebelum mengakiri hari-hari indah kami di wilayah Khuzestan ini.