Sakit perut membangunkan aku dari tidur pagi
ini. Aku berjalan keluar dan mendapati anak-anak mereka hanya tidur di halaman
rumah dengan berselimut tebal berbumbungkan langit. Setelah membersihkan diri
aku dapati mereka semua masih lagi tidur di ruang tamu dan tidak lama kemudian
Neda pun bangun dan bersiap. Kami bertolak untuk ke kelas Bahasa Rusia. Aku
yang duduk di dalam kelas tersebut hanya terpinga-pinga mendengar segala pertuturan
gurunya dalam bahasa Rusia untuk mengajar anak muridnya. Dan sekali lagi aku ke
tandas untuk menguruskan masalah sakit perut aku. Kata Neda beliau belajar
bahasa ini untuk membolehkannya bergerak ke luar negara dan mencari rezeki di
bekas kawasan jajahan Soviet-Union yang luas. Selesai kelas habis kami ke
farmasi untuk membeli ubat sakit perut dan pulang semula ke stesyen minyak. Aku
menyimpan beg di ruang pejabatnya, mengecaj telefon bimbit dan mandi di tandas
sebelah sementara Neda keluar untuk bekerja yang katanya bermula pada jam 0900H.
Aku sempat berbual sebentar bersama pekerja di stesyen ini dan memintanya
membantuku untuk panduan ke bandar yang tidak jauh dari situ. Katanya sama
seperti yang diberitahu Neda, hanya perlu melintas jalan dan menanti di bahu
dan angkat sedikit tangan hingga ke paras lutut. Dan hanya beritahu pemandu kereta
sewa perkataan “shar” yang bermaksud pusat bandar. Aku hanya mengikuti panduan
mereka dan memasuki kereta dengan penuh dengan penumpang lain dan akhirnya
diberhentikan sangat hampir dengan pintu masuk Blue Mosque. Maksud nama Mazar-E
Sharif adalah makam seorang putera yang dimaksudkan itu adalah Saidina Ali bin
Abi Talib. Sesetengah riwayat mengatakannya jasad beliau ditanam disini atas
permintaan Imam Jaafar As-Sadiq. Namun sebahagian yang lain berpendapat di
Kufa, Iraq. Bandar ini pernah menjadi bandar utama yang penting semasa era
Greater Khorasan sebelum dari 900-1900an. Jalaludin Rumi juga dilahirkan di
kawasan ini. Mazar juga menjadi bandar pertama yang berjaya ditakhluki Northern
Alliance bersama tentera USA menentang Taliban pada 2001. Aku juga pernah
menonton filem “12 Strong” yang menceritakan tentang US Special Force dalam
membantu Northern Alliance menentang puak Taliban beberapa bulan lepas sebelum
kedatanganku ke sini. Latitud bandar ini adalah 300m dari aras laut dan keadaan
suhunya menjangkaui 40deg C pada musim panas dan ianya lebih panas dari Kabul.
Maka benarlah kata-kata Khairullah tentang bandar ini. Terdapat pemeriksaan
tentera untuk masuk ke Blue Mosque dan pintu masuk lelaki dan perempuan di
asingkan bersebelahan. Ianya mula dibina semasa Empayar Seljuk dan siap sekitar
hujung 1400an. Kawasan masjid ini sangat luas dan cantik. Binaannya bertemakan
warna biru laut. Terdapat satu lagi pintu masuk ke kawasan masjid yang dilarang
memakai kasut. Di sini aku meninggalkan sandal dan mula berjalan di atas jubin
marmar putih untuk menuju ke dewan sembahyang utama. Kemudian sebaik sahaja
masuk pintu makam akan terdapat satu tabung derma yang sangat dan di pintu yang
terakhir akan tersergam indah makan Amirul Mukminin iaitu Saidina Ali bin Abi
Talib.
Pertama kali sampai di depan makam membuatkan diriku terasa sebak
mungkin kerana tidak menyangka dapat menjejakkan kaki ke tanah Khorasan ini
menziarahi makam yang mulia. Setelah selesai ziarah dan berdoa aku bersiar-siar
di sekitar taman masjid sambil menghubungi Khairullah. Katanya kawannya Nabi
Amiry bekerja di MTN salah satu operator telekomunikasi di Afghanistan. Jarak
pejabat MTN dengan makam sekitar 400m dengan melalui deretan kedai. Aku terus
ke sana dan masuk ke dalam bangunan diperiksa oleh pengawal keselamatan dan
dijemput masuk ke bilik Amiry. Beliau adalah pengurus MTN di cawangan Mazar.
Kami banyak berbual mengenai Couchsurfing, Khairullah dan sedikit sebanyak
tentang budaya di Afghanistan. Pada setiap waktu pasti ada orang yang ke
biliknya untuk berurusan dan beliau sentiasa sibuk. Namun dia tidak mengabaikan
tetamu yang datang dan cuba melayanku sehabis baik. Sempat juga aku solat dan
makan tengah hari disini. Amiry juga menjemputku untuk bermalam di rumahnya
pada hari yang akan datang. Tidak lama kemudia Neda menghubungiku dan
memberitahu yang beliau akan pulang ke kampung untuk bertemu keluarga dan
isterinya. Dan aku harus pulang segara jika mahu mengikutnya. Tidak lama
kemudian aku beransur pulang dengan mengambil kereta sewa menuju arah keluar
dari Blue Mosque sambil bertanyakan “ade kabul?” yang bermaksud menghala ke
Kabul?. Untuk berhenti aku hanya menunjukkan stesyen minyak dan kereta pon
berhenti. Tambang untuk perjalanan 3km adalah AFN20/MYR1. Neda pun tiba tidak
lama kemudian dan kami bergerak keluar dari bandar menuju ke Sulgara di selatan
Mazar-E Sharif. Perjalanan sejauh 50km ini mengambil masa 1 jam lebih dengan
melalui satu pos pemeriksaan tentera Afghanistan. Kampungnya ini aman damai dan
banyak kebun-kebun dan sawah padi di kawasan sekitar. Di sini adalah rumah
bapanya yang didiami oleh ibu bapanya serta isteri Neda. Abangnya yang juga
seorang guru menetap dirumah ini. Aku yang masih sakit perut bertanyakan Neda
dimanakah tandas. Katanya aku perlu ke kebun untuk melepaskan hajat. Aku
kemudian ditemani adik dan sepupunya ke kebun dan seterusnya ke sungai. Sungai
tersebut adalah Darya Bande-Amir. Sungai yang mengalir dari Bande Amir yang
berada pada ketinggian 3000m di pergunungan Hidu-Kush. Pemandangan berhampiran
sungai ini sangat cantik dengan sawah padi berlatar belakangkan gunung-ganang.
Aku yang tidak membawa pakaian lebih terus terjun ke dalam sungai dengan boxer.
Mereka juga terjun sekali denganku dan kagum dengan skil berenangku. Terkejut
juga aku orang kampung ramai yang tidak tahu berenang. Selesai mandi aku terus
menyarung Perahan Tunban dan menuju ke hujung padang untuk melihat perlawanan
bola tampar kampung. Pulang ke rumah kami makan malam bersama dan mula
bersembang bersama abang dan sepupunya. Begitu asyik sehingga menggunakan kamus
dwibahasa. Aku juga menghadiah cenderamata dan nota wang MYR1 sebagai kenangan.
Kataku beliau boleh menunjukkan nota wang yang kalis air ini kepada
murid-muridnya. Kata Neda aku boleh kejutkan adiknya jika mahu ke tandas malam
nanti. Dan ternyata sekitar jam 0200H aku terjaga sakit perut dan mengejutkan
adiknya yang tidur berdekatanku. Aku kemudian ke turun ke bawah dan menuju ke
pam air dan hanya berak berhampiran longkang disitu. Kali ini disertakan dengan
muntah sekali. Setelah selesai aku kembali tidur dan terjaga untuk kali kedua
untuk melayan karenah perutku. Takut juga aku pada waktu itu kerana sesekali
akan terdengar bunyi anjing menyalak.
Pintu masuk dan tempat simpanan kasut
Tabung gergasi
Bangunan utama makam Saidina Ali bin Abi Talib
Masjid Saidina Ali
Perjalanan menuju ke Sulgara
Di pinggir Sungai Bande Amir
Menyaksikan perlawanan bola tampar kampung
Makan malam yang bakal aku keluarkan semula nanti

0 ulasan:
Catat Ulasan