Ahad, 22 Julai 2018

1.0 KHORASAN AFGHANISTAN – TRANSIT

Sehinggalah ke saat akhir aku masih lagi tidak dapat membuat keputusan untuk tempat penginapan semasa berada di New Delhi nanti. Membaca komen-komen negatif di website Agoda.com yang kebanyakkannya menceritakan keadaan hostel yang indah khabar dari rupa selain daripada kotor dan lokasi yang tidak tepat. Aku dijangka tiba sekitar tengah malam dan perlu mengelakkan untuk mengambil risiko sebegini. Aku tiba awal di KLIA2 dan mendaftar masuk seperti biasa. Di ruangan menunggu kelihatan banyak pelancong dari India dan India Malaysia memenuhi ruangan menunggy. Sempat juga berbual dengan seorang lelaki yang bersama rakan-rakannya yang bertujuan ke Kashmir, India. Penerbangan Air Asia ke New Delhi telah mengalami kelewatan selama 1 jam dan aku menganggarkan ketibaan akan sampai lewat dari jam 2300H dan ini bermakna perkhidmatan keretapi ke pusat bandar telah ditutup. Penerbangan selama 5 jam ke New Delhi berjalan lancar dengan tempat duduk hampir penuh. Pesawat Air Asia D7182 selamat mendarat pada jam 2230H. Aku terus mengambil beg galasku dan menuju ke pemeriksaan imigresen. Selepas mengisi Arrival Card, aku menuju ke kaunter E-Visa yang nampak lengang dan hanya berurusan selama 5 minit berbanding kaunter visa manual yang sesak. Balai ketibaan Terminal 3 Indira Gandhi sangatlah kecil dan aku lihat tidak banyak ruang yang disediakan untuk para penumpang transit. Mereka juga tidak boleh mendaftar masuk awal dari 4 jam waktu pelepasan. Penerbangan Kam Air ke Kabul adalah sekitar jam 1300H dan aku perlu mencari tempat untuk tidur. Hampir 1 jam aku cuba untuk tidur di atas kerusi yang berbonggol namun tidak berjaya. Aku terus keluar dari balai ketibaan dan ke pondok teksi untuk ke Aerocity yang jaraknya 5 km dari tempat menunggu. Setibanya di Fox Hotel, pelayan tetamu menyatakan yang harga bilik bermula dari INR6000/MYR350 dan aku cuba untuk meminta diskaun dan pegawainya datang memberikanku harga INR4000/MYR230 berserta sarapan pagi dan shuttle kembali semula ke lapangan terbang. Aku tidak banyak bersoal memandangkan jam sudah menunjukkan jam 0100H dan harganya adalah berpatutan untuk hotel bertaraf 3 bintang. Sebaik sahaja ke bilik, aku terus membersihkan diri, solat dan terus tidur.

Di lobi Foxy Hotel

0 ulasan:

Catat Ulasan