Disebabkan kurang tidur dan keletihan akibat cirit-birit, aku bangun lambat dari biasa. Aku dapat merasakan badanku kelesuan dan tidak bermaya. Hanya aku dan adik Neda di ruang tamu dan kami pergi ke masjid yang berada tidak jauh dari situ untuk ke tandas. Tandas tanah ini hanyalah mempunyai lubang yang dalam dan tidak mempunyai bekalan air paip. Terpaksa aku mengepam air dari luar dan bawanya ke dalam. Mencabar sungguh kehidupan di kampung ni. Dalam fikiran aku cuba positif dan mahu kekal hidrat dan bertenaga kerana aku berada jauh dalam pengembaraan ini. Neda masih lagi tidak muncul-muncul, mungkin kerana mahu menghabiskan masa dengan isterinya yang hanya bertemu dikala hari cuti. Dengan bantuan adiknya, Fahim kami berjalan kaki sejauh 1km untuk ke kedai runcit yang terletak di jalan utama sebelum memasuki kampung ini. Di situ aku memborong air mineral dan juga minuman isotonik/tenaga sebagai bekalan. Setibanya kami di rumah, abang Neda mengajak kami berjalan-jalan. Walaupun tidak memahami apa maksud sebenarnya aku hanya mengikut. Kami berjalan sehingga ke hujung kampung dan bertemu dengan sawah padi dan sampai ke satu pondok kecil. Rupa-rupanya ianya adalah janakuasa hidro elektrik yang kecil yang membekalkan tenaga elektrik ke sebahagian kawasan kampung ini. Bagus juga inisiatif yang mereka ambil sendiri untuk bekalan tenaga eletrik ke rumah. Mereka melakukan pemeriksaan rutin di belting dan juga dinamo selain daripada memastikan tiada sampah tersumbat di turbin air. Air sungai di alirkan ke kawasan sawah padi dan juga untuk menghasilkan tenaga elektrik. Untuk makan tengah hari aku hanya makan sedikit roti dan bersiap ke masjid untuk sembahyang Jumaat. Memandang jarak masjid yang dekat dan tiada aktiviti hari ini aku pergi ke masjid agak awal. Pergi ke tandas dan mengambil wudhu dengan mengepam air dari telaga. Kemudian kelihatan seorang pakcik masuk ke masjid sambil dibahunya terselit senapang AK-47. Kata Neda beliau adalah seperti pengawal keamanan kampung. Khatib membaca khutbah dalam bahasa Pashto. Bahasa kebangsaan Afghanistan adalah bahasa Dari dan Pashto. Jadi tidak hairanlah jika terdapat 2 terjemahan di majalah Kam-Air yang telah aku baca semasa penerbangan dari New Delhi ke Kabul. Pulang ke rumah aku mengajar mereka untuk bermain kad terup. Seronok juga bermain bersama Fahim dan sepupunya. Permainan yang aku ajar mereka adalah Poker. Ianya agak rumit dan kompleks, namun itulah yang menjadikan permainan itu lebih seronok.
Mereka pada usia yang muda mudah untuk menghadam ajaran aku sebentar tadi tentang peraturan dan juga nilai setiap kad di atas dek permainan. Sempat juga kami semua tidur sebentar sebelum mandi sungai pada sebelah petang. Kali ini abang Neda turut sekali terjun ke dalam sungai untuk mandi. Terdapat juga budak-budak kampung lain mandi di sungai ini. Air yang sejuk dan menyegar sangat menyamankan setelah seharian berpanasan. Kami bergerak ke padang bola tampar untuk menyaksikan liga bola tampar kampung. Kawan Neda yang fasih berbahasa Inggeris banyak berbual denganku disini. Katanya beliau dulu bekerja dengan UN sebagai penterjemah. Banyak bantuan daripada luar dan peluang kerja menjadi semakin berkurang sejak Presiden Barack Obama turun dari tampuk kepimpinan katanya. Pada awal kedatangan US ke Afghanistan mereka membawa banyak bantuan, peluang pekerjaan dan perniagaan untuk membantu mereka bertapak di negara ini. Setelah misi mereka selesai dan polisi negara berubah, mereka mula mengurangkan bantuan dan seterusnya mungkin menghentikan operasi disini. Namun sesetengah pengkalan tentera masih lagi aktif pada tahap manning yang minimum. Walaupun fasih berbahasa Inggeris tahap pendidikan hanyalah sehingga sekolah menengah. Dan rata-rata anak-anak di Afghanistan tidak mendapatkan pendidikan asas. Antara sebab utama adalah faktor duit. Jadi mereka tidak mempunyai ilmu dan pengetahuan yang benar untuk terus hidup. Hanya terikut-ikut dengan keadaan sekeliling. Menghampiri Maghrib kami pulang ke rumah. Aku hanya makan sedikit sahaja untuk alas perut. Bapa Neda memberitahuku untuk makan lebih lagi. Ini adalah kerana mereka sangat menghargai dan melayani tetamu. Kami kemudian bergembira lagi dengan bermain kad sebelum masuk tidur. Kehidupan di kampung adalah sangat konservatif dimana isteri akan berpindah ke rumah besar suaminya dan menolong keluarga suaminya dalam urusan harian. Kerja-kerja mengangkut air yang berat juga dilihat dilakukan mereka, sungguh besar jiwa mereka taat kepada suami. Itu yang nampak di mata, yang terselindung disebalik hati tiada siapa yang tahu.
Sawah padi di kampung
Memeriksa tali sawat dan dinamo
Senja menjelang
Beransur pulang ke rumah
Kedamaian
0 ulasan:
Catat Ulasan