Khamis, 19 Julai 2018

4.0 KHORASAN AFGHANISTAN – GRAVEYARD OF EMPIRES

Pagi ini aku bangun bersiap dan sarapan pagi bersama Abdul Bari. Mohib tidak bekerja pada hari ini dan akan bersamaku untuk ke Panjshir Valley. Kami semua bergerak sekali menaiki kereta sewa dan berhenti berhampiran Makam Timur Shah Duranni. Di sini bazaarnya banyak menjual barangan terpakai. Aku ingin membeli sandal yang baru kerana kedua-dua belah kakiku melecet kerana sandal yang aku pakai sekarang mungkin tidak sesuai. Kata Mohib kami perlu cepat kalau mahu ke sana kerana ia mengambil masa yang lama. Tiada sistem pengangkutan yang sistematik disini terutamanya di dalam kawasan bandar. Bas-bas kebanyakkannya untuk perjalanan yang jauh dan mengambil masa yang panjang kerana sistem muka bumi dan keadaan jalan raya yang tidak sempurna. Mohib mengambil kereta sewa untuk ditempah khas bagi perjalanan pergi dan balik ke Panjshir. Sepanjang perjalanan kelihatan banyak perkampungan dan ladang penduduk setempat. Disebahagian kawasan terdapat tinggalan perang seperti kereta kebal dan perisai yang digunakan oleh tentera Soviet dahulu. Akhirnya setelah 4 jam kami tiba di Panjshir yang jaraknya hanyalah 160km namun disebabkan kesesakan trafik di bandar-bandar kecil serta 2 pos kawalan yang kami lalui membuatkannya lebih banyak masa yang diperlukan. Lembah ini telah menyaksikan perang diantara Soviet/Afghanistan melawan Mujahidin diantara 1980-85 dan Taliban melawan Northern Alliance pada masa 1996-2001. Kedua-dua pihak lawan gagal menakhluki kawasan lembah ini yang diketuai oleh Commander Massoud. Jadi tidak hairanlah mengapa banyak gambar beliau diletakkan dimana-mana di sekitar kawasan ini dan juga di bandar Kabul. Mereka menganggapnya sebagai seorang hero. Lembah ini juga adalah tempat perlombongan perak dan batu permata pada suatu masa dahulu. Nama Panjshir itu sendiri bermaksud 5 Singa yang merujuk kepada 5 Wali yang pernah mendiami lembah ini. Hentian pertama kami selepas perjalanan yang memenatkan ini adalah Makam Massoud. Beliau telah meninggal dunia akibat serangan berani mati yang dirancang oleh Taliban/Al-Qaeda pada Sept 2001 iaitu beberapa hari sebelum terjadinya tragedi besar di World Trade Center di USA. Serba sedikit tentang sejarah hidupnya adalah dilahirkan dan dibesarkan di lembah ini dari etnik Tajik Sunni Muslim. Nama sebenarnya Ahmad Shah Massoud. Menyertai Jamiat Islami dalam melawan Soviet Union/Afghanistan dan United Islamic Front/Northern Alliance dalam memerangi Taliban/Al-Qaeda. Rumusan pendek mengenai sejarah Afghanistan adalah sekitar tahun 1800-800SM, agama Zoroastrianism dipercayai telah berada di sini. 600SM kerajaan Achaemenids Parsi menjatuhkan kerajaan Medes. 300SM Alexander the Great mula menakhluki diikuti Greco-Bactrians. Di awal tahun 100an dikuasai oleh Kushan Empire yang meluaskan pengaruh Hindu ke kawasan ini. Buktinya adalah patung besar Buddha Bamiyan sebelum dimusnahkan oleh Taliban. Pada abad ke-3 diganti oleh Sassanid dan kemudiannya oleh Turk Shahi sekitar 700an. Islam mula datang ke Afghanistan melalui Herat sekitar 600an dan penyebaran Islam lebih meluas selepas penakhlukan oleh Saffarid Muslims sekitar 800an. Ghaznavids muncul 1000an kemudiannya Ghurids yang telah membina Minaret of Jam di wilayah Ghor. Genghis Khan mula menguasai 1200an kemudiannya Timurid pada lewat 1300an. Empayar Mughal pada 1500an. Diantara 1600-1800 Uzbek Khanate Bukhara, Iranian Safavids, and Indian Mughals telah menguasai empayar ini. Sebelum 1900an bahagian barat laut Afghanistan telah dikenali sebagai Khorasan dengan Herat dan Balkh menjadi salah satu kota penting. Afghanistan itu terbentuk hasil daripada diantara bahagian penting Khorasan dan Hindustan. Empayar Hotak dan Duranni menguasai diantara 1700-1800an sebelum British mula meluaskan pengaruhnya ke sini pada awal 1800an. 1978-1992 menyaksikan peperangan diantara kerajaan pertama Afghanistan selepas pemusnahan sistem monarki diantara Soviet Union dengan Mujahidin. 1989-1996 perang saudara diantara panglima perang yang akhirnya dikuasai oleh Taliban. 1996-2001 perang diantara Taliban dan Northern Alliance (iaitu gabungan parti-parti yang menentang Taliban). Pada masa inilah USA datang untuk membantu Northern Alliance untuk memerangi Taliban/Al-Qaeda. Selepas 2002, Hamid Karzai telah dilantik menjadi Presiden. Namun sehingga ke hari ini Taliban masih tidak lumpuh sepenuhnya dan menguasai sebahagian kawasan di Afghanistan.  

Kami terus berjalan-jalan masuk ke kompleks makam dan menziarahi makam sebelum bersiar-siar ke kawasan sekitar. Pemandangan yang cantik dengan lembah menghijau berlatar belakangkan gunung yang tandus. Sungai Panjshir mengalir laju menjadi sumber air utama bagi penduduk di kawasan ini. Kata Mohib sejak projek empangan dibina air sungai ini sudah mula bertukar warna dari warna asalnya yang kebiruan. Mohib juga mengambil video pendek tentang diriku untuk dihantar ke media sosial. Ujar beliau aku adalah seorang yang gila kerana tiada orang yang mahu datang ke Afghanistan atas tujuan melancong. Kami kemudiannya turun ke Sungai Panjshir untuk mandi. Aku yang pada mulanya agak segan namun kalah dengan ajakkan Mohib. Airnya sejuk dan menyegarkan. Kami kemudian mengambil buah mulberi segar yang pokoknya berhampiran tebing sungai. Nikmat yang tak terkata membuatkan terus ke bawah pokok untuk menyambut buah-buah yang berguguran sebaik sahaja pemandu kereta sewa kami menggoncangkan dahan-dahan pokok itu. Aku ketawa kegembiraan melihat buah mulberi yang sukar didapati akhinrya bertaburan di atas rumput. Mohib kemudian mula memotong melon yang dibeli di tepi jalan sebagai makan tengah hari. Inilah namanya pengalaman manis dengan rasa yang manis melon. Setelah kesejukkan mandi kami bersiap dan sembahyang Zuhur di tebing sungai. Dalam perjalanan balik Mohib bertanyakan kepadaku samaada aku mahu tinggal disini? Jawabku sudah tentu ya. Kumpulkan sedikit duit, beli sebidang tanah bina rumah dan hidup gembira disini. Aku dapat rasakan ketenangannya semasa berada lembah ini. Kami berhenti sebentar dalam perjalanan pulang ke Kabul untuk makan Sheer Yakh atau Kulfi iaitu aiskrim traditional yang popular. Ianya adalah susu lembu yang dicampurkan pemanis dan disejukkan secara manual di dalam bekas besi yang besar. Akhirnya kami selamat tiba di bandar Kabul dan membayar kereta sewa pada harga AFN1000/MYR60. Tambang kereta sewa sememangnya murah disini untuk perjalanan yang jauh. Kami kemudiannya menyambung perjalanan pulang dan selamat tiba di Kampung Alukhel. Ketibaanku kali ini disambut abangnya Khairullah yang bekerja sebagai HR di sebuah syarikat swasta. Kami banyak berbual mengenai budaya dan cara hidup orang Afghan yang kebanyakkannya adalah dari bangsa Pashtun dan ikuti Tajiks. Kebanyakkan orang muda menyokong prinsip kerajaan sekarang dimana mengambil nasihat dan khidmat dari luar, US dan Eropah terutamanya. Walhal sebahagian dari golongan pertengahan dan tua masih menyokong Taliban dimana mereka tidak mahu bekerjasama dengan pihak kufar. Jadi tidak hairanlah kenapa Taliban masih lagi berkuasa sehingga ke hari ini. Katanya taraf hidup di sini sangat tinggi dengan gaji yang sangat murah. Jadi rakyat banyak terkesan dan mengakibatkan kebanyakkan orang dari luar Kabul berpindah ke sini untuk mencari pekerjaan. Bandar ini telah menjadi sangat padat dengan fasiliti dan kemudahan yang serba kekurangan. Beliau banyak mengajakku untuk berjalan-jalan ke kawasan sekitar berhampiran Kabul dan yang paling cantik katanya adalah Badakhshan iaitu wilayah hujung Afghanistan yang bersempadan dengan China, Pakistan dan Tajikistan. Di sini jugalah terdapatnya Wakhan Corridor yang perjanjiannya ditandatangani sekitar 1900an. Ujarnya lagi para penduduk dikawasan ini tidak mengetahui langsung tentang perang yang telah berlaku di dalam negara. Ini kerana mereka hanya sibuk dengan kedamaian dan kebahagiaan hidup mereka sendiri ditambah pula dengan kawasan yang bergunung-ganang. Kami meneruskan perbincangan sehingga makan malam sebelum masuk tidur. Sesungguhnya Afghanistan mempunyai daerah-daerah yang mendamaikan dengan akses yang sangat terhad. Sangat memerlukan seseorang lokal untuk terus meneroka dan teroka. 

Pemandangan menuju ke Panjshir Valley

Makam Massoud

Papan tanda pembinaan

Pemandu kami yang sedang makan Mulberi

Syurga Mulberi

Tempat kami berkelah

Sungai Panjshir

Pembuatan Kulfi secara manual

Aiskrim Kulfi

0 ulasan:

Catat Ulasan