Rabu, 18 Julai 2018

5.0 KHORASAN AFGHANISTAN – KABUL'S THUNDER

Pagi ini aku bergerak keluar bersama Mohib dan Khairullah. Dia bertanyakan tentang langkahku yang tidak seperti kebiasaannya. Aku hanya menjawab yang kakiku melepuh. Walaupun semalam aku kurang berjalan namun kesan melepuh semakin teruk. Mohib dan aku berhenti berhampiran bazaar dan aku meneruskan perjalanan ke Makam Timurid untuk mencari semula tempat menjual sandal terpakai. Akhirnya aku berjaya mendapatkan mendapatkan sandal North Face yang lebih selesa dengan harga AFN400/MYR20. Sandal lama aku berikan kepada pakcik untuk dia jualkan, tersenyum dia. Aku terus berjalan menuju ke Masjid Eid Gah. Ianya dibina oleh pemerintah Empayar Mughal di era kegemilangan empayar tersebut. Ianya dijadikan tempat untuk sembahyang Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha selain daripada majlis-majlis kebesaran kerajaan. Sebaik sahaja aku sampai kelihatan ianya sedang mengalami proses rehabilitasi dan pembinaan semula yang besar. Aku masuk ke dalam mula bertemu para pekerja dan jurutera yang terlibat dalam program ini namun penguasaan bahasa mereka amat terhad. Aku keluar masuk dari pejabat kontena mereka satu persatu untuk bersalaman dengan mereka. Kesemua muka tidak ceria seolah-olah tidak menyukai kehadiranku di sini. Tidak lama kemudian datang seorang pakcik menjerit-jerit dan menghalau aku keluar. Kemudian keluarlah dari kalangan mereka seorang pemuda datang memberitahu bahawa kebanyakkan warga tua tidak memahami tentang kedatangan aku yang hanya untuk ziarah. Dengan perasaan hampa aku segera keluar dan mengambil gambar dari jauh. Perjalanan diteruskan ke Muzium Periuk Api dengan menelusuri hiruk pikuk dan kesesakan bandar Kabul ini. Cuaca panas kering dan berdebu membuatkan perjalanan kaki tampak sukar. Muzium ini nampaknya seakan-akan sudah diubah menjadi pejabat kerana terdapat askar pengawal di bahagian hadapan. Aku tidak mahu mengambil risiko terus pergi meninggalkan tempat tersebut. Qalle Bala Hissar juga dikawal rapi askar pengawal dengan kawat duri mengelilingi pagar. Ianya adalah kubu lama yang dipercayai dibina sekitar 500an. Sangat menarik untuk dilawati namun bukan rezeki aku kali ini. Kekecewaan sejak pagi tadi membuatkan aku hampir putus asa dan kali ini aku akan terus mencuba untuk ke Babur Bargh dengan menaiki teksi kuning dengan harga AFN300/MYR17 untuk perjalanan sejauh 6km. Sebaik sahaja sampai aku terus beratur dan hanya membayar AFN20/MYR1 untuk harga lokal berbanding harga pelancong sekitar AFN150. Mungkin kerana melihat mirip mukaku seakan-akan penduduk di sini. Aku kembali mengingati kata-kata Mohib dan Khairullah yang mengatakan mukaku mirip seperti kaum Hazara iaitu kaum minoriti Syiah di sini. Sebaik sahaja masuk ke dalam Taman Babur kelihatan ramai penduduk tempatan sedang bersantai setiap pelusuk taman ini. Terutamanya di bawah pohon yang rendang. Aku mengambil peluang ini untuk berehat sebentar di sini sambil menikmati pemandangan yang menghijau. Kemudian berjalan naik mendaki tangga ke atas menuju ke Makam Babur dan ahli keluarganya. Terdapat juga masjid kecil berdekatan makam. Kemudian ke surau berhampiran pintu keluar sebelum tidur sebentar di dalamnya.

Tidurku diganggu oleh panggilan daripada Mohib. Suaranya cemas bertanyakan aku di mana. Aku hanya menjawab di Babur Bagh. Katanya terdapat tiga letupan bom dan beliau bersyukur yang aku jauh dari tempat kejadian. Rupa-rupanya bunyi guruh di siang hari dengan langit cerah itu sebenarnya adalah bunyi letupan bom. Aku kemudian berjalan menuju Wazir Akhbar Khan kerana waktu untuk Mohib pulang dari kerja hanya tinggal beberapa jam lagi. Kerana keletihan dan kepanatan aku sekali lagi berhenti di Masjid Hazrati Nabi/Mohamadia untuk berehat dan tidur. Perjalanan sejauh 6km akhirnya berjaya dihabiskan dalam masa 2 jam. Aku bertemu Mohib dan terus ke pejabat agensi pelancongan untuk membeli tiket penerbangan ke Mazar-E Sharif. Di pejabat tersebut kami berbincang mengenai pilihan bas atau kapal terbang ke Mazar. Dan akhir sekali aku akur dengan kehendaknya yang mahukan keselamatan aku sebagai keutamaan berbanding kos. Tiket penerbangan sehala berharga AFN6100/MYR330 untuk tujuan ke Mazar dibeli secara tunai kerana urusan kad kredit disini tidak sah dan keadaannya sama seperti di Iran. Kami kemudian berhenti untuk membeli jus lobak dan burger Afghan sebelum pulang ke rumah. Kami singgah sebentar di pejabat sepupunya yang berada di seberang jalan kampungnya. Kesemuanya sangat ramah dan menjemput aku untuk ke rumah mereka. Mereka juga sangat gembira apabila mendengar yang setiap kali Jumaat, khatib akan mendoakan kesejahteraan rakyat Afghanistan. Walaupun dengan penguasaan bahasa Inggeris yang terhad aku dapat berkomunikasi dengan baik kerana Mohib berada disisi untuk menterjemahkannya. Menghampiri waktu Maghrib kami beransur pulang ke rumah. Kali ini ketibaanku disambut oleh bapanya, Najibullah dan rakannya Abdul Bari yang banyak menceritakan tentang visanya ke India yang gagal kerana beliau meletakkan Kashmir sebagai salah satu tempat tujuan pada masa lampau. Dengan penampilannya yang berjanggut panjang sudah tentu ambassador sangat skeptikal dan terus menafikan visanya ke India. Bapanya baru pulang dari Pakistan setelah selesai urusan di hospital untuk merawati penyakit isteri keduanya itu. Malam itu kami banyak bersembang dan makanan hari ini adalah yang paling banyak dan besar kerana bapanya berada di rumah. Antara topik perbualan adalah mengenai peluang perniagaan di antara Malaysia dan Afghanistan selain daripada memintaku nasihatkan Mohib untuk berkahwin awal kerana usianya yang sudah semakin meningkat. Kami tidak berkesempatan untuk memenuhi pelawaan sepupunya ke rumah malam ini. Khairullah juga memberikan nombor telefon rakannya di Mazar dan mengaturkan pertemuan kami di sana. Sepanjang beberapa hari aku tinggal di sini, tidak ada satu orang saudara perempuan mereka naik ke bilik tetamu. Mereka sangat menjaga hubungan antara lelaki dan perempuan di Afghanistan. Sebelum masuk tidur aku memberitahu Neda hostku di Mazar akan kedatanganku pada esok hari. Dan inilah malam terakhir di Kabul untuk aku nikmati.

Sekitar deretan kedai-kedai di Kabul

Eid Gah selepas kena marah dengan pakcik

Bala Hissar

Tempat berehat di Babur Bagh

Warga tempatan berkelah di Babur Bagh

Makam Babur dan ahli keluarganya

Masjid Shah Jahan

Masjid Hazrati Nabi Mohamadia 

0 ulasan:

Catat Ulasan