Sabtu, 21 Julai 2018

2.0 KHORASAN AFGHANISTAN – MOHIBULLAH


Aku terbangun dari tidur sekitar jam 0800H dengan kepalaku sedikit pening. Aku menyelak langsir untuk membiarkan cahaya matahari masuk ke bilik. Merasakan masa masih lagi awal, aku mengambil telefonku dan bermain permainan online MLBB. Tidak lama kemudian aku pun bersiap-siap untuk sarapan pagi di lobi utama. Di cafe, aku makan sepuas-puasnya sebagai bekalan untuk tengah hari nanti. Antara menu yang disajikan adalah roti canai, tosai, dan capati. Tidak banyak berubah seperti makanan di kedai mamak di Malaysia. Ada juga manisan dan pelbagai kuah yang berasaskan sayuran. Setelah kenyang, aku berehat seketika di lobi sekadar memerhatikan gelagat warga tempatan yang menginap di hotel ini. Kemudian naik ke bilik dan bersiap-siap dan menuju ke lapangan terbang. Aku kembali semula ke Terminal 3 seterusnya mencari kaunter Kam Air untuk mendaftar masuk. Kelihatan ramai penumpang sudah beratur bersama barang-barang yang telah dibeli di sini. Kebanyakkan mereka adalah warganegara Afghanistan yang ke sini untuk bercuti dan membeli-belah dan pulang semula ke Kabul. Selesai mendaftar masuk aku menuju ke pemeriksaan imigresen India dan seterusnya menanti di ruangan menunggu. Perasaanku sentiasa berdebar-debar memikirikan tentang apakah yang bakal menantiku di Afghanistan. Pelepasan pesawat Kam Air lewat 30 minit dari waktu jadual. Pesawat ini kelihatan usang seperti mana bacaanku tentang komen para penumpang di internet. Sempat juga aku melelapkan mata sebelum menikmati hidangan yang disajikan oleh krew kapal. Makanannya adalah berupa nasi, ayam gulai dan roti. Akhirnya pesawat selamat mendarat di Lapangan Terbang Hamid Karzai, Kabul setelah 2 jam perjalanan. Kelihatan banyak helikopter tentera di letakkan berhampiran hangar berdekatan. Pesawat-pesawat komersil dari Emirates, Spice India dan Flydubai juga kelihatan di parking bay. Di kaunter imegresen, pegawai bertugas bertanyakan tentang visa Afghanistan di passportku yang tidak dicop. Alhamdulillah beliau mempermudahkan urusan setelah aku memberitahu kedatangan ke sini adalah untuk menziarahi kawan. 

Aku terus melangkah kaki keluar dari terminal antarabangsa dan menuju ke terminal domestik yang berada di bangunan sebelah. Di sini aku membeli simcard Roshan yang berharga USD5 dari kedai serbaneka dan segera menghubungi Mohibullah Couchsurfing untuk memberitahu ketibaanku disini. Aku kemudiannya menukarkan wang USD100 kepada matawang disini iaitu Afghani. Kadar tukaran adalah AFN70 untuk USD1. Keadaan cuaca disini sememangnya panas dan kering dengan suhu sekitar 35deg C di altitud 1700m dari aras laut. Tidak lama kemudian Mohibullah pun sampai menjemputku. Kami berjalan keluar dari lapangan terbang dan menuju ke Dataran Masoud untuk mengambil kereta sewa pulang ke rumahnya. Keadaan di jalanan agak berdebu dengan trafik yang begitu sesak. Kebanyakkan bangunan kerajaan, kedutaan dan bank telah dibina tembok yang sangat tinggi disertai dengan kawat-kawat duri. Sangkaanku ianya adalah penjara namun Mohibullah berkata sebaliknya. Kami menuju ke rumah Mohibullah di Kampung Alukhel yang terletak 10km dari pusat bandar. Keadaan jalan tanah yang masih dalam pembinaan membuatkan kami terpaksa menaikkan tingkap kereta untuk mengelakkan debu yang berterbangan masuk ke dalam. Setelah hampir 30 minit kami pun berhenti di tepi jalan dan berjalan kaki sejauh 500 meter melalui kebun-kebun dan rumah orang kampung sebelum sampai di rumahnya. Rumahnya adalah 2 tingkat dan sangat besar. Bilik tetamu terletak di bahagian atas dilengkapi dengan tandas dan sangat luas. Di sini kami berkesempatan untuk berbual dan bertukar fikiran sambil menikmati air manisan yang dihidangnya. Beberapa tahun yang lalu beliau belajar di Universiti Islam Antarabangsa di Gombak dan telah berjaya menamatkan Ijazah Perniagaan. Dan sekarang beliau sedang bekerja dengan sebuah bank di bandar. Memandangkan gaji yang rendah di negara ini beliau berhajat untuk mencari peluang-peluang lain di luar negara. Bapanya dahulu adalah bekas pejuang Mujahidin yang berperang dengan Soviet Union semasa perang sekitar 1980an. Mereka sekeluarga telah berpindah sementara ke Pakistan pada waktu tersebut sebelum pulang kembali ke sini beberapa tahun lalu. Setelah kami solat Maghrib, sahabat bapanya yang datang dari Kandahar tiba untuk bermalam di sini. Adiknya, Abu Zhar datang membawa makan malam yang lazat berupa nasi, sayur bendi goreng dan dough ataupun air yogurt. Mereka sempat juga berbual denganku dengan bantuan terjemahan dari Mohibullah. Antara soalannya adalah mengapa datang ke sini serta sedikit sebanyak tentang kehidupanku di Malaysia. Tidak lama kemudian aku pun tidur di ruang tamu yang luas dengan hanya beralaskan karpet dan bantal.


Mendaftar masuk di kaunter

RQ 916

Pemandangan aerial beberapa minit sebelum mendarat

Selamat sampai di Kabul!

Rumah keluarga Mohibullah

0 ulasan:

Catat Ulasan