Pagi ini kami bertolak dari kampung sekitar
jam 0600H untuk pulang ke Mazar. Sempat juga Neda membantu kereta yang tersadai
ditepi jalan kerana masalah bateri kereta yang lemah. Di perjalanan pulang kami
berhenti di Balkh. Ianya terletak kira-kira 20km dari Mazar-E Sharif. Bandar
ini adalah sangat purba yang menjadi pusat kepada agama Buddhist, Zoroastrian
dan Islam selain daripada menjadi bandar yang penting buat Greater Khorasan.
Kami berjalan di sekitar taman dan melawat Masjid Sabz yang dibina pada zaman
Empayar Timurid. Kebanyakkan bahagian masjid telah rosak teruk semasa zaman
perang Soviet. Tidak jauh dari situ terdapat Makam Rabia Balkhi. Beliau adalah
penyair terkenal pada zaman Samanid, 800-900an. Keadaan jalan raya agak sesak
kerana orang ramai berpusu-pusu untuk memulakan kerja di pusat bandar. Neda kemudian
meninggalkan aku di stesyen minyaknya dan terus bergerak ke tempat kerjanya.
Aku mengambil kesempatan untuk mandi dan membasuh baju. Sempat juga aku
menghubungi keluargaku dengan video call setelah seminggu di sini. Di pejabat
inilah terdapat satu senapang automatik tersimpan di sebalik almari. Neda
menunjukkan padaku tempoh hari. Katanya senjata ini sangat diperlukan untuk
melindungi diri dan perniagaan ini yang banyak menerima aliran wang setiap
hari. Teringat juga kata-kata Mohib sambil menunjukkan AK-47 dirumahnya.
Ujarnya memiliki senjata api di rumah adalah satu kesalahan di sisi
undang-undang. Dan tidak memilikinya di Afghanistan mungkin satu kesilapan
besar. Menghampiri waktu Zuhur aku membawa diri ke Masjid Biru untuk solat dan
kemudiannya menziarahi makam. Berjalan-jalan di sekitar bazaar minum perahan
air limau dan pulang semula sambil menanti panggilan Amiry. Beliau mengajak aku
untuk tidur di rumahnya malam ini. Aku sampai tertidur menantinya sehinggalah
sampai mesej meminta aku untuk datang ke rumahnya selepas beberapa jam. Amiry
memberitahu untuk pergi ke “shar” dan kemudian mengambil teksi yang lain disebelah
selatan masjid. Rumahnya adalah di kawasan Khalid Ibn Walid. Alhamdulillah aku
selamat sampai ke rumahnya walaupun tersesat seketika dikala langit yang sudah
mula gelap. Amiry menunggu berhampiran jalan dan membawaku masuk ke kawasan
rumahnya. Rumahnya adalah sebuah pangsapuri 4 tingkat. Nampak seperti baru
dibina dan sangat cantik. Karpetnya sangat selesa dan tebal. Aku boleh katakan
yang rumahnya ini adalah yang termewah pernah aku lawati di Afghanistan. Katanya
rumah ini dibina dengan harga USD90000 dan beliau mereka bentuk rumah ini
sendiri. Ruang tamu direka khas untuk mengasingkan keluarga dan tetamu. Jadi
isterinya boleh bebas ke mana-mana di rumahnya walaupun tetamu hadir ke rumah
mereka. Anak perempuan dan anak lelakinya ada bermain-main di ruang tamu dan masuk
tidak lama kemudian ketika kami mahu makan malam. Tambahnya lagi isterinya
sedang mengandung sama keadaanya seperti isteriku di Malaysia. Makanannya
ringkas dan tidak terlalu banyak. Amiry banyak berkongsi tentang budaya
masyarakat disini. Antaranya adalah mereka suka untuk membazir atas alasan
tetamu dan sarapan pagi selalunya tidak diambil kerana masih kekenyangan
daripada makan malam. Namun fikirannya tidak sama dan hanya memberikan sekadar
keperluan. Beliau juga memberi aku ubat cirit yang lain setelah aku menunjukkan
ubat yang dibeli Neda tempoh hari. Katanya terdapat farmasi yang menjual ubat yang
berkualiti rendah dan kurang efektif. Banyak yang kami bualkan malam ini
berfokuskan tentang asas utama agama Islam itu sendiri dan tujuan hidup dan kaitannya
antara tubuh manusia dan jiwa. Beliau seorang yang terpelajar banyak
mengeluarkan ayat-ayat Al-Quran sebagai rujukan perbincangan. Aku juga
menceritakan tentang bagaimana aku boleh sampai ke Afghanistan dan tujuan
pengembaraanku ini. Malam ini aku tidur beralaskan karpet mahal, tersenyum aku
seorang diri dengan nikmat dan rezeki yang telah Allah kurniakan sepanjang
pengembaraan ini.
Masjid Hijau
Makam Rabia Balkhi
Sekitar bazaar bahagian restoran
Sekitar bazaar
Di kawasan luar pagar masjid
Makan malam di rumah Amiry
0 ulasan:
Catat Ulasan