Jumaat, 20 Julai 2018

3.0 KHORASAN AFGHANISTAN – KABUL

Fajar sudah pun menyingsing seawal jam 0500H membuat suasana di bilik tetamu menjadi cerah. Mata yang celik tidak mampu lagi untuk dipejam lagi. Setelah menyiapkan dari kami bergerak keluar ke bandar Kabul dengan menanti kereta sewa di tepi jalan besar. Aliran trafik di pagi hari agak sesak dengan orang berpusu-pusu ke tempat kerja. Akhirnya kami berhenti di Majid Mall dan berpecah membawa haluan masing-masing. Mohibullah berpesan kepadaku untuk menghubunginya jika terdapat sebarang masalah. Dengan panduan aplikasi Maps.me aku melalui Butcher Street untuk ke Bibi Mahroo Park. Orang kebanyakkan di sini nampaknya tidak mempedulikan penampilan aku yang sama seperti mereka. Mohibullah meminjamkanku Perahan Tunban iaitu pakaian kebiasaan yang dipakai oleh bangsa Pashtun disini. Dengan erti lain mereka seolah-olah menganggapku seperti warga tempatan, dan ini adalah satu kelebihan untukku bebas bergerak kemana sahaja tanpa mendapat perhatian. Walaupun begitu aku sedikit cuak memerhatikan terdapat banyak pondok kawalan keselamatan di simpang-simpang utama. Pastinya aku tidak mahu ditahan dan disoal-siasat oleh pasukan tentera Afghanistan. Aku kemudian membeli sedikit roti dan air soya sebagai sarapan sebelum mendaki bukit Bibi Mahro. Tercungap-cungap juga aku untuk sampai ke puncak bukit namun ianya berbaloi untuk menikmati pemandangan hampir keseluruhan bandar Kabul. Di bukit ini terdapat sebuah kolam renang yang telah dijadikan tempat Taliban menjalankan hukuman bunuh sewaktu zaman pemerintahan mereka. Bandar Kabul juga terdapat beberapa Airship yang kata Mohibullah dilengkapi kamera pengawasan untuk memantau aktiviti dan keselamatan di sini. Kerap kali aku mendengar deruman helikopter jenis Chinook yang bergerak aktif di ruang udara Kabul. Sempat juga aku menyapa Karim, iaitu jurufoto yang sedang santai di sini sambil bermain karom bersama dengan temannya. Mereka akan menawarkan khidmat mengambil foto kepada para pengunjung dengan bayaran sekeping gambar dengan harga AFN10. Sedikit sebanyak dapat juga aku berinteraksi dengannya walaupun beliau tidak fasih berbahasa Inggeris. Setelah puas mengambil gambar dan bersantai disini aku pun turun menuju ke Chicken Street.

Di sini adalah tempat yang popular untuk membeli barang antik dan cenderamata mewah. Dengan perut yang lapar aku berhenti di sebuah gerai di sini untuk menikmati Bulani dan Samosa sekadar mengalas perut. Pos kawalan keselamatan dilihat semakin banyak di kawasan pusat bandar terutama bangunan-bangunan rasmi kerajaan dan kedutaan. Ini adalah kerana kawasan-kawasan ini sering menjadi sasaran pengganas. Dan laluan perjalanan aku akan sentiasa untuk mengelakkan dari melalui kawasan-kawasan ‘panas’ ini. Dengan cuaca yang panas dan kering, aku mengingatkan diriku untuk minum dengan lebih kerap untuk kekal hidrat. Perjalananku diteruskan ke Masjid Shah-Do Shamshira dengan menaiki teksi kuning memandangkan aku keletihan berjalan. Untuk perjalanan sejauh 2.5km aku perlu membayar AFN250 dan ianya sangat murah. Masjid Shah-Do Shamshira telah dibina sekitar 1920an sewaktu pemerintahan Amanullah Khan dan rekabentuknya sama seperti Masjid Ortakoy di Istanbul. Bayaran yang minima diperlukan untuk memasuki tandas masjid dan ianya adalah kebiasaan disini. Airnya sejuk sungguh menyegarkan sewaktu aku mengambil wudhu. Setelah selesai solat Zuhur, aku menuju ke bazar di sepanjang Darya E-Kabul iaitu Sungai Kabul. Antara yang dijual disini adalah barangan keperluan harian, pakaian dan makanan. Terdapat juga orang persendirian yang menukarkan wang di satu bahagian lain. Bazar yang sesak dengan warga tempatan membuatkan aku asyik merakamkan gelagat mereka dan menikmati suasana di sini. Aku cuba untuk memasuki Makam Timur Shah Duranni yang berdekatan bazar namun gagal kerana telah ditutup kepada lawatan orang ramai. Timur Shah Durrani adalah pemerintah Kerajaan Duranni sekitar tahun 1750an yang menjadikan Kabul sebagai ibu negara Afghanistan. Sempat juga aku berhenti untuk minum perahan air limau sebelum meneruskan langkah kaki ke Ka Faroshi Bird Market.

Di sini terdapat pelbagai jenis burung yang dijual dan inilah pasar burung terbesar yang pernah ku lawati. Sesekali aku membersihkan hidung untuk membuang bulu-bulu burung yang berterbangan masuk ke rongga hidungku. Naweed Couchsurfing menghantar pesanan untuk berjumpa sekitar Majid Mall dan aku segera ke sana. Hampir 30 minit juga aku menantinya sebelum kami masuk ke cafe berhampiran. Beliau adalah seorang doktor dan sedang menyambung Ijazah Sarjana untuk bidang kepakaran kedoktoran. Mohibullah juga sampai tidak lama kemudian dan kami pun terus berjalan ke Dataran Masoud untuk mengambil kereta sewa. Kakiku teruk melepuh dan melecet akibat sandal yang sentiasa berpeluh dan bergesel dengan kulit. Sempat juga kami berhenti di pejabat agensi pelancongan untuk memeriksa harga tiket penerbangan Kabul ke Mazar-E Sharif yang harganya berlegar-legar sekitar AFN5500 oleh Kam Air. Mohibullah sangat menyarankan aku untuk mengambil penerbangan ke Mazar atas faktor keselamatan berbanding bas. Di jalan utama kelihatan trafik sangat sesak sepertimana keadaan pada pagi tadi. Sebaik sahaja tiba dirumah, aku dihidangkan air sirap dan buah apricot segar. Inilah kali pertama aku menikmati buah apricot segar kerana kebiasaannya ianya telah dikeringkan. Kami menanti sahabat bapanya, Abdul Bari sebelum menikmati juadah makan malam. Malam ini topik perbincangan bersama Mohibullah adalah sedikit berat berkisar tentang keadaan geopolitik dunia. Abdul Bari juga banyak bertanyakan kepadaku tentang kaedah-kaedah pertanian yang biasa dipraktikkan di Malaysia kerana beliau ingin mempraktikkannya di Kandahar. Dan juga soalan mengenai penggalian telaga air untuk tanamannya sambil menunjukkan gambar tanah beliau. Aku juga berkongsi akan gambar-gambar tentang diriku yang terdapat di dalam telefon bimbit untuk menghangatkan lagi topik perbincangan. Abu Zhar yang tekun mendengar dari jauh membawa chai untuk kami nikmati sambil bersembang sebelum masuk tidur.

Menanti kereta sewa untuk ke bandar

Bersama Karim di Bibi Mahroo Park

Pemandangan bandar Kabul

Di jalanan sekitar Chicken Street

Masjid Shah-Do Shamshira

Masjid Shah-Do Shamshira

Kabul Bazaar

Ka Faroshi Bird Market

Pulang ke rumah Mohib

0 ulasan:

Catat Ulasan