Kedatangan Tolwak pada Ramadhan yang lalu seakan-akan memberikan satu petunjuk untuk aku menjelajahi bumi Afghanistan yang tidak pernah terlintas dalam mimpi-mimpiku. Beliau yang menginap di rumahku beberapa malam melalui aplikasi Couchsurfing adalah berbangsa Pashtun dan berasal dari Afghanistan. Bapanya adalah bekas pejuang Mujahidin yang telah bertempur dengan tentera Soviet Union sekitar tahun 1980an. Setelah perang tamat, bapanya mengambil keputusan untuk berhijrah ke Perancis dan meneruskan kehidupan di sana. Sepanjang hidupnya hanya 2 kali beliau pulang ke Afghanistan, iaitu sekitar 3 tahun lepas dan pada usia remajanya. Tolwak banyak menceritakan tentang asal usulnya dan keadaan semasa di Afghanistan. Cerita demi cerita diselang-selikan dengan gambar di telefon bimbitnya membuatkan aku semakin teruja untuk melihat dan merasai pengalaman sebenar di sana. Keluarganya di Mazari Sharif dan Kabul sangat berbesar hati untuk menyambut kedatangan para tetamu. Tambahnya lagi, sudah menjadi adat mereka untuk memuliakan tetamu sehinggakan sanggup mempertaruhkan nyawa demi melindungi mereka. Ingatan mengenai Afghanistan sentiasa berlegar-legar di fikiranku setelah kepulangan Tolwak. Beliau yang pada awalnya menjanjikan untuk membantuku jika aku ke sana sudah mula memberikan jawapan tidak. Pesanan dari WhatsApp darinya mengatakan bahawa Taliban kini berada di setiap penjuru bandar-bandar utama dan pihak tentera kembali memperketatkan keselamatan. Aku buntu dan mula mencari jawapan dengan bertanyakan keadaan semasa kepada host di Couchsurfing dan membaca berita di media massa. Seperti yang dijangkakan, kenyataan di media massa banyak bercanggah dengan jawapan yang aku terima melalui host-host di Couchsurfing. Kata mereka ‘generally it is safe but danger is everywhere, you need to be cautious’. Ibuku tidak bersetuju tentang perancanganku untuk ke Afghanistan memandangkan isteriku sedang sarat mengandung anak pertama kami. Restu ayah telah membenarkan aku meneruskan perjalanan ini dengan katanya ‘biarlah dia sudah besar tahulah mana baik dan buruk’. Restu ayah ibu adalah penting untuk aku sebelum memulakan pengembaraan, kerana tanpa doa mereka siapalah aku nanti di sana.
Langkah pertama dimulakan dengan aplikasi visa yang dilakukan secara manual pejabat Afghanistan Embassy di Wisma Sin Heap Lee di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Terdapat hanya satu kaunter kecil di lobi menunggu dan aku dipanggil masuk ke dalam setelah mengisi borang visa yang diberikan. Ambassador banyak bertanyakan soalan berkaitan tentang perancanganku untuk ke Afghanistan. Ujarnya beliau tidak akan memberikan aku visa sehingga dapat merasakan aku akan selamat di sana. Kebanyakkan negara tidak menggalakkan perjalanan ke Afghanistan atas dasar keselamatan dan Malaysia tidak terkecuali. Aku menukarkan cerita dari tidak mempunyai rakan kepada mempunyai seseorang yang bakal menyambutku di sana. Gambar aku bersama Tolwak tempoh hari serta nombor telefonnya aku dedahkan kepada pegawai tersebut. Dan beliau mula menunjukkan reaksi positif dan memberitahuku bahawa visa akan siap beberapa hari lagi. Dengan bantuan Yeen dari Facebook BBM group, aku berjaya menghubungi pegawai yang lain untuk menguruskan visa dengan lebih cepat. Aku berjaya memperolehi visa keesokan harinya setelah mendeposit masuk RM320/USD80 ke akaun kedutaan untuk bayaran visa. Tugas seterusnya adalah memperoleh Visa India kerana tiada penerbangan terus ke sana dan perlu transit di New Delhi sebelum ke Kabul, Afghanistan. E-visa yang dipohon adalah untuk dua kemasukan memandangkan aku akan pulang ke Kuala Lumpur semula setelah selesai pengembaraanku di sana. Harga yang perlu dibayar adalah sama seperti Visa Afghanistan iaitu USD80. Untuk penerbangan masuk ke Kabul, aku telah membeli tiket penerbangan Kam Air iaitu syarikat penerbangan dari Afghanistan kerana ianya lebih murah dari Spice Jet, India. Perancanganku adalah untuk ke bandar-bandar utama iaitu Kabul, Mazari Sharif dan Herat. Sejak awal lagi aku sudah mula menghubungi host-host di Couchsurfing dan ternyata ianya membuahkan hasil dengan memperoleh host untuk ketiga-tiga bandar utama yang bakal ku lawati. Setiap tempat mempunyai daya tarikan yang tersendiri dan aku menjangkakan sesuatu yang menarik di Herat memandangkan ianya berada di dalam wilayah Khorasan seperti mana disebut di dalam hadis-hadis Nabi Muhammad SAW tentang kebangkitan Islam di akhir zaman bermula di Khorasan, dan wilayah Khorasan itu sangat besar melalui sesetengah pendapat meliputi sebagian Iran, Afghanistan, Turkmenistan, Uzbekistan, Tajikistan dan Kyrgzstan. Hari yang dinanti telah pun tiba, semoga Allah memberkati pengembaraan ini.